Beberapa hari lepas, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita perletakan jawatan oleh Yang Dipertuan Agong Ke 15, Sultan Muhammad V melalui satu surat pengumuman daripada pihak Istana. Ini merupakan satu sejarah memandangkan buat pertama kalinya seorang YDPA meletakkan.
Sebagai rakyat, kita seharusnya menghormati keputusan ini. Perkongsian surat pengumuman mengenai perletakan jawatan tanpa menyatakan sebarang sebab ini telah menimbulkan banyak persepsi daripada rakyat.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, di laman sosial Facebook misalnya, terdapat segelintir netizen yang mula mencemuh dan mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengari mengenai perletakan jawatan oleh YDPA ini.
Sultan Muhammad V sememangnya terkenal sebagai seorang Raja yang merendah diri dan penghinaan demi penghinaan yang dilemparkan segelintir netizen ini sememangnya amat menyedihkan dan tidak boleh diterima. Lupakah mereka bahawa "Kesetiaan kepada Raja" merupakah salah satu daripada Rukun Negara?
Kebebasan dan hak untuk bersuara tidak bermaksud kita boleh menghina sesiapa sekalipun. Namun, biarlah ianya tidak melampaui had sehingga menghina. Tulisan dibawah merupakan tulisan asal En. Mohd Redzuan Mohamed Yusoff seorang peguam dari firma The Law Chambers Of Redzuan & Faiezad, mengenai perkara ini.
Trend membawang rakyat Malaysia ini, kalau dibuat ranking dunia, pastinya sudah berada di kedudukan pertama. Tapi apa juga trend, mesti ada hadnya. Ada yang kita boleh troll secara terbuka, ada yang tidak boleh. Hal-hal berkaitan nilai dan identiti seseorang atau sekumpulan manusia, bukan bahan troll. Jauh sekali bahan hinaan.
Sistem Monarki adalah identiti sesebuah masyarakat atau negara. Australia yang jelas tidak mempunyai King atau Queen, masih memilih untuk mengekalkan Queen of England sebagai ketua negara mereka. Kerana itu nilai mereka.
Lèse-majesté
Lèse-majesté ni merupakan peraturan di mana sesiapa pun yang hina Raja dikira melakukan kesalahan jenayah. Negara seperti Thailand, menggubal undang-undang yang jelas tentang menghina Raja mereka.
Negara Eropah yang kita puja sebagai maju pun masih banyak yang mengkekalkan undang-undang serupa. Kenapa?
Kerana nilai yang ingin dilindungi. Kita daripada zaman sekolah, kalau orang kata macam-macam mengenai mak bapa kita pun, kita pastinya akan mengambil tindakan yang sama. Siap bertumbuk berguling. Padahal kutukan itu tidak bawa apa-apa pun. Tidak kurang sedikit pun harta kita. Tapi nilai maruah itu yang kita tidak boleh biar rosak.
Adakah wujud undang-undang Lèse-majesté di Malaysia?
Tidak ada. Kita tidak ada undang-undang khusus untuk menghukum sesiapa yang hina sistem Monarki kita. Maknanya boleh kutuk suka hati? Tidak juga. Kita ada undang-undang tertentu yang mana aplikasinya luas untuk diambil tindakan ke atas hampir apa saja perbuatan yang menimbulkan rasa tidak senang.
Contohnya Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (juga termasuk penggunaan Facebook, Twitter, Blog, Telegram, Whatsapp dan lain-lain media sosial yang digunakan).
Kedua-dua undang-undang ini ruang lingkupnya sangat luas dan terbuka. Apa-apa perkara yang dikira menghina, tidak sopan dan mampu mengganggu ketenteraman awam sudah boleh diambil tindakan.
Yang bagusnya, akta sebegini boleh digunakan untuk menghalang unsur-unsur yang boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman rakyat Malaysia. Sementara itu, kekurangannya pula adalah penguasa boleh salah menyalahgunakannya kerana ianya terlalu terbuka dan tidak mempunyai skop yang khusus.
Kebebasan bersuara
Mungkin ada yang bertanya, dimanakah kebebasan bersuara?
Sentiasa ada. Sekiranya kita hendak bersuara mengenai apa-apa isu sekalipun, kita mestilah menggunakan otak. Kalau tidak setuju dengan apa-apa sekalipun, kita boleh sahaja mengeluarkan pendapat dan kritikan.
Namun, jangan sesekali sampai menghina. Kebebasan kita perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab. Masalah sesetengah masyarakat Malaysia adalah kita masih belum reti bezakan kritik dan hina. Kita tidak setuju sistem Monarki masuk campur urusan pentadbiran, kita kritik secara baik. Bukan hina.
Bila kita hina sistem Monarki, itu sudah dianggap seperti menghina nilai masyarakat. Itu sudah melampau. Sekiranya kita hina orang biasa sekalipun sudah dianggap tidak menghormatinya, apatah lagi dengan menghina Ketua Negara.
Bolehkah pihak Monarki bagi teguran?
Boleh. Walaupun secara undang-undang semua kuasa Raja dah diserahkan kepada Legistatif, Eksekutif dan Judisiari, Raja masih boleh memberi teguran. Sultan Perak misalnya, cukup bijak dalam beri teguran dan pendapat.
Nilai-nilai murni pada negara maju
Menjadi negara maju tidak bermaksud kita perlu buang segala nilai kita. Tidak bermaksud hanya negara republik maju. Banyak negara-negara yang masih mengekalkan sistem Monarki sudah maju. Banyak juga negara negara republik yang masih tak kemana.
Mengkritik dan menyuarakan pendapat memang ciri negara maju. Tapi undang-undang tetap akan kawal. Hate speech, menghina dan sebagainya akan tetap dihalang di mana-mana pun.
Jangan sampai kebebasan yang korang nak sangat tu jadi punca pergaduhan, punca masalah lain. Selagi kita tidak boleh menerima nilai Malaysia yang sedia ada, kita tak layak menggelar diri kita rakyat Malaysia.