Oleh pada 16 Jan 2018 kategori

Sumber foto: movieweb.com

Vokalis kumpulan rock, The Cranberries, Dolores O’Riordan disahkan meninggal dunia secara mengejut di London semalam.

Menurut stesen televisyen RTE, O’Riordan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjalani sesi rakaman.

Bagaimanapun, punca kematian penyanyi yang berusia 46 tahun itu masih tidak dikenalpasti.

Kumpulan sensasi The Cranberries bermula di Limerick, Ireland pada tahun 1989 dan mencipta fenomena di pentas muzik antarabangsa pada awal 1990-an.

Ahli kumpulan lain iaitu Noel Hogan (pemain gitar), Mike Hogan (pemain bass) dan Fergal Lawler (pemain drum).

Antara lagu malar hijau dendangan mereka yang masih popular sehingga ke hari ini ialah "Zombie", "Linger", "Ode To My Family" dan "Dreams".

The Cranberries pernah melalui zaman gelap apabila mereka nekad untuk berpecah pada tahun 2003. Bagaimanapun, mereka bergabung semula pada tahun 2009.

Sepanjang waktu perpecahan kumpulan itu, O'Riordan pernah mengeluarkan album solonya sendiri berjudul "Are You Listening?" (2007) dan "No Baggage" (2009).

Pada tahun 2017, mereka telah mengadakan siri jelajah di Eropah dan Amerika Utara bagi album akustik yang bertajuk "Something Else".

Meskipun demikian, tempoh konsert berkenaan terpaksa disingkatkan atas faktor kesihatan O’Riordan yang mengalami sakit tulang belakang pada ketika itu.

Kumpulan The Cranberries juga cukup dikenali pada tahun 1990-an menerusi lagu "Linger" yang mencatat rekod jualan mencecah 40 juta di peringkat antarabangsa.

Sumber berita:

1.    Astro Awani

2.    Reuters

3.    Utusan Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)