Oleh pada 31 Jan 2018 kategori

Sumber foto: The Star Online

Mahkamah Persekutuan memberikan penghakiman yang bersejarah dengan membuat keputusan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam perlu memberi persetujuan untuk penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel 5 hakim yang disidangi oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berkaitan penukaran agama 3 anak guru tadika M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang turut merupakan seorang mualaf.

Hakim Zulkefli selaku ketua panel memberitahu, keputusan dilaksanakan sebulat suara. Meskipun penukaran agama merupakan isu yang mencetuskan pertengkaran, tetapi keputusan mahkamah tidak melibatkan kepercayaan agama.

Hakim Zainun yang memberikan penghakiman mahkamah memberitahu persetujuan daripada Indira Gandhi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, (sebelum ini dipanggil K Pathmanathan) adalah dimestikan bagi membenarkan sijil penukaran agama kepada Islam diberikan terhadap ketiga-tiga anak mereka.

Tambah beliau, pendekatan membolehkan penukaran agama anak atas persetujuan cuma sebelah pihak bakal mencetuskan persoalan yang  rumit. Persetujuan dari kedua-dua ibu bapa perlu didapati bagi kepentingan kanak-kanak itu sendiri

"Penukaran kepada agama lain adalah keputusan penting yang mempengaruhi kehidupan seorang kanak-kanak kerana ia mengenakan satu set undang-undang peribadi yang baharu dan berbeza,” ujar beliau.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)