Kehidupan di Malaysia dan banyak bahagian di seluruh dunia telah berubah secara drastik.
Secara fizikal, kita menjauhkan diri dari orang tersayang, tidak lagi pergi ke tempat-tempat awam kesukaan, dan ramai di antara kita terkesan secara kewangan atau tidak bekerja.
Tindak balas terhadap pandemik Covid-19 menyusup ke dalam setiap aspek kehidupan dan kami sudah tidak sabar lagi untuk semua ini berakhir.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi perjuangan ini mungkin tidak akan berakhir selama berbulan-bulan atau setahun atau lebih.
Kita berada dalam situasi sebegini kerana para pakar kesihatan awam percaya bahawa menjauhkan diri secara sosial adalah cara terbaik untuk mencegah krisis yang benar-benar mengerikan ini.
Walaupun Malaysia baru sahaja memasuki hari ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang sudah mengeluh dan ada yang sudah bingung untuk melakukan apa di rumah.
Di saat kehidupan kebanyakan manusia di dunia ini tergendala, pastinya ramai yang mempunyai persoalan yang sama, iaitu bilakah bencana ini akan berakhir dan kita boleh meneruskan hidup seperti biasa.
Ya, bilakah semua ini akan berakhir?
Kebenaran yang sangat pahit adalah SARS-CoV-2 mungkin akan terus menjangkiti kita dan menyebabkan wabak sehinggalah terdapat vaksin atau rawatan untuk menghentikannya.
"Saya rasa idea ini, iaitu jika kita menutup sekolah dan restoran untuk beberapa minggu, kita akan dapat menyelesaikan masalah ini dan kembali kepada kehidupan normal. Namun, ia tak akan berlaku," kata Adam Kucharski.
Adam Kucharski merupakan seorang ahli epidemiologi di London School of Hygiene & Tropical Medicine dan pengarang The Rules of Contagion, sebuah buku tentang bagaimana wabak tersebar.
Adam menambah lagi bahawa mesej utama yang cuba disampaikan daripada perintah berkurung ini seolah-olah tidak sampai kepada orang ramai, membuatkan kita akan berada dalam situasi ini lebih lama.
(Keadaan jalan di Itali selepas negara itu melaksanakan perintah berkurung)
Virus ini akan terus tersebar kemungkinan untuk tempoh setahun atau dua tahun, jadi kita perlu berfikir tentang skala itu.
Perdana Menteri United Kindgom Boris Johnson berkata beliau percaya bahawa UK boleh menumpaskan wabak COVID-19 dalam tempoh 12 minggu akan datang dan negara ini akan bebas SARS-CoV-2.
Tetapi walaupun jika jumlah kes-kes baru mula menurun bagi tempoh 3 bulan akan datang, kita masih jauh daripada pengakhiran wabak ini.
Ia boleh mengambil masa yang lama untuk virus ini benar-benar terhapus dan ada yang mengatakan ia memerlukan beberapa tahun.
Seperti yang anda sedia maklum dengan merasakan dengan sendiri, strategi semasa yang kita lakukan untuk membendung virus ini iaitu dengan tidak bergaul dan melumpuhkan sebahagian besar daripada masyarakat jelas tidak akan dapat bertahan untuk jangka masa panjang.
Kerosakan sosial dan ekonomi yang sedang berlaku akan mengundang bencana dahsyat.
Apa yang negara-negara terkesan akibat coronavirus perlukan adalah satu strategi untuk keluar dari belenggu ini, satu cara mengangkat sekatan dan kembali hidup normal.
Tetapi coronavirus tidak akan lenyap.
Kita tidak mempunyai sebarang pilihan yang baik dan setiap situasi yang mungkin boleh digunakan mempunyai kelemahan yang besar.
Ketika ini, ia kelihatan seperti satu-satunya cara yang berkesan untuk mengurangkan penyebaran virus ini adalah dengan mengambil langkah-langkah yang sangat teruk.
Sebab mengapa kita mungkin akan hidup dalam kekacauan untuk tempoh yang lebih panjang adalah kerana satu-satunya kaedah yang kelihatan berhasil pada ketika ini untuk melawan pandemik COVID-19 adalah dengan melaksanakan penjarakan sosial yang sangat dahsyat.
Jika langkah ini dihentikan yang mana membenarkan orang ramai kembali berkumpul dalam kumpulan yang besar ketika virus SARS-CoV-2 masih ada, ia boleh memulakan wabak baru yang mengancam orang ramai terutamanya warga emas dan mereka yang sakit kronik.
Sekiranya anda mengangkat sekatan yang dilakukan untuk memperlahankan penularan virus ini, maka kes-kes baru akan melonjak naik.
"Kita berhadapan dengan masalah yang sangat besar berkenaan dengan strategi untuk keluar dari masalah ini dan bagaimana cara untuk keluar," kata Mark Woolhouse, seorang profesor epidemiologi penyakit berjangkit di Universiti Edinburgh.
Beliau menambah bahawa masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh UK, tetapi tiada negara yang masih mempunyai strategi ini.
Ini adalah satu cabaran saintifik dan masyarakat yang tersangat besar. Pada dasarnya, apa yang kita tahu adalah terdapat 3 cara yang boleh dilakukan untuk keluar dari kekacauan ini.
Tiga pilihan tersebut adalah suntikan vaksin, jumlah orang yang cukup yang membina imuniti melalui jangkitan ini dan juga mengubah tingkah laku serta masyarakat secara kekal.
Setiap satu cara ini akan mengurangkan keupayaan coronavirus untuk tersebar.
1. Vaksin - sekurang-kurangnya lagi 12 hingga 18 bulan
Suntikan vaksin akan memberikan keupayaan kepada tubuh badan untuk menentang jangkitan tertentu supaya ia tidak terjangkit jika terdedah.
Jika kita memberikan suntikan vaksin kepada jumlah manusia iaitu kira-kira 60% daripada populasi dunia, maka virus ini tidak dapat untuk mencetuskan wabak.
Konsep ini dikenali sebagai imuniti kelompok atau "herd immunity".
Manusia pertama telah diberikan vaksin eksperimen di Amerika Syarikat minggu ini selepas para penyelidik dibenarkan untuk melangkau peraturan biasa iaitu melakukan ujian ke atas haiwan terlebih dahulu.
Penyelidikan vaksin berlaku pada kelajuan yang belum pernah berlaku sebelum ini, namun tiada jaminan ia akan berjaya dan akan memerlukan pelaksanaan imunisasi pada skala global.
Tekaan terbaik adalah kita akan dapat menghasilkan vaksin dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lagi, jika semuanya berjalan dengan lancar.
Tempoh ini adalah tersangat panjang lebih-lebih lagi kita sedang berhadapan dengan sekatan sosial.
2. Imuniti semula jadi - sekurang-kurangnya 2 tahun
Strategi jangka pendek United Kingdom adalah untuk mengurangkan kes-kes sebanyak yang mungkin bagi mengelakkan hospital daripada penuh sesak dengan pesakit COVID-19.
Ini kerana apabila katil rawatan rapi di sesebuah hospital itu semakin berkurangan, maka kematian akan melonjak.
Sebaik sahaja kes-kes berkurangan, ia mungkin membenarkan sekatan ke atas beberapa langkah-langkah pencegahan untuk diangkat, sehinggalah kes-kes baru melonjak dan sekatan sekali lagi diperlukan.
Dan bila perkara ini akan berlaku adalah tidak dapat dipastikan.
Penasihat saintifik United Kingdom, Sir Patrick Vallance, berkata bahawa meletakkan garis waktu mutlak ke atas hal-hal seperti ini adalah sangat mustahil.
Secara tak langsung, melakukan ini akan membawa kepada imuniti berkelompok ketika semakin ramai orang dijangkiti.
(Kaedah imuniti berkelompok)
Walaupun ia mungkin berhasil, namun hal ini boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk berlaku.
"Kita bercakap tentang membendung penyebaran virus pada tahap di mana hanya sebahagian kecil daripada negara sahaja yang dijangkiti. Jadi akhirnya, jika kita meneruskannya untuk tempoh lebih daripada 2 tahun, mungkin sebahagian kecil daripada negara pada ketika itu telah dijangkiti dan memberi perlindungan kepada masyarakat pada tahap tertentu," kata Prof. Neil Ferguson.
Tetapi, terdapat tanda tanya sama ada jenis imuniti ini akan bertahan lama atau tidak.
Coronavirus lain yang menyebabkan gejala selesema biasa, membawa kepada tindak balas imun yang sangat lemah dan kita boleh dijangkiti virus yang sama beberapa kali dalam hidup.
Jadi, adakah strategi ini mampu membuahkan hasil?
3. Alternatif - tiada titik akhir yang jelas
Menurut Prof. Mark Woolhouse, pilihan ketiga adalah perubahan kekal terhadap tingkah laku kita yang membolehkan kita untuk mengekalkan kadar penyebaran virus pada tahap yang rendah.
Ini bermakna kita mungkin terpaksa meneruskan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan seperti kawalan pergerakan, atau memperkenalkan ujian yang ketat dan pengasingan pesakit untuk sentiasa berada satu langkah di hadapan.
"Kita telah melakukan pengesanan awal dan juga mengesan kenalan pada awalanya, namun ia tidak berjaya," kata Prof. Mark Woolhouse.
Menghasilkan ubat-ubatan yang boleh merawat jangkitan Covid-19 juga dapat membantu strategi lain.
Ia boleh digunakan sebaik sahaja orang menunjukkan gejala-gejala dalam proses yang dikenali sebagai "kawalan penyebaran", bagi menghentikan mereka daripada memindahkannya kepada orang lain.
Atau ubat-ubatan ini boleh digunakan untuk merawat pesakit di hospital untuk membuatkan penyakit ini kurang berkeupayaan untuk membunuh dan mengurangkan tekanan terhadap rawatan rapi.
Ini boleh membenarkan sesebuah negara itu untuk menangani lebih banyak kes sebelum perlu melaksanakan perintah berkurung sekali lagi.
Menambah jumlah katil rawatan rapi akan memberikan kesan yang sama dengan meningkatkan keupayaan untuk menghadapi wabak yang lebih besar.
Ketua Penasihat Perubatan UK iaitu Prof. Chris Whitty berkata bahawa antara ketiga-tiga strategi ini, beliau memilih penyuntikan vaksin.
"Untuk jangka masa panjang, vaksin adalah sangat jelas sebagai cara untuk keluar dari semua ini dan kami berharap ia akan berlaku secepat mungkin," kata Prof. Chris Whitty.
Rujukan:
1. Perintah Berkurung Coronavirus: Sampai Bila Kita Perlu Hidup Sebegini?
2. Bilakah Wabak COVID-19 Akan Berakhir
3. Pymnts
4. Kita Mungkin Perlu Hidup Dengan Penjarakan Sosial Setahun Lagi