Oleh pada 18 Jan 2018 kategori

Sumber foto: malaysianaccess.com

Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan sehingga dua minggu akan datang bagi fasa ke-81.

Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dilaksanakan dari pukul 6 petang hingga 6 pagi sehingga 2 Februari ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, peraturan tersebut dijalankan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di sebanyak 7 daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Oleh yang demikian, orang ramai di daerah-daerah berkenaan dinasihati supaya tidak mengunjungi lokasi yang diumumkan sebagai kawasan perintah berkurung.

"Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

"Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

"Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE," ujarnya.

Tambah Ramli, kewujudan perintah berkurung turut melancarkan penguatkuasaan dan pengawasan terhadap pergerakan bot.

Matlamat lain ialah untuk melahirkan keyakinan dan keselamatan terhadap para pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan terdapatnya kapal pasukan keselamatan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya lagi.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)