Oleh pada 28 Apr 2021 kategori

kes covid 19 india memburuk

Kes COVID-19 di India telah menyaksikan peningkatan yang sangat dahsyat dalam beberapa minggu terakhir ini.

Kes tertinggi harian dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 362,902 kes dengan 3,492 kematian harian dan 201,165 jumlah kematian.

Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 di India setakat ini adalah 17,988,637 kes dengan tiada petanda bahawa lonjakan ini akan reda.

kes kematian di india melonjak 505

Perintah berkurung telah dilaksanakan di ibu negara India iaitu Delhi bermula 21 April dan negeri Maharashtra, pusat kepada lonjakan ini dan ibukota kewangan India iaitu Mumbai telah mengetatkan lagi sekatan ke atas kedai-kedai serta penghantaran makanan.

Persoalan penting adalah apa yang menyebabkan kebangkitan kes di India yang mana digambarkan oleh Perdana Menteri Narendra Modi "seperti dilanda ribut" ini?

Kekurangan persediaan

mengapa berlaku lonjakan covid 19 di india

Pada awal bulan Februari, India seolah-olah dapat mengawal virus ini dan kes harian yang dicatatkan adalah sekitar 10,000 kes sehari.

Ia mungkin kelihatan tinggi namun bagi negara dengan populasi hampir 1.4 bilion ini, angka tersebut adalah agak rendah.

Namun oleh kerana jumlah tersebut kemudiannya meningkat 20 kali ganda, ia membuatkan kerajaan India tersentak dan tidak bersedia menghadapi pertambahan tersebut.

kes covid india

Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan, berkata pada bulan Mac bahawa negara itu telah memasuki fasa "penamat" bagi COVID-19, namun jumlah kes harian mula melihatkan peningkatan.

Bhramar Mukherjee, ahli biostatistik di University of Michigan yang mengikuti perkembangan pandemik India, memberitahu bahawa India gagal belajar untuk mempersiapkan diri menghadapi situasi serupa dari lonjakan kedua atau ketiga yang berlaku di negara-negara seperti Brazil dan UK.

Varian ‘mutan berganda’

varian baharu covid 19 di india

Penemuan varian baharu Covid-19 di India telah menimbulkan kebimbangan yang meluas dan dikatakan menjadi salah satu faktor utama yang mendorong gelombang kes ini.

Varian ini dikenali sebagai B.1.617 dan mempunyai dua mutasi yang luar biasa iaitu E484Q dan L425R.

Varian yang disebut sebagai "mutan berganda" ini dipercayai lebih mudah ditularkan daripada jenis sebelumnya.

india bergelut lonjakan kes covid 19 2

Walaupun para saintis masih belum pasti betapa berbahayanya, penyebaran varian ini yang cepat di seluruh Maharashtra dan kemudian ke seluruh India adalah sebab utama mengapa UK telah mengharamkan perjalanan dari India ke negara terbabit..

Sistem kesihatan terbeban

kekurangan hospital india covid 2

Terdapat banyak laporan mengenai katil hospital yang tidak cukup, dengan ahli keluarga pesakit yang terdesak terpaksa meminta bantuan di media sosial bagi mendapatkan rawatan.

Juga berlaku kekurangan bekalan perubatan, terutamanya oksigen.

Sebuah hospital di Burari di pinggir Delhi melaporkan bahawa mereka hanya memiliki bekalan oksigen untuk dua hari dan pembekal oksigen juga mengalami masalah kekurangan bekalan.

india bergelut lonjakan kes covid 19

Malah, makmal-maklam di India juga tidak bersedia untuk menghadpi peningkatan permintaan untuk ujian yang hadir bersama-sama lonjakan ini.

Menurut A Velumani, pengerusi dan pengarah urusan Thyrocare, salah satu makmal ujian swasta terbesar di India, semua orang berada dalam keadaan tidak bersedia ketika lonjakan ini berlaku.

Dia juga memberitahu bahawa permintaan meningkat sebanyak 3 kali ganda berbanding tahun lepas.

Perintah berkurung dilonggarkan terlalu cepat

kumbh mela perayaan hindu covid 19

India dipuji kerana melaksanakan perintah berkurung dengan pantas pada tahun lalu, namun terdapat kritikan terhadap pemerintah kerana melonggarkan perintah berkurung ini dengan terlalu cepat.

Narendra Modi, yang menolak cadangan bahawa langkah-langkah keselamatan di seluruh negara harus diperkenalkan semula telah dikritik hebat kerana mengadakan demonstrasi tanpa jarak sosial yang selamat.

kumbh mela perayaan hindu covid 19 2

Perayaan Hindu juga telah dibenarkan untuk diraikan, terutama perhimpunan Kumbh Mela besar di Haridwar yang telah menarik sebanyak 25 juta orang sejak Januari, termasuk sekitar 4.6 juta minggu lalu sahaja.

Dan sudah tentunya, sebahagian besar daripada mereka yang mengambil bahagian mengabaikan garis panduan COVID-19.

Pelancaran vaksin

kekurangan bekalan vaksin di india

India melancarkan program vaksinasi besar-besaran tetapi belum cukup untuk membendung arus lonjakan ini.

Lebih daripada 100 juta dos telah dihantar tetapi negara ini masih berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan.

Kerajaan Indian memberitahu minggu lalu bahawa mereka hanya mempunyai baki kurang daripada 27 juta dos, yang mampu bertahan untuk tempoh 9 hari.

India adalah pengeluar vaksin terbesar di dunia dan kini diharapkan dapat mengalihkan pengeluaran ke penggunaan domestik.

Hal ini sekaligus menyebabkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan vaksin di tempat lain di seluruh dunia.

Rujukan:

1. National Geographic

2. Scientific American

3. Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)