Kredit foto: Suria FM

Dijangkakan keputusan mengenalpasti identiti jantina sebenar usahawan sensasi, Nur Sajat Kamaruzzaman akan mengambil masa lebih panjang apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberitahu pihaknya dihalang untuk meneruskan prosedur.

Jika sebelum ini, Jakim mendedahkan perlu mengambil masa dalam anggaran sebulan untuk menyudahkan proses itu, namun kali ini akan berlarutan lebih lama apabila ada pihak ketiga yang cuba menghalang mereka.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, pihak ketiga yang dimaksudkan adalah daripada pihak Sajat sendiri.

“Ada gangguan daripada pihak ketiga buat masa sekarang ini,” katanya kepada portal MStar Online tanpa memberitahu siapa gerangan individu berkenaan.

Pada 19 Januari lalu, Mohd Izwan menyatakan persetujuan yang telah dicapai oleh pihaknya bersama Sajat untuk membuat pengesahan identiti usahawan itu dan proses mengambil masa dalam tempoh minimum sebulan.

Dalam pada itu, apabila diminta mengulas bila prosedur itu dihalang oleh pihak ketiga, Mohd Izwan hanya berkata:

“Apa-apa kami akan maklumkan kemudian, tapi pada masa ini ada terhalang.”

Sementara itu, pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim ini turut menegaskan sikap komited mereka untuk menyudahkan proses pengesahan identiti itu demi meleraikan persoalan yang bermain di minda masyarakat.

“Kita akan cuba selagi upaya untuk memujuk Sajat meneruskan proses-proses itu. Kita berharap agar dapat diteruskan apa yang telah dipersetujui dalam pertemuan dulu,” katanya yang enggan mengulas panjang, namun memberitahu persetujuan yang diperkatakan itu adalah memperoleh kerjasama baik daripada pihak Sajat.

Sumber berita: Sinar Harian & Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)