Kredit foto: Instagram Sajat
Usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat Kamaruzzaman tampil memberikan respon terhadap pandangan netizen berkaitan sesi perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) minggu lalu.
Antara pertikaian yang timbul termasuk tempoh masa yang diambil untuk proses penentuan jantinanya, hingga mencecah sekurang-kurangnya sebulan.
Sajat bagaimanapun enggan mengulas panjang, sebaliknya lebih selesa berdiam diri.
"Saya tak mahu ulas mengenai reaksi orang ramai mengenai perkara tersebut," katanya yang ingin memberi fokus terhadap empayar perniagaannya.
Sajat berkata, dia akur dengan apa sahaja keputusan yang ditetapkan oleh pihak Jakim.
Dalam masa sama, beliau enggan ambil peduli apa yang diperkatakan orang ramai.
"Biarlah orang nak kata apa. Bagi saya, kalau sebulan kata Jakim, maka sebulanlah saya tunggu. Kalau dua bulan kata Jakim maka dua bulan la. Kalau tiga bulan, maka tiga bulan. Saya ikut sahaja," katanya.
Mengambil pendirian untuk berdiam diri, Sajat mengatakan itulah yang terbaik buatnya pada masa ini.
"Untuk diri saya sendiri, bagi saya berdiam diri adalah lebih baik daripada banyak berkata-kata," katanya.
Sumber berita: Sinar Harian