Oleh pada 05 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

“Kami belum cakap apa-apa.”

Begitulah jawapan ringkas penyanyi Ziana Zain kepada portal Harian Metro apabila ditanya tentang dakwaan yang mengatakan beliau dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri telah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin lalu untuk urusan tuntutan cerai.

Ziana membuat kenyataan sewaktu menghadiri sebuah majlis pertunjukan fesyen yang berlangsung di ibu negara.

Dalam pada itu, Ziana berkata, dia dan suami perlu menyelesaikan beberapa proses termasuk menjalani sesi kaunseling.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sumber, Armin dikatakan tidak bersetuju untuk melafazkan cerai, justeru meminta agar kes itu diselesaikan oleh jawatankuasa pendamai.

Sebelum ini, kes rumah tangga Ziana menjadi hangat apabila Armin, 53, didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada anak mereka.

Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada awal Mac atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan hingga mengakibatkan luka dan lebam pada anaknya dalam kejadian yang berlaku di kediaman mereka di Denai Alam, Shah Alam pada jam 4 pagi, 25 Februari lalu.

Sementara itu, Ziana akui anak-anak dan kerjaya seni menjadi kekuatannya dalam menempuh musibah hidup.

Penyanyi bersuara lantang ini merakamkan penghargaan buat para peminat yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat sepanjang dia berdepan kemelut tersebut.

hadir di mahkamah syariah ziana zain jawab dakwaan bakal bercerai 2

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

“Saya tidak bimbang, selagi bergelar artis, baik dan buruk harus juga dihadapi. Bagaimanapun, saya terharu dan berterima kasih atas kasih sayang ditunjukkan orang keliling dan peminat sepanjang berdepan dengan masalah ini.

“Saya percaya Allah Maha Kaya. Sebagai manusia kita harus menjangkakan perkara yang tidak dijangka. Saya sentiasa bersyukur atas sokongan diberikan,” katanya.

Tambahnya, beliau nekad untuk terus menikmati perjalanan kehidupan yang ada pada hari ini kerana tidak mengetahui nasib yang bakal berlaku di masa mendatang. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)