Pegawai kerajaan di Punjab, India, telah melancarkan satu inisiatif yang kreatif untuk meningkatkan jumlah pokok dan memelihara sumber air bawah tanah di negeri itu. Ia adalah salah satu langkah yang dibuat untuk menangani krisis air di sana.

Bagi penduduk yang ingin mendapatkan lesen senjata api, mereka perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu. Pihak kerajaan di daerah Ferozepur, Punjab, meminta agar pemohon lesen senjata api menanam 10 anak pokok sebagai syarat awal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ia mungkin kedengaran aneh tetapi ia adalah satu strategi bijak yang dibuat oleh pihak pentadbiran tempatan. Pokok adalah pengisi semula jadi air bawah tanah dan juga dapat melambatkan pengaliran air hujan.

salah satu tarikan pelancong di ferozepur

Salah satu tarikan pelancong di Ferozepur

Selain itu, langkah murni ini juga merupakan satu langkah utama dalam mewujudkan kesedaran tentang alam sekitar dan krisis air ekstrem yang melanda kawasan itu.

Punjab merupakan hab pertanian di India dan salah sat pengeluar gandum dan padi terbesar negara. Disebabkan krisis air yang berlaku, kawasan pertanian dan hasil pengeluaran telah menurun sebanyak 20 peratus.

kawasan pertanian di ferozepur

Kawasan pertanian di Ferozepur

Seperti kebanyakan negeri lain di India, Punjab kini mengalami kekurangan air paling teruk dalam sejarah. Eksploitasi air bawah tanah secara besar-besaran telah menyebabkan krisis kekurangan air di beberapa kawasan.

Keadaan ini akan menjadi bertambah buruk dalam hanya beberapa tahun lagi sekiranya tiada langkah drastik diambil. Laporan kerajaan telah memberi amaran bahawa air bawah tanah di negeri ini mungkin akan kering sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun.

krisis air bawah tanah di india

Krisis air bawah tanah di India

Menurut pesuruhjaya daerah Ferozepur, Chander Gaind, penduduk Punjab sememangnya sangat tergila-gilakan tentang tiga perkara. Mereka diketahui sangat menggemari telefon pintar, kereta dan senjata api. Kini, Gaind mahu penduduk Punjab menjadi gemar untuk menanam pokok.

Menurut laporan Perhutanan India 2017, sebanyak 24.39 peratus kawasan geografi di India diliputi oleh hutan dan pokok. Bagi menepati Dasar Hutan Negara, pihak berkuasa di India telah mensasarkan untuk menjadikan satu pertiga daripada keseluruhan kawasan tanah di negara itu diliputi hutan.

penebangan pokok berleluasa di india

Idea untuk memperkenalkan skim ini timbul apabila sebilangan besar pokok di India telah ditebang secara berleluasa. Gaind menambah lagi, tiada bantahan yang diterima oleh orang ramai mengenai skim ini dan ia diterima dengan sangat positif.

Setelah selesai menanam 10 anak pokok, pemohon juga perlu mengambil swafoto bersama tanaman mereka untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa apabila mereka ingin mengambil borang permohonan lesen senjata api di pejabat yang berkenaan.

salah seorang pemohon menyerahkan bukti menanam pokok

Salah seorang pemohon memegang bukti menanam anak pokok

Sebulan kemudian, pemohon perlu sekali lagi mengambil gambar bersama pokok yang ditanam untuk membuktikan bahawa mereka menjaga tumbuhan itu dengan baik. Sekiranya menepati syarat yang ditetapkan, barulah permohonan mereka akan diproses dan pemeriksaan latar belakang pemohon dijalankan.

Menurut pihak berkuasa tempatan di Ferozepur, mereka berhasrat untuk menanam sekurang-kurangnya 12,000 anak pokok pada tahun hadapan. Mereka juga ingin memperluaskan peraturan baru ini kepada pemilik lesen senjata api yang ingin mempebaharui lesen mereka.

pemohon wanita menanam pokok untuk lesen senjata api

Pemohon wanita menanam pokok untuk lesen senjata api

Punjab merupakan negeri ketiga paling ramai pemegang lesen senjata api di India. Kira-kira 360,000 orang memiliki senjata api secara sahdi sana. Daerah Ferozepur sahaja sudah mencatatkan sekitar 21,000 pemilik senjata api.

Setiap bulan, pihak berkuasa di daerah Ferozepur menerima kira-kira 500 permohonan bagi memperbaharui lesen senjata api. Ini bermakna sekitar 5,000 anak pokok akan ditanam dalam masa yang sama. Ini membawa kepada 60,000 anak pokok dalam setahun.

punjabi dan senapang

Sejak peraturan ini dilaksanakan, Gaind telah menerima pelbagai penghargaan dan pujian di media sosial. Dia ingin mewujudkan kesedaran tentang skim baru itu. Jika dilaksanakan di seluruh negara, ia mampu membawa perubahan yang sangat besar dan sekali gus boleh menangani krisis air.

Rujukan:

1. Tanam 10 pokok untuk dapatkan lesen senjata api

2. Pemohon lesen senjata api perlu menanam pokok terlebih dahulu

3. Krisis air di India ditangani dengan cara yang unik




Hakcipta iluminasi.com (2017)