Oleh pada 23 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram AF Megastar

Penyanyi Shahir Zawawi memberitahu keputusannya untuk menarik diri daripada Konsert Akhir AF Megastar sebelum ini bukanlah kerana ingin menghilangkan diri.

Namun dirinya sekadar menyampaikan mesej kepada masyarakat betapa dia tidak hirau dengan glamor dan populariti dunia hiburan.

"Kontroversi memang asam garam sebagai artis tetapi apabila orang bercakap tentang sesuatu yang tidak baik bukan semuanya kita boleh pekakkan telinga.

"Sebagai contoh ada orang kata sejak saya masuk AF Megastar dah mula meninggi diri tetapi saya hendak tunjuk pada orang, saya tak kejar pun dunia ini.

"Saya nak buktikan pada semua orang yang saya tak mengejar populariti atau kemasyhuran sebagai artis dan tiada masalah untuk tarik diri malah lebih reda jalani kehidupan sebagai orang biasa," katanya memetik laporan portal Mstar Online.

Shahir membuat kenyataan tersebut selepas tamatnya pertandingan akhir AF Megastar yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam malam tadi.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, dia akhirnya mengambil keputusan untuk terus bertanding kerana enggan menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak terutamanya tenaga produksi.

"Bukan sahaja saya fikirkan tentang tanggungjawab tetapi kepercayaan peminat yang mereka berikan kepada saya selama ini.

"Saya tidak akan 'hilang' dan akan teruskan karier sebagai penyanyi selepas ini bagi membalas semua jasa peminat dan orang yang percayakan saya," tegasnya.

Mengenai isu Mona, Shahir enggan memanjangkan hal itu walaupun jauh di sudut hatinya ingin mempertahankan diri daripada terus difitnah.

Keputusan mendiamkan diri diambil atas nasihat orang terdekat sekeliling dan mahu menjaga hati pihak tertentu.

"Saya juga manusia biasa, ada perasaan marah dan isu ini menggangu saya di kala saya sibuk dengan persiapan konsert akhir dan jujurnya memang saya nak lawan pertahankan diri.

"Jujur saya tidak tahu apa niat dia tetapi tidak mengapa rasanya orang boleh menilai sendiri tentang situasi yang berlaku ini dan saya anggap ia asam garam kehidupan artis," katanya.

Terdahulu, Shahir menimbulkan kekecohan apabila foto-foto mesranya bersama pramugari bernama Mona Syamimi menjadi tular di media sosial.

Mona tampil mendedahkan bukti mesej romantik yang dihantar penyanyi berkenaan kepadanya.

Namun Shahir hanya menyifatkan hubungan mereka sebagai antara artis dan peminat.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)