Kredit foto: Instagram Nur Sajat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhasrat mahu menemui usahawan kosmetik, Nur Sajat.
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof meluahkan niat tersebut dalam sebuah kenyataan terbuka di laman sosial.
"Saya berhajat untuk berjumpa Nur Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan masyarakat.
"Kami menjemput Nur Sajat untuk hadir ke Jakim untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat atau kami sedia berjumpa dengannya di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7," katanya dalam kenyataan dua hari lalu.
Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim berkata, pihaknya akan mengambil sikap berkecuali tentang hal-hal yang berlegar di media sosial kerana tidak tahu isu sebenar yang dihadapi usahawan itu.
"Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Nur Sajat.
"Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam," katanya.
Izwan berkata, pertemuan mereka itu mungkin akan menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran ummah.
"Kami juga ingin nasihatkan Nur Sajat supaya mendekati al-Quran dan banyakkan zikrullah," katanya.
Dalam kenyataan lain, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi laman Twitter bersetuju untuk mengaturkan pertemuan itu.
“Assalamualaikum, Dr Izwan Yusof, setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum,” tulis Othman.
Sumber berita: Sinar Harian