Oleh pada 19 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Kosmo Online

Polis kini giat memburu identiti seorang penunggang motosikal lelaki yang bertindak menendang seorang lelaki warga emas ketika sedang menaiki motosikal seorang diri di kawasan Persiaran Gurney, George Town kelmarin.

Menerusi insiden sekitar jam 3 petang itu, mangsa lelaki berketurunan Melayu berumur 60 tahun itu luka di beberapa bahagian badan dan sakit dada akibat perbuatan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Kejadian tersebut berlaku ketika mangsa dikatakan baru balik dari sebuah masjid dan dalam perjalanan pulang ke kediamannya yang terletak berhampiran tempat insiden.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, pihaknya mendapat laporan insiden daripada anak mangsa pada jam 5 petang semalam setelah video daripada kamera yang dipasang di dalam sebuah kereta orang awam menjadi tular di laman sosial.

"Semasa mangsa sedang menunggang motosikal, seorang lelaki yang tidak dikenali turut menunggang motosikal memotong kenderaan warga emas itu dan telah bertindak menendangnya sehingga terjatuh.

"Berikutan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan ditahan di wad kerana mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan serta sakit dada," ujarnya semalam.

Bagaimanapun, mangsa kini sedang berada dalam keadaan stabil.

"Hasil keterangan daripada mangsa menyatakan tiada berlaku perselisihan dengan sesiapa sebelum kejadian berlaku dan motif sebenar masih dalam siasatan polis.

"Malam ini, saksi seorang perempuan Melayu akan hadir memberi keterangan dan menyerahkan rakaman video asal yang dirakamnya menerusi kamera kereta untuk disemak nombor kenderaan suspek," ujarnya menerusi sebuah kenyataan malam semalam.

Tambahnya, polis turut mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber berita:

1.    Kosmo Online

2.    Bernama

3.    Astro Awani




Hakcipta iluminasi.com (2017)