Kredit foto: Instagram Anuar Zain & Instagram Puteri Balqis

Sedang bertarung melawan kanser, Norashikin Mohd Aziz, ibu kepada pelakon, Puteri Balqis Azizi, 11, akui kesihatan anaknya kini tidak menentu.

Semangat Balqis ingin kembali pulih seperti sediakala begitu kental kerana walaupun jantung dan paru-parunya bermasalah, beliau kekal positif berjuang melawan sel kanser itu.

“Saya sedang ikhtiar pelbagai cara untuk pulihkan Aqish,” kata Norashikin kepada Harian Metro dalam temubual menerusi aplikasi Whatsapp.

Dalam pada itu, Norashikin memohon maaf kerana terpaksa menolak sebarang temubual dengan media buat masa ini.

Katanya, dia enggan kenyataan yang dikeluarkan disalahtafsir hingga menimbulkan fakta yang salah.

“Saya mohon maaf kerana menolak untuk ditemubual dan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai penyakit Aqish. Saya tidak mahu berita mengenainya terlalu banyak keluar.

“Nanti berita kecil jadi besar atau ada yang tidak betul. Saya segan," katanya.

Tambahnya, hanya kadangkala paru-paru pelakon itu bermasalah serta mengalami demam panas, namun masih dalam keadaan baik seperti yang terakam dalam video yang dikongsi di laman Instagram baru-baru ini.

"Demam panas dia ‘on-off’ dan jantung serta paru-paru juga ada masalah tetapi dia okey, macam dalam video yang dimuatnaik menerusi Instagram,” kata Norashikin lagi.

Sementara itu, ibu pelakon yang selesa disapa Aqish ini merakam penghargaan kepada penyanyi terkemuka negara, Anuar Zain kerana sering hadir menjenguk anaknya.

puteri balqis hidap kanser ibu berterima kasih pada anuar zain 2

Kredit foto: Instagram Anuar Zain

“Terima kasih kepada Anuar dan team yang selalu datang melawat Aqish serta sering memberikan semangat. Juga kepada peminat Aqish, terima kasih kerana banyak membantu,” ujarnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)