teknik masukkan kapal dalam botol

Setiap daripada pembaca Iluminasi pasti pernah melihat perhiasan binaan kapal kecil yang berada di dalam botol kaca. Seterusnya, anda pasti akan tertanya-tanya, bagaimanakah kapal tersebut dimasukkan ke dalam botol kaca tersebut memandangkan mulut botol kaca tersebut begitu kecil?

Adakah kapal tersebut disiapkan terlebih dahulu, kemudian barulah bahagian bawah botol tersebut disambungkan dengan badan botol tersebut seperti gambar di atas?

Bukan. Sebaliknya, terdapat teknik khas bagaimana kapal kecil ini dimasukkan ke dalam botol kaca ini. Kami sendiri kagum apabila mengetahui rahsia ini, malah teknik ini langsung tidak pernah sekalipun terlintas di fikiran!

Sejarah "Ship in A Bottle"

ship in a bottle 800

Tiada tarikh tepat dapat dipastikan bilakah hiasan "Ship in A Bottle" ini mula dihasilkan. Pada awalnya, kebanyakan pelayar menghasilkan binaan kapal berskala kecil ini bagi meluangkan masa lapang berlayar berbulan-bulan lamanya di atas kapal. Kapal-kapal ini diperbuat daripada bahan-bahan terbuang yang ditemui di atas kapal.

Sehinggalah pada tahun 1850 apabila kapal-kapal kecil ini mula diletakkan di dalam botol bagi memastikan binaan dan bentuknya akan kekal dan tidak mengalami kerosakan. Malah, dikatakan terdapat banyak koleksi-koleksi awal ini dapat dilihat di Merseyside Maritime Museum yang terletak di Liverpool.

Binaan kapal itu sendiri adalah rahsianya

bina kapal dalam botol

Sebenarnya, struktur binaan kapal itu sendiri adalah rahsianya. Bahagian-bahagian kapal yang dibina ini akan bersambungan dengan benang atau tali halus. Sebaik sahaja keseluruhan badan kapal sudah dimasukkan ke dalam botol, benang-benang ini akan ditarik bagi "menaikkan" bahagian-bahagian kapal yang bersambung dengan benang ini.

Sebaik benang-benang ini ditarik melalui mulut botol, bahagian-bahagian kapal ini akan berdiri tegak di kedudukan sebenarnya. Mekanismanya nampak begitu mudah, namun proses pembinaannya tidaklah semudah yang disangka.

Banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Pembinaan kapal yang berskala kecil ini semestinya memerlukan fokus mata yang cukup tinggi. Semuanya harus dilakukan dengan penuh teliti dan teratur.

Selain itu, penggunaan tali halus atau bebang untuk disambungkan dengan bahagian-bahagian kapal ini juga memerlukan ketelitian dan ketepatan daripada si pembuatnya. Setiap tali ini haruslah mempunyai kepanjangan tertentu dimana sebaik sahaja keseluruhan tali ini ditarik, kedudukan bahagian kapal ini berada di kedudukan sebenarnya.

Bagi memahami secara visual apa yang kami tulis di atas, sila tonton video ringkas daripada Youtube di bawah.

Makin besar dan kompleks binaan kapal, makin sukar dihasilkan

kapal black pearl

Benar, makin besar dan kompleks sesuatu kapal tersebut, makin sukar ianya dihasilkan. Malah, biasanya peralatan khusus seperti kayu khas akan digunakan untuk mengalih atau menggerakkan bahagian-bahagian kapal tertentu ke kedudukan sebenarnya.

Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk membina "Ship in A Bottle" ini adalah mencari botol yang mempunyai saiz yang bersesuaian. Bagi kapal yang bersaiz besar, bahagian tengah botol mestilah mempunyai ruang yang luas untuk menempatkan kapal ini.

Selain saiz tengah botol, saiz mulut botol juga mestilah muat untuk dimasukkan badan kapal yang telah dilipat ini. Setelah saiz botol dan mulut botol diukur, barulah proses pembinaan kapal boleh dimulakan. Kebiasaannya si pembuat kapal akan membuat pengiraan dan melukis terlebih dahulu saiz kapal dan bahagia-bahagian kapal yang akan dihasilkan.

Bagi yang berminat melihat keseluruhan proses menghasilkannya, sila tonton video di bawah:

Secara umumnya, menghasilkan "Ship in A Bottle" bukanlah kerja mudah. Malah, ianya begitu rumit dan mengambil masa yang lama. Maka, tidak hairanlah harganya juga begitu mahal.

Harganya menjadi lebih mahal apabila ianya adalah replika kapal sebenar yang dibina mengikut rekabentuk kapal asal. Apapun, diharapkan artikel ini akan menjawab persoalan bagaimanya kapal tersebut dimasukkan ke dalam botol yang pastinya menjadi misteri bagi kebanyakan kita.

Kredit:

  1. Instructables
  2. WikiPedia
  3. Marine Insight
  4. New York Times

tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)