Oleh pada 15 Jul 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @fizoomar & Instagram @mawar_karim

     

Pelakon Fizo Omar mendedahkan apa yang diperkatakan olehnya bersama bekas isteri, Mawar Karim sebelum ini telah dimanipulasi segelintir pihak.

Spekulasi itu membabitkan ahli keluarga Fizo yang kononnya didakwa sebagai punca rumah tangga mereka bergolak.

"Bila saya dan Mawar bagi kenyataan, kenyataan kami dimanipulasi.

"Mereka menyalahkan keluarga Mawar dan juga keluarga sebelah pihak saya," katanya seperti dilaporkan program hiburan Melodi semalam.

Menyentuh isu label 'anak mak', Fizo menjelaskan dia sekadar mengambil tanggungjawab bapa yang telah meninggal dunia, apatah lagi ibunya seorang pesakit kencing manis dan menderita masalah penglihatan.

"Ada yang kata saya anak mak. Isu anak mak itu tak tahulah... memang dari dulu lagi, hampir berbelas-belas tahun.

"Saya jaga mak saya. Mak saya seorang ibu tunggal, dia pun menghidap kencing manis serta mempunyai masalah penglihatan.

"Arwah ayah saya meninggal, saya mengambil tanggungjawab untuk menjaga mak saya.

"Macam mana mak saya mendidik saya, macam itulah saya mendidik anak saya untuk menjaga maknya," katanya.

Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja ini yakin bekas isteri tidak mempunyai masalah peribadi dengan ibu mertua, sebagaimana aktor itu yang juga masih mengekalkan hubungan baik dengan ibu Mawar.

    

perceraian didakwa kerana campur tangan keluarga ini respon fizo omar 2

Kredit foto: Instagram @fizoomar

     

"Saya sendiri kurang jelas apa yang Mawar cuba sampaikan.

"Tetapi saya percaya Mawar seorang yang baik, dia tidak akan memburukkan mak mertua sendiri.

"Mawar baru sahaja bertemu dengan mak saya untuk mengambil Maryam. Tiada pergaduhan berlaku.

"Saya dengan mak Mawar pun okey, tidak bermasam muka," katanya.

Fizo yang berkongsi video temubual itu menerusi laman Instagram, menegaskan segala-galanya berada dalam keadaan baik, sekaligus menangkis dakwaan warganet.

"Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja," tulisnya ringkas mengiringi perkongsian berkenaan.

Terdahulu, perkahwinan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2013 itu berakhir dengan perceraian talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada pagi Rabu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Wan Maryam yang sudah menjengah usia dua tahun.

Desas-desus hubungan dingin mereka mula diperkatakan umum apabila Fizo meraikan Aidilfitri secara berasingan dengan isteri dan anak.

     

Sumber berita:

1. Melodi

2. Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)