img 20200330 101241

Di tengah-tengah kekalutan ini, menuding jari siapa yang sepatutnya dipersalahkan bukanlah perkara terbaik yang kita perlu lakukan.

Ia sebenarnya menambahkan lagi masalah sedia ada membuatkan seluruh dunia menjadi bermasalah.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah bermuhasabah diri dan berfikir sejenak apa sebenarnya pengajaran yang boleh diambil daripada pandemik COVID-19 ini.

Ramai yang melihatkan COVID-19 ini sebagai satu malapetaka, namun jika kita melihat dengan mata hati, ia sebenarnya suatu yang dapat mengubah dunia yang pada ketika ini sedang tenat dari pelbagai aspek.

iluminasi.com kongsikan 8 pengajaran penting yang patut kita ambil dari wabak COVID-19.

1. Kesaksamaan

kepelbagaian bangsa

Wabak COVID-19 disebabkan oleh novel coronavirus atau SARS-CoV-2 mengingatkan kita bahawa kita semua adalah sama tanpa mengira budaya, agama, profesion, kekayaan atau reputasi.

Ini kerana tak kiralah betapa banyak harta atau tingginya pangkat anda, anda juga akan terdedah kepada penyakit berjangkit sama seperti mereka yang papa kedana.

Jadi, ini mungkin satu peringatan bagi kita untuk melayan semua orang dengan sama rata.

2. Kesan individu kepada masyarakat

kesan individu kepada masyarakat

Sedar atau tidak, virus yang menyerang kita ketika ini membuktikan bahawa kita semua mempunyai kaitan yang sangat mendalam. 

Jika seorang daripada kita dijangkiti virus ini, ia akan merebak kepada seorang demi seorang sehinggalah kesemua daripada kita dijangkiti COVID-19.

Kesan terhadap seorang individu walaupun sekecil mana pun akhirnya dapat memberikan kesan ke tahap global.

Ia juga mengingatkan kita bahawa walaupun kita sedang mengalami kesulitan, lebih ramai ramai orang akan berhadapan dengan masalah sepanjang hayat

3. Kesihatan tidak ternilai

bersenam jaga kesihatan

Ini mungkin merupakan pengajaran yang tidak ternilai dan dipelajari oleh semua orang ketika ini.

Wabak pandemik COVID-19 telah mengingatkan kita bahawa kesihatan yang dikurniakan kepada kita dengan percuma ini adalah sangat tidak ternilai.

Antara golongan yang lebih cenderung untuk meninggal dunia adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada seperti darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang dan lain-lain.

Mungkin sebelum ini kita tidak begitu mengendahkan penyakit-penyakit ini kerana walaupun ia berbahaya, tetapi masih boleh dikawal.

Namun jika mereka ini dijangkiti novel coronavirus, kemungkinan untuk terkorban adalah sangat tinggi.

Pengajarannya adalah tak kira sama ada wabak melanda kita atau tidak, kesihatan kita perlu menjadi perkara utama kerana tanpanya, kehidupan kita tiada lagi makna.

Jika kita terus mengabaikan kesihatan, penyakit ini akhirnya boleh memerangkap kita semua.

4. Hidup ini sangat singkat

covid 19 711

Jangkitan COVID-19 sangat berbahaya, itu apa yang semua orang tahu.

Ia juga mengingatkan kita bahawa hidup ini terlalu singkat.

Jika hari ini kita bernafas dengan baik, namun jika dijangkiti SARS-CoV-2 ini, kita mungkin akan menghembuskan nafas selepas 1 atau dua minggu.

Dalam ketika itu, saling membantu adalah sangat bermakna dan membantu warga emas serta para pesakit adalah apa yang kita harus lakukan.

Ketika wabak ini melanda, kita dapat melihat negara-negara saling membantu untuk membendung wabak ini.

5. Kehidupan materialisitik

membeli belah keperluan

Wabak COVID-19 juga menyedarkan kita betapa materialistiknya masyarakat kita pada hari ini.

Apabila masalah sebegini melanda kita semua, kita hanya memberikan perhatian kepada keperluan asas sahaja seperti air, makanan, ubat-ubatan malah kertas tisu. 

Ini secara tak langsung menunjukkan bahawa segala barangan mewah dan duniawi yang sebahagian besar daripada kita kejarkan selama ini tidak lagi penting bagi kita.

Apa yang penting bagi semua golongan manusia tanpa mengira status hanyalah barang keperluan asas untuk meneruskan hidup.

6. Hubungan kekeluargaan

hubungan keluarga penting

Jika kita tidak dibelenggu dengan wabak COVID-19 ini, mungkin kita tidak ingat tentang kepentingan bersama ahli keluarga.

Sebahagian besar daripada masyarakat dunia ketika ini berlumba-lumba mencari kekayaan sehinggakan terlupa perkara yang sangat penting iaitu keluarga.

Wabak ini juga mengingatkan kita betapa banyaknya masa yang telah kita bazirkan selama ini.

Ia memaksa kita untuk pulang dan kekal di rumah untuk seketika, sekaligus menguatkan hubungan kekeluargaan yang selama ini entah ke mana.

7. Kerja bukanlah segala-galanya

kerja bukan segala galanya

Bagi sesetengah daripada kita, kerja adalah segala-galanya bagi mereka. Ada yang bekerja 7 hari seminggu dan mendedikasikan hidup semata-mata kepada syarikat.

Wabak ini secara tak langsung mengingatkan kita bahawa pekerjaan bukanlah segala-galanya.

Kita sebenarnya kerja untuk hidup, dan bukannya hidup untuk bekerja.

Apa yang perlu dititikberatkan adalah kita perlu membantu, melindungi dan menyokong antara satu sama lain.

8. Kuasa kehendak berada di tangan kita

bantuan ustaz ebit lew

Apabila sesuatu masalah global berlaku, kita mempunyai pilihan individu.

Kita boleh memilih sama ada untuk bekerjasama, menyokong, berkongsi, memberi dan membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, kita juga boleh memilih untuk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.

Dan saat-saat genting inilah yang akan memperlihatkan siapa kita sebenarnya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)