Kredit foto: Instagram Shahir Zawawi & Instagram Ayda Jebat

Penyanyi Shahir memilih lagu Pencuri Hati nyanyian asal Ayda Jebat di Konsert AF Megastar semalam kerana ingin lari daripada zon selesanya.

Menurut Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, keputusan itu dibuat kerana dia ingin mencabar diri dengan bereksperimen di pentas pertandingan itu.

Namun dalam masa yang sama, dia akui percubaan minggu ini dilihat gagal kerana rata-rata respon negatif yang diterima. 

"Saya tahu ramai yang tertanya- tanya malah ada yang tidak percaya mengapa saya memilih lagu yang jauh daripada kebiasaan saya.

"Sebenarnya saya mahu mencabar diri saya untuk membawakan lagu yang bukan identiti saya supaya boleh keluar daripada zon selesa.

"Bagi saya pentas AF Megastar adalah platform yang baik untuk saya mencuba bereksperimen lagu-lagu yang bukan kebiasaannya.

"Namun saya lihat eksperimen kali ini kurang menjadi kerana saya mendapat respon rata-rata hanya suka bahagian pertama lagu saya ketika bermain piano sahaja," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan portal Astro Gempak.

punca sebenar shahir pilih lagu ayda jebat 2

Kredit foto: Instagram Shahir Zawawi

Lagu pertaruhan Shahir pada Konsert AF Megastar yang bertemakan 'Mahakarya' itu menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai kerana dikatakan tidak bersesuaian dengan genrenya.

Selain mendapat kritikan daripada juri profesional Syafinaz Selamat, persembahan Juara Akademi Fantasia Musim Kelapan itu juga meletakkannya antara tiga peserta dengan kedudukan terendah bersama Sufi dan Amir. Bagaimanapun Sufi diumumkan tersingkir di penghujung konsert.

Dalam pada itu, Shahir berkata, pemilihan lagu yang salah dan gaya persembahan menjadi punca dia hampir tersingkir daripada pertandingan itu.

"Sebenarnya saya dah dapat agak dan sudah bersedia jika ditakdirkan saya keluar malam ini (malam tadi).

"Saya akui persembahan saya agak lemah dan percubaan saya kali ini sedikit tidak menjadi.

"Saya memang mengaku tidak pandai menari dan terlalu mencuba sehingga akhirnya merosakkan persembahan saya.

"Jadi saya tidak terkejut jika saya terkeluar tapi saya masih diberi peluang lagi. Ini bermakna pihak produksi masih mempercayai kebolehan saya," ujarnya.

Selain Shahir, tujuh lagi peserta yang layak ke konsert minggu hadapan adalah Indah Ruhaila, Marsha, Bob, Amir Jauhari, Idayu, Syamel dan Amir.

Konsert AF Megastar ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria. Dihoskan oleh Aznil Haji Nawawi.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)