Kredit foto: terengganutimes.com

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akhirnya tampil mendedahkan identiti jantina sebenar usahawan sensasi, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Menurut portal Mstar Online, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, ia dibuat berikutan kenyataan yang dikeluarkan Sajat mengenai identitinya.

Pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim itu memberitahu dia dimaklumkan usahawan itu adalah seorang khunsa iaitu manusia yang mempunyai dua alat kelamin.

“Ya betul, ibu bapa Sajat telah bersumpah bahawa Sajat adalah khunsa,” kata Mohd Izwan kepada Mstar Online pada Khamis.

Dilaporkan, Sajat terlebih awal telah menyatakan identiti jantinanya kepada Jakim sewaktu pertemuan pertama yang melibatkan dirinya, kedua ibu bapa beliau dan Mohd Izwan di Wisma Nur Sajat di Shah Alam pada 16 Januari lalu.

Namun, Mohd Izwan menggesa agar pengakuan bersumpah mereka itu disertai pengesahan pihak berautoriti dari sudut perubatan.

Ekoran itu, Jakim mempelawa Sajat untuk menjalankan beberapa prosedur pengesahan jantina daripada pakar perubatan bertauliah dan diperakui kerajaan.

“Sebenarnya, Jakim telah pun mengatur temujanji di antara pakar perubatan dengan pihak Sajat.

“Namun di saat akhir Sajat tidak hadir atau membatalkan temujanji pemeriksaan pakar perubatan kerana didesak oleh pihak ketiga di pihak Sajat sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Mohd Izwan memaklumkan proses mengenalpasti identiti jantina usahawan itu akan berlarutan lebih lama kerana ada pihak ketiga yang cuba menghalang mereka.

Namun Mohd Izwan tetap komited untuk menyudahkan proses berkenaan demi meleraikan persoalan yang bersarang di minda masyarakat.

Manakala, Sajat yang diminta mengulas mengenai halangan daripada pihak ketiga itu bagaimanapun enggan memberi jawapan kerana tidak mahu terus menjadi perhatian.

"Maaf. Saya tidak mahu komen lanjut. Cukuplah saya sudah memberikan kerjasama yang baik dengan Jakim.

"Malah kami juga sudah menjalin persetujuan. Biarlah apa yang dibincangkan hanya kami saja yang tahu," katanya.

Pada 19 Januari lalu, Mohd Izwan menyatakan persetujuan yang telah dicapai oleh pihaknya bersama Sajat untuk pengesahan identiti usahawan itu. Proses berkenaan dikatakannya bakal mengambil masa dalam tempoh minimum sebulan.

Sumber berita: Sinar Harian & Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)