Subjek 'tanah rizab Melayu' kerap menjadi kontroversi berikutan kedudukannya yang dilihat mengekang pembangunan di negara kita serta perasaan tidak adil yang timbul, apabila isu ini dibincangkan oleh masyarakat Malaysia berketurunan bukan Melayu.
Dapat dilihat sebenarnya masih ramai ahli masyarakat kita yang tidak memahami apa itu tanah rizab Melayu dan keperluannya untuk diteruskan. Kami cuba mengupas serba sedikit berkenaan isu ini agar kita sama-sama dapat memahami kepentingan sebenar tanah rizab Melayu.
BESARKAN TEKS A- A+
Asal-usul tanah rizab Melayu
Dalam satu artikel kami pada tahun 2017, kami sudah menerangkan serba sedikit berkenaan salah satu perkara yang sering diabaikan masyarakat kita berkenaan tujuh wasiat raja-raja Melayu. Salah satu daripada wasiat itu melibatkan nisbah tanah rizab Melayu yang perlu kekal di Semenanjung Malaysia yang berbunyi;
'Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain."
Dari sinilah akta tanah rizab Melayu diwujudkan dalam usaha untuk mengekalkan pemilikan tanah orang Melayu di Semenanjung Malaysia mestilah tidak kurang daripada 50 peratus daripada keseluruhan tanah yang ada di muka bumi kita.
Sejarah awal Tanah Rizab Melayu
Tanah Rizab Melayu (TRM) atau Malay Reserved Land diperkenalkan semasa pemerintahan British pada tahun 1913. Akta ini diperkenalkan pada mulanya dengan tujuan untuk menghalang aktiviti penjualan dan pelupusan tanah oleh kaum Melayu kepada golongan kapitalis yang terdiri daripada golongan pelombong dan peladang yang datang dari Eropah dan China.
Berikutan kewujudan sumber yang banyak di Tanah Melayu satu ketika dulu, wujud ruang pihak-pihak kapitalis ini yang mahu mengeksploitasi pemilikan tanah agar mereka dapat mengaut keuntungan daripada sumber yang banyak.
Tanah orang Melayu pada ketika itu yang majoritinya tidak diusahakan, sebenarnya mempunyai nilai dari segi ekonomi yang cukup tinggi. Semua ini dibantu dengan kedudukan yang strategik, memiliki sumber galian yang banyak serta ciri fizikal yang sesuai untuk pelbagai aktiviti ekonomi seperti pertanian dan perladangan.
Ekoran daripada aktiviti pelupusan tanah masyarakat Melayu yang menyebabkan tanah berpindah tangan secara meluas, pentadbir British mengadakan siasatan dan melalui Pegawai Daerah Ulu Langat ketika itu, iaitu Encik JB. Clayton, mereka mahu supaya orang Melayu mempunyai kesedaran kepentingan mempertahankan tanah milik mereka, mula mengusahakan tanah mereka dengan tanaman lain serta berusaha mewujudkan kawasan simpanan tanah Melayu.
Cadangan itu kemudian ditambah lagi pada tahun 1910 di mana setiap daerah perlu merizabkan kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan TRM. Selain itu, kerajaan British juga memperkenalkan syarat keperluan untuk mendapatkan kebenaran Pentadbir Tanah Daerah bagi penjualan tanah milik Melayu kepada bukan Melayu.
Semua cadangan itu melalui proses perbincangan yang panjang sebelum dibentuk menjadi satu enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913 dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1914.
Permulaan rizab Melayu di Perak
Negeri Perak menjadi negeri pertama Tanah Melayu mewartakan pelaksanaannya secara menyeluruh, dengan 13 kawasan di daerah Larut dan Matang diisytiharkan sebagai kawasan rizab Melayu. 10 tahun selepas pengenalan enakmen ini, TRM telah mencapai keluasan sebanyak 1,126,700 hektar atau 15.58 peratus daripada keseluruhan Negeri Melayu Bersekutu.
Bagi Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, Kelantan menjadi negeri pertama melaksanakan enakmen tersebut sebelum diikuti Kedah (1931), Perlis (1935) dan Terengganu yang terakhir pada tahun 1941
Beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam enakmen pertama tahun 1913 itu diperbaiki dan diperhalusi pelaksanaannya. Pada tahun 1933, kerajaan ketika itu mencadangkan untuk memansuhkan enakmen 1913 untuk digantikan dengan satu baru yang dinamakan Enakmen Rizab Melayu 1933, yang menambahbaik bidang kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan enakmen tersebut.
Secara asasnya, wujud tiga jenis bentuk pemilikan tanah rizab Melayu yang ada pada zaman tersebut iaitu tanah kerajaan, tanah bermilik yang dimiliki pemilik berbangsa Melayu dan tanah bermilik yang dimiliki bukan Melayu namun telah dirizabkan sebagai TRM sebelum tahun 1957.
Taktik British dalam memperkenalkan enakmen ini
Walaupun pada dasarnya dilihat pembentukan enakmen ini adalah demi melindungi kepentingan orang Melayu sebagai masyarakat pribumi, wujud beberapa pandangan berbeza yang menjelaskan kelicikan British dalam menggubal syarat ini.
Menurut British, TRM diperkenalkan bagi mengkhususkan hak pemilikan tanah semasa era penjajahan mereka. selain daripada menghalang urusniaga penjualan tanah di kalangan bukan Melayu dan pemilik Melayu. Perkara ini nyata benar berikutan penambahbaikan enakmen yang berlaku pada tahun 1933.
Enakmen pertama 1913 masih membenarkan penjualan tanah rizab Melayu selepas tempoh 3 tahun, namun enakmen 1933 membatalkan kelonggaran ini serta melupuskan semua perjanjian penjualan tanah rizab Melayu kepada pembeli bukan Melayu.
Namun beberapa orang penyelidik turut sama berpendapat TRM diperkenalkan bagi memastikan dasar pecah dan perintah yang diamalkan British dapat terus dikekalkan. Ini kerana kerajaan British perlu masyarakat Melayu untuk kekal tinggal di kawasan luar bandar bagi meneruskan aktiviti pertanian.
Selain itu cadangan British supaya masyarakat Melayu yang memiliki tanah mengusahakan tanaman seperti padi dan kelapa dilihat sebagai satu cara untuk memastikan sistem ekonomi berbentuk komersial dapat dikekalkan pegangannya pada masyarakat Cina yang duduk di kawasan bandar.
Tanah rizab Melayu ketika ini
Dengan sasaran nisbah 50 peratus menjadi syarat minima keluasan tanah Rizab Melayu berdasarkan perjanjian yang dimeterai semasa kemerdekaan, sayangnya angka tersebut tidak pernah dicapai sehingga kini.
Nilai keluasan tanah rizab Melayu sejak mula direkodkan adalah 15.84%, pernah mencapai 23.88% pada tahun 1931 namun menurun ke paras terendah pada tahun 1983 dengan hanya seluas 9.89% daripada sasaran 50% yang diharapkan.
Bermula pada tahun 2005 sehingga ke 2013, berlaku penambahan ketara pada peratusan tanah yang berjaya digazetkan sebagai TRM daripada 12.32% mewakili 1.6 juta hektar kepada 31.19% atau 4.11 juta hektar ekoran usaha kerajaan ketika itu. Sehingga 2017, jumlah TRM dianggarakan pada paras serupa hanya pada kadar 30% atau 4 juta hektar keseluruhannya, kurang 20% lagi daripada yang sepatutnya.
Bagi menaikkan lagi nisbah ini, agensi-agensi kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah yang sewajarnya namun masalah paling besar yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu adalah sikap pemilik-pemilik tanah rizab Melayu yang melihat tanah sebagai sesuatu komoditi yang boleh didagangkan, bukan sebagai satu aset.
Nasihat kami, sekiranya anda bernasib baik dapat mewarisi tanah tak kiralah tanah itu dalam bentuk rizab Melayu atau pegangan bebas sekalipun, usahlah sekali-kali cuba mendapatkan untung cepat dengan menjual tanah tersebut sewenang-wenangnya. Mungkin wang ringgit yang anda nampak ketika itu nampak berbaloi, tetapi ada banyak lagi perkara yang tidak kelihatan tetapi telah digadaikan anda.
Isu tanah ini adalah satu pertandingan yang panjang perlawanannya. Sekiranya anda gagal untuk melihat isu ini dari segi jangka masa panjang, besar kemungkinan anak cucu anda kelak akan perlu menumpang di atas tanah orang yang dulu menjadi tempat asal nenek moyangnya bercucuk tanam.