Sehingga 23 Mac 2020, Jepun mencatatkan 1,128 kes dan 42 kematian akibat COVID-19. 

Dengan lebih daripada 81,000 kes di China dan 8,900 kes di Korea Selatan, para pakar berasa pelik mengapa kes di Jepun tersangat rendah dan tertanya-tanya sama ada Jepun berjaya membendung virus ini atau belum melakukan ujian secukupnya ke atas penduduknya.

Malah, Jepun merupakan salah satu negara pertama di luar China yang dilanda novel koronavirus dan kini ia adalah salah satu yang paling kurang terkesan dalam kalangan negara maju.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, mengapa jangkitan novel coronavirus di Jepun tersangat rendah memandangkan jaraknya yang sangat hampir dengan China?

Jawapan utama bagi persoalan ini kelihatan seperti Jepun tidak menjalankan ujian koronavirus yang meluas, terutamanya berbanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Itali yang telah melakukannya dengan begitu agresif. 

"Teka-teki mengenai novel coronavirus di Jepun merupakan hakikat bahawa jika anda tidak melakukan ujian ke atasnya, anda tak akan menemui banyak kes," kata Jason Kindrachuk, penolong profesor patogenesis virus di University of Manitoba.

Jason Kindrachuk bukan satu-satunya yang mengesyaki bahawa Jepun gagal melaporkan kes-kes COVID-19 ini.

Kenji Shibuya yang merupakan bekas ketua dasar kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memberitahu bahawa Jepun sama ada "membendung penyebaran dengan menumpukan pada kluster wabak, atau wabak ini belum ditemui,"

Birokrasi politik

shinzo abe jepun

Hal ini mungkin mempunyai kaitan dengan sistem pembuatan dasar Jepun.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Pejabat Kabinet menguatkan kuasa mereka untuk membuat dasar hasil daripada pembaharuan pentadbiran sejak tahun 1990-an, sementara kuasa birokrat dan anggota parlimen melihatkan kemerosotan.  

Walaupun demikian, dasar Jepun terhadap SARS-CoV-2 kelihatan seperti bergantung kepada perbincangan oleh mesyuarat pakar di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan (MHLW).

Dan walaupun pejabat Perdana Menteri Shinzo Abe memainkan peranan dalam membuat keputusan untuk mencegah penyebaran novel coronavirus dengan mengadakan beberapa mesyuarat, keputusan tersebut berdasarkan kepada cadangan dasar ahli MHLW.

Mesyuarat pakar MHLW telah diketuai oleh pengarah Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIID).

Keutamaan NIID adalah tinjauan epidemiologi dan cadangan dasarnya mensasarkan ujian "berkualiti tinggi" dan bukannya menyediakan rawatan perubatan yang fleksibel kepada seberapa banyak pesakit yang mungkin.

Sehingga pertengahan bulan Februari, MHLW membenarkan ujian tindak balas rantai polimerase, yang mengambil masa antara 3 dan 6 jam untuk menunjukkan hasil, yang akan dijalankan hanya di pusat kesihatan awam.

Bersama-sama dengan larangan MHLW dalam menggunakan kaedah ujian mudah yang disediakan oleh syarikat swasta untuk mengelakkan hasil ujian dan data yang tidak tepat, keterbatasan ujian coronavirus menyebabkan kekurangan keupayaan pengujian yang teruk.

sukan olimpik tokyo 2020 yang bakal berlangsung di jepun pada julai 2020

Dengan populasi melebihi 126 juta orang, Jepun telah menjalankan 32,125 ujian dalam tempoh beberapa bulan yang lalu.

Namun disebabkan oleh sestengah orang menjalani ujian beberapa kali, membuatkan Jepun sebenarnya hanya melakukan ujian ke atas 16,484 individu atau kira-kira 1 ujian dalam 7,600 orang.

Sebagai perbandingan, Korea Selatan yang memiliki populasi melebihi 50 juta, kelihatan seperti memperlahankan penyebaran virus SARS-CoV-2 dengan melakukan ujian ke atas lebih daripada 270,000 rakyatnya, atau sekitar 1 ujian dalam 185 orang.

Jepun dilaporkan hanya menggunakan satu perenam daripada keupayaan menguji keseluruhan. Keupayaan untuk menguji dimiliki Jepun adalah sebanyak 7,500 sehari namun kementerian kesihatan negara ini memberitahu bahawa mereka tidak perlu menggunakannya ketika ini.

Bilangan ujian yang kecil adalah disebabkan oleh tindak balas birokrasi yang perlahan, yang juga dilihat dalam pengurusan krisis yang teruk oleh MHLW melibatkan kes Diamond Princess.

Terdapat keraguan dan syak wasangka bahawa kerajaan Jepun kurang menjalankan ujian novel coronavirus ini untuk menyembunyikan skop dan tahap keterukan jangkitan, sebahagiannya disebabkan oleh hakikat bahawa pentadbiran Abe tetap mahu meneruskan penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai ini. 

Dan selepas kritikan yang menggunung, barulah MHLW memutuskan untuk membenarkan penggunaan alat ujian mudah di hospital swasta dan membiayai kos ujian dengan insurans kesihatan kebangsaan. 

Walau bagaimanapun, ia masih perlu untuk mendapatkan kelulusan doktor yang dibenarkan untuk melakukan ujian secara persendirian.

Pengurusan krisis

kes covid 19 yang sangat rendah di jepun 1

Faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kadar jangkitan SARS-CoV yang agak rendah di Jepun adalah seperti cadangan kerajaan untuk menutup sekolah sehingga permulaan musim bunga dan pembatalan acara sukan dan konsert.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini juga telah diambil oleh kerajaan-kerajaan lain di seluruh dunia dan kesannya agak sukar untuk diukur.

Dan keputusan Shinzo Abe untuk menutup sekolah tanpa berunding dengan partinya sendiri, parti pembangkang atau gabenor dan jawatankuasa pendidikan di wilayah prefektur Jepun, telah dikritik hebat.

Reputasi orang Jepun melibatkan kebersihan mungkin relevan dalam hal ini, walaupun kesannya juga sukar untuk diukur.

Kekurangan agensi kerajaan yang dibiayai dengan baik yang bertujuan untuk pencegahan penyakit mungkin juga memberikan kesan kepada jumlah kes yang rendah, di mana  Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan mungkin tidak dapat memimpin tugasan untuk mencegah penyakit meluas.

Terdapat juga persoalan mengenai apa yang kerajaan Jepun pelajari mengenai pengurusan krisis dari bencana nuklear Fukushima pada tahun 2011.

Masalah penyelarasan yang tidak mencukupi di kalangan kementerian kerajaan serta antara kerajaan dan sektor swasta yang dikenal pasti berikutan bencana 2011 masih wujud, seperti kurangnya kepimpinan yang kuat oleh perdana menteri.

Sebab lain mengapa Jepun kurang kes COVID-19

shinzo abe dan xi jinping

Kes pertama di Jepun dikesan pada 16 Januari 2020. 

Bilangan kes meningkat dengan begitu cepat selepas wabak di atas kapal pelayaran Diamond Princess pada awal Februari. Tetapi sejak itu, kes-kes di Jepun meningkat dengan sangat perlahan berbanding negara-negara lain. 

Pada 1 Februari, Jepun mengenakan larangan ke atas pelawat dari wilayah Hubei, China dan pada 13 Februari, ia menambah wilayah Zhejiang ke dalam senarai itu.

Tidak seperti China yang mengambil langkah-langkah pengasingan yang agak dahsyat, kuarantin besar di kebanyakan negara Eropah dan bandar-bandar besar di Amerika Syarikat yang memerintahkan rakyatnya untuk kekal di rumah, Jepun tidak mengenakan perintah berkurung.

Walaupun terdapat gangguan akibat penutupan sekolah, kehidupan di Jepun terus normal bagi kebanyakan penduduk dengan kereta api kekal sesak serta restoran tetap dibuka.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa penyebaran virus yang perlahan mungkin kerana budaya Jepun lebih terasing secara sosial daripada budaya lain secara semula jadi.

orang ramai bersesak di jepun

Selain itu, adalah menjadi satu perkara biasa bagi rakyat Jepun selamat bertahun-tahun untuk memakai topeng muka apabila sakit atau mengalami alahan.

Jadi kecenderungan semulajadi ini juga mungkin menghalang penyebaran virus yang sedang melanda dunia.

Jason Kindrachuk tidak begitu bersetuju dengan pendapat ini, tetapi mengaku bahawa ia sukar untuk diperkatakan. 

"Terdapat banyak perbezaan yang kecil melibatkan virus ini yang membuatkan ia sangat sukar untuk difahami dan dibendung sepenuhnya," kata Jason Kindrachuk.

Ketika ini, jumlah kes di Jepun yang sedikit mungkin akan mencetuskan "rasa selamat yang palsu" kepada negara ini.

Terdapat kemungkinan bahawa SARS-CoV-2 ini masih belum merebak ke populasi yang paling terdedah terhadapnya.

Dalam erti kata lain, jumlah yang dijangkiti sangat rendah dalam kalangan rakyat Jepun tidak akan kekal dan kemungkinan akan melonjak selepas ini.  

Rujukan:

1. Jangkaan Lonjakan COVID-19 Di Jepun

2. Kurangnya Kes COVID-19 Di Jepun Cetuskan Kebimbangan Pakar

3. Mengapa Kes COVID-19 Di Jepun Sangat Rendah




Hakcipta iluminasi.com (2017)