Oleh pada 08 Jun 2023 kategori

Jika satu masa dahulu ramai pelajar lepasan SPM berebut mahu masuk ke aliran sains, kini situasi itu sudah tidak sepopular dahulu.

Pelajar zaman sekarang sudah mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan hala tuju bidang profesional masing-masing, dengan aliran kreatif semakin mendapat tempat di hati ramai lepasan sekolah.

Semuanya berpunca daripada perkembangan pengaruh media dan penggunaan internet, yang menyebabkan anak muda teringin menceburi bidang yang dilihat fun dan santai saja kerjayanya. Benarkah tanggapan ini atau hanya kisah dongeng semata-mata?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum anda benar-benar terjun ke dalam dunia kreatif, baca dulu pandangan kami di sini supaya anda benar-benar faham realitinya menjadi anak seni kreatif dalam dunia maya yang semakin pesat perkembangannya.

1. Waktu kerja anda akan panjaaaaangggg.....

overtime biasa industri kreatif

Sekiranya anda seorang yang mengutamakan keseimbangan masa hidup dengan kerja atau work life balance, percayalah - bidang kreatif bukan bidang anda.

Ini kerana industri kreatif tak kiralah bidang grafik, multimedia, animasi, pembangunan antara muka, penyiaran, penerbitan dan apa saja kemahiran berkait orang kreatif ni memerlukan anda bekerja lebih masa sambil bersengkang masa.

Apatah lagi kalau tiba crunch time, waktu di mana waktu penyerahan produksi atau projek semakin hampir dan semuanya perlu disiapkan, tanpa ada apa-apa kompromi lagi. Pada tika crunch time, berada di pejabat atau studio 16 jam sehari adalah perkara biasa. Tidur di ofis pun satu kewajipan yang kena dipatuhi kita.

Bekerja di bidang kreatif khususnya persendirian atau swasta, peraturannya mudah. Jangan balik selagi mana boss kata anda boleh balik. Tambah 2 jam tambahan pada waktu balik anda setiap hari - kerana itulah waktu tamat sebenar waktu pejabat anda, pada hari-hari biasa.

2. Pembetulan demi pembetulan demi pembetulan..

pembetulan ammendment

Dalam industri kreatif, sebagus mana pun kerja yang anda hasilkan - PASTI AKAN ADA PEMBETULANNYA. Ini dah jadi benda norma bagi mereka yang pernah duduk dalam industri ini.

Kalau senang nak buat tak apa. Kebanyakan pembetulan dalam bidang ini memakan masa yang panjang untuk membetulkannya. Sebagai contoh, anda seorang pelukis animasi berbentuk 2D. Ada pergerakan yang dirasakan perlu diubah. Mungkin juga tiba-tiba ada idea lain nak gambarkan adegan dalam sudut berbeza pula.

Apa akan anda kena buat? Buat semula semuanya.

'Pembetulan' atau ammendment adalah istilah paling ditakuti setiap penggiat industri kreatif, kerana ammendment adalah hantu yang akan merosakkan jiwa kita. Kita tahu kita dah cuba yang terbaik, tetapi mesti ada saja ammendment yang jatuh ke riba kita..

Bila dah ada ammendment, anda rasa waktu apa sesuai nak 'betulkan' semuanya? Rujuk point nombor 1 kami. Anda nak tahu kenapa ramai tenaga mahir tak dapat overtime? Ini kerana banyak majikan menganggap melakukan ammendment adalah sebahagian daripada kerja hakiki anda.

Jadi kenapa nak kena bayar lebih untuk anda betulkan sesuatu yang sepatutnya anda siapkan waktu kerja biasa? Hahaha.

3. Anda tak suka kerja kena reject? Jangan masuk industri ini!

realiti industri kreatif

Ramai lelaki biasa akan mengatakan perasaan paling pedih adalah rasa menusuk selepas kena reject dengan wanita yang disukai. Tidak.

Rasa paling menusuk yang boleh menghancurkan jiwa dan naluri seseorang, adalah apabila seorang pekerja kreatif terpaksa berhadapan dengan penolakan atau rejection, ke atas semua usahanya sebelum itu. Bukan ammendment lagi dah, rejection terus.

Anda bayangkan anda dah siapkan satu draf antaramuka untuk sebuah laman web yang bakal dibangunkan. Anda dah buat benda tu 3 malam tanpa henti, cuba tahan tidur dengan bercawan-cawan kopi pekat. Tiba hari yang ditetapkan sebagai tarikh tamat...

Boss anda kata "tak bestlah. Kau buat baru. Aku nak petang ni siap." Situasi ini adalah perkara biasa dalam industri ini.

4. Gaji kecil untuk kerja perah otak belaka

bejt kecil gaji rendah kreatif

Seperti yang sudah kami senaraikan dalam artikel kami sebelum ini, purata pendapatan atau gaji dalam industri kreatif sebenarnya agak rendah, di antara RM2,000 sehingga ke RM5,000 bagi peringkat atasan - dan biasanya itulah gaji mati yang standard.

Sama ada anda rasa angka itu berbaloi atau tidak, kami biarkan anda putuskan. Tetapi bekerja sebagai penggiat industri kreatif sepenuh masa, memang tidak berpadanan keperluannya dengan ganjaran jika anda tanya kami.

Sebab itulah sekiranya anda kenal beberapa orang yang dah lama duduk berkecimpung dalam industri ini, rata-ratanya lebih gemar bekerja sendiri. Cari projek sendiri, urus sendiri, siapkan sendiri. Risiko kepada tahap kewangan kurang stabil memang ada.

Namun dengan menjadi seorang freelancer-lah ganjaran lebih besar boleh anda perolehi. Ini kerana jika dikira per jam, gaji seorang freelancer kreatif JAUH lebih tinggi berbanding pekerja mahir sepenuh masa industri ini.

Syarikat juga tahu perkara ini. Jangan terkejut pula kalau anda tahu ada freelancer yang dilantik syarikat dibayar berkali-kali ganda gaji bulanan anda. Ini kerana kadar bayaran freelancer adalah kadar bayaran sebenar industri di Malaysia.

5. Anda sebenarnya tak bebas untuk kreatif

pereka grafik tertekan realiti industri

Dah penat baca kenapa jadi penggiat kreatif di Malaysia memenatkan? Di antara semua realiti yang perlu ditempuhi, realiti inilah yang paling memakan diri.

Anda belajar dalam industri kreatif. Anda duduk dalam kumpulan penggiat kreatif. Anda diberitahu anda kreatif. Anda ada kemahiran, anda pandai cipta sesuatu yang tak ada. Ramai teruja dengan hasil kerja anda.

Tetapi perkataan 'kreatif' di Malaysia ni selalunya sering disalahguna, kerana orang yang paling kreatif dalam industri ini tetap client anda, majikan anda atau sesiapa saja yang menjadi sumber projek anda....walaupun tahap kreatif mereka 0% sekalipun.

Mereka inilah yang akan menentukan apa outcome kerjanya, bagaimana rupanya, apa warnanya, jenis hurufnya, susunannya dan semuanya...sehinggakan anda sebagai pekerja mahir hanya perlu mengikut satu per satu permintaan mereka, dalam memastikan periuk nasi anda terjaga.

Contoh paling mudah adalah poster agensi kerajaan. Cantik tak? Selalunya nampak kelam-kabut semacam aje. Padahal dalam agensi kerajaan memang ada pereka grafik berpengalaman, namun hasilnya tetap menyakitkan mata. Mereka ni handal sebenarnya.

Tetapi yang menentukan kata putus, tetap bukan mereka. Yang approved adalah Ketua Jabatan lulusan bukan kreatif, yang mahu 3 ke 4 font fancy harus ada dalam setiap rekaan poster. Semakin semak poster, semakin dia suka rekaannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)