Oleh pada 24 Aug 2017 kategori

Penulisan ini telah dikongsi oleh saudara Jeroong Wia melalui pengalamannya menggunakan perkhidmatan bas di Thailand. Pihak iluminasi.com telah diberikan kebenaran untuk mengulangsiar penulisan ini untuk manfaat orang ramai.

Sudah hampir 3 minggu aku berkelana seorang diri di Thailand bermula dengan perjalanan keretapi dari selatan Thailand iaitu Sungai Golok sehingga ke Bangkok selama 28 jam dan menuju ke utara Thailand secara hitchiking (tumpang kenderaan secara rawak).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas 2 minggu berada di jalanan dan di dalam hutan utara Thailand, tiba masanya untuk aku menghala kembali ke selatan untuk pulang ke Malaysia. Dan kali ini aku ingin mencuba perkhidmatan bas di Thailand. Ianya ternyata jauh berbeza dengan perkhidmatan bas di Malaysia (bukan status provokasi hanya perbandingan, ada pro dan contra).

Aku bagi 5 bintang penuh buat perkhidmatan bas Thailand. Persoalan di sini adalah kenapa 5 bintang? Ini adalah sebab-sebabnya : 

1. Harga berpatutan

chiang mai bus station

Perjalanan dari Chiang Mai menuju ke Bangkok adalah selama 14 jam dengan bas dan bayaran adalah sebanyak 488 baht (RM60) dan dari perjalanan bas dari Bangkok ke Samui memakanan masa 13-14 jam perjalanan dengan berharga 510 baht (RM63). Harga petrol di Thailand agak mahal lebih kurang RM3.50 ke atas bagi seliter berbanding dengan Malaysia RM2.50 ke bawah, namun harga tiket bas mereka masih murah.

2. Selesa

selimut diberikan

Pelbagai bas telah aku cuba samada di Europe, Asia tengah, Asia selatan, Jepun, Korea dan sebagainya. Bagi tahap keselesaan bas Thailand aku memberi 4.5/5 bintang. Ketika menaiki bas, penumpang akan diberikan selimut dan sesetengah syarikat bas juga menyediakan bantal leher bagi penumpang. Aku masih ingat pada suatu ketika dahulu syarikat bas Transnasional di Malaysia juga mengamalkan seperti ini dimana dengan memberi kacang dan juga selimut buat penumpang tetapi sekarang tiada lagi bas yang membuat perkhidmatan tersebut.

3. Pemilihan servis

bas vip

Setiap perjalanan ada dua jenis servis bas di sediakan iaitu biasa dan juga VIP. Perbezaannya antara bas biasa mempunyai 40 tempat duduk seperti mana bas biasa yang kita lihat kini dan bagi VIP bas mereka menyediakan 28 tempat duduk sahaja dan ini memberi lebih keselesaan buat penumpang yang menggunakan servis VIP. Perbezaan harga tidaklah begitu ketara. Ianya hanya RM20-30 sahaja berbanding dengan bas biasa.

4. Pakaian seragam lengkap

pemandu

Pemandu dan juga kelindan/pramugara/pramugari diwajibkan memakai pakaian seragam lengkap seperti juruterbang dengan baju putih dan tali leher serta baju diwajibkan masuk ke dalam. Tampak lebih kemas dan profesional ketika melakukan kerja.

5. Makanan dan minuman disediakan

konduktor bas thailand wanita 4

Setiap perkhidmatan bas akan memberikan satu botol minuman, 1 atau 2 bungkus roti dan juga sekotak jus minuman. Ianya akan diberi buat semua penumpang secara percuma. Bagi perkhidmatan bas pada waktu malam dan tiba di destinasi pada waktu pagi, pramugara atau pramugari akan menyediakan kopi atau teh panas buat penumpang. Best kan? Macam naik kapal terbang.

6. Kawasan rehat dan rawat

vip

makanan percuma

Ketika perhentian bas, semua penumpang diberikan makanan percuma sekali lagi dengan menunjukkan resit tiket. Bagi yang menggunakan servis bas VIP, terdapat ruangan khas VIP dengan meja bulat dan makan secara bufet dan bagi pemegang tiket bas biasa pula, bubur nasi, ikan kering, ayam masak merah dan telur rebus dihidangkan. Dan apa yang lebih penting, mereka mempunyai dua ruangan iaitu halal dan tidak. Seperti mana RnR yang lain, barangan runcit seperti air, snek atau makanan ringan yang lain turut dijual tetapi harga sedikit mahal dari biasa.

7. Simpanan beg diberikan tanda khas

konduktor bas thailand wanita 2

Beg hanya boleh dituntut dengan menunjukkan tanda yang diberi bermakna beg anda akan lebih selamat. Jika tiada tanda, anda tidak boleh ambil beg tersebut. Di Malaysia, banyak kes kehilangan beg di dalam bas ketika turun. Ramai yang mengambil kesempatan dengan mengambil beg orang lain dan pergi begitu sahaja. Tetapi dengan tanda khas, kita tidak dibenarkan ambil beg tanpa penyerahan balik tanda tersebut.

8. Tandas dalam bas

tandas 86

Setiap bas mempunyai tandas dan tandas di dalam bas sangat bersih. Ruangan tandas dipisahkan oleh pintu kedap udara supaya tidak mengganggu penumpang dengan bau yang kurang selesa. Ruangan antara pemandu bas dan penumpang juga dipisahkan oleh pintu jadi penumpang akan merasa lebih selesa untuk tidur dan tidak terganggu dengan pemandangan hadapan. Dahulu bas Malaysia juga ada tandas tapi dah dimansuhkan.

9. Roadblock

Ketika di dalam perjalanan, banyak roadblock polis dan juga askar terpaksa dihadapi menjadikan pemandu lebih berhati-hati mengelakkan diri dari disaman. Ini secara tak langsung meningkatkan keselamatan penumpang bas.

10. Pemandu 1, pemandu 2 dan kelindan

konduktor bas thailand wanita 944

Bagi kebanyakan bas, kelindan/pramugara/pramugari tidak memandu bas. Tugas mereka adalah membantu penumpang. Bagi setiap bas, mereka mempunyai 2 pemandu dimana akan bertukar tugas selepas tiba di perhentian. Pemandu 1 akan memandu dahulu di mana pemandu 2 akan rehat di ruangan rehat di dalam bas. Jadi, jumlah kakitangan perkhidmatan bas dalam satu perjalanan adalah 3 orang kesemuanya.

Sedikit sebanyak pandangan aku terhadap perkhidmatan bas di Thailand. Bagi sesiapa yang ingin menambah maklumat tambahan,boleh tambah di ruangan komen. Terima kasih.




Hakcipta iluminasi.com (2017)