Oleh pada 26 Dec 2018 kategori

Sewaktu kecil, kita pastinya kagum melihat corak pada baju atau barangan yang seakan-akan bercahaya dalam keadaan gelap. Itulah yang keadaan dipanggil "Glow in the Dark". Pastinya anda akan terkesima melihatnya, seolah-olah barangan "glow in the dark" tersebut mempunyai "kuasa" yang mampu menghailkan cahaya dengan sendirinya.

Biasanya, barangan yang mempunyai keupayaan "glow in the dark" ini perlu diletakkan di kawasan yang terang dalam sesuatu tempoh untuk "dicas" sebelum ianya mampu bercahaya apabila diletakkan pada dalam keadaan gelap.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cahaya yang dihasilkan ini pula tidak kekal lama sebaliknya akan semakin malap selepas suatu ketika. Boleh dikatakan hampir kesemua pembaca Iluminasi pernah melihat barangan "glow in the dark" ini. Namun, pernahkah anda terfikir apakah sebab dan penjelasan di sebalik ciri-ciri "glow in the dark" ini?

Kewujudan "fosfor"

gam glow in the dark

Bagi mengetahui bagaimana ciri-ciri "glow in the dark" ini wujud, anda perlu mengetahui sains di sebaliknya. Barangan yang mempunyai kebolehan "glow in the dark" ini adalah disebabkan kewujudan sebatian kimia yang dikenali sebagai fosfor.

Fosfor adalah sejenis bahan yang menyerap tenaga daripada sumber lain seperti mentol dan melepaskan tenaga tersebut dalam bentuk cahaya. Cahaya yang dihasilkan inilah menyebabkan barang-barang yang mempunyai bahan fosfor ini kelihatan bercahaya apabila berada di tempat yang gelap.

Disebabkan itulah, barangan yang mempunyai kebolehan "glow in the dark" ini perlu dicas, iaitu didedahkan kepada cahaya terang untuk suatu tempoh sebelum ianya boleh mengeluarkan cahaya apabila diletakkan dalam keadaan yang gelap kemudiannya.

Penggunaan fosfor pada barangan harian

rahsia glow in the dark

Bagi menghasilkan barangan yang mempunyai keupayaan "glow in the dark" ini, ahli kimia telah menghasilkan beribu bahan kimia yang mempunyai keupayaan seperti fosfor. Secara umumnya, terdapat 3 ciri utama fosfor:

  1. Jenis tenaga yang boleh diserap
  2. Warna cahaya yang dihasilkan
  3. Tempoh masa cahaya yang dihasilkan

Untuk menghasilkan mainan dan barangan harian yang "glow in the dark" ini, fosfor yang digunakan mestilah mampu menyerap cahaya daripada lampu biasa disekeliling dan cahaya yang dihasilkan mampu bertahan lama.

Antara dua jenis fosfor yang mempunyai kedua ciri ini adalah Zink Sulfida dan Strontium Aluminate . Strontium Aluminate adalah antara ciptaan terbaru dan biasanya digunakan pada mainan atau barangan yang lebih mahal kerana cahaya yang dihasilkan mampu bertahan lebih lama daripada Zink Sulfida.

Photoluminescence vs chemiluminescent vs bioluminescent

stik bercahaya glow in the dark 355

Dalam istilah sains, perkara ini disebut sebagai photoluminescence. Photoluminescence ini berbeza sama sekali dengan chemiluminescent, iaitu cahaya yang terhasil akibat tindak balas kimia dan bioluminescent, iaitu cahaya yang dihasilkan oleh haiwan. 

Mungkin anda pernah melihat stik bercahaya (glowing stick) yang digunakan di parti dan majlis keramaian. Stik ini akan menghasilkan cahaya apabila anda membengkokkan atau mematahkannya. Cahaya ini terhasil apabila bahan kimia hidrogen peroksida dan diphenyl oxalate yang terdapat padanya bercampur dan menghasilkan satu tindak balas kimia.

Tindak balas antara kedua bahan kimia ini akan menghasilkan satu tenaga yang kemudiannya akan diserap oleh elektron yang terdapat pada fluorescent dye molecule. Kemudian, tenaga ini akan dilepaskan semula dalam bentuk cahaya.

kelip kelip 338

Sesetengah haiwan seperti kelip-kelip kelihatan bercahaya ketika keadaan gelap dan cahaya yang terhasil itu adalah kerana proses yang dikenali sebagai bioluminescent. Cahaya ini terhasil akibat daripada kewujudan molekul luciferin pada haiwan ini.

Kebanyakan haiwan laut juga mempunyai kebolehan ini dan ianya digunakan sebagai salah satu cara untuk menarik perhatian mangsa. Untuk mengetahui contoh-contoh haiwan yang bercahaya ketika waktu gelap, sila baca artikel 10 Makhluk Bercahaya di Dalam Gelap yang pernah kami paparkan satu ketika dahulu.

Diharapkan artikel ini memberi sedikit sebanyak penjelasan bagaimana kejadian "glow in the dark" ini berlaku. Ini juga merupakan satu contoh bagaimana "keajaiban" sains digunakan dengan sebaiknya untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan bermanfaat.

Kredit:

  1. The Conversation
  2. How Stuff Works



Hakcipta iluminasi.com (2017)