Simbol Zodiac
Kepada yang meminati kisah-kisah seram dan kes jenayah berbahaya, anda wajib mengetahui tentang kisah ini. Banyak kisah pembunuhan yang telah berlaku tetapi ini antara kisah pembunuhan yang sangat dahsyat sehingga polis sendiri berasa bingung kerana tidak dapat menyelesaikan kes ini. Kes-kes pembunuhan ini berlaku di California, Amerika Syarikat.
BESARKAN TEKS A- A+
Latar Belakang Pembunuhan
Pembunuhan bersiri ini berlaku antara penghujung 1960-an dan awal 1970-an. Sehingga ke hari ini, pembunuh masih lagi tidak dikenal pasti dan berkemungkinan besar kes ini tidak akan dapat diselesaikan kerana pembunuh tersebut mungkin sudah meninggal dunia. Keseluruhan mangsa dianggarkan sebanyak 37 orang tetapi hanya 7 yang dapat dikenal pasti.
Pembunuh ini sangat kejam kerana dia telah menghantar beberapa surat kepada pihak akhbar dengan meletakkan namanya sebagai "Zodiac" bertujuan menghantui polis di kawasan California. Daripada kesemua surat itu terdapat 4 surat mengandungi kod yang perlu diselesaikan namun hanya satu dapat diselesaikan oleh pihak polis Amerika Syarikat.
Daripada 7 mangsa yang dikenal pasti, hanya 2 yang masih lagi hidup dan daripada keseluruhan 7 mangsa, 4 daripada mereka merupakan lelaki manakala 3 lagi ialah perempuan. Mangsa yang menjadi sasaran Zodiac berada dalam lingkungan umur 16 hingga 29 tahun. Pembunuhan itu telah berlaku antara Disember 1968 hingga Oktober 1969 di kawasan Benicia, Vallejo, Tasik Berryessa dan San Francisco.
Pembunuhan Pertama
Pembunuhan pertama Zodiac berlaku pada 20 Disember 1968 di mana dua pelajar sekolah menengah telah ditembak mati olehnya. Kedua-dua pelajar ini iaitu Betty Lou Jensen dan David Faraday merancang untuk pergi ke konsert Krismas di Hogan High School dan itu merupakan kali pertama mereka berdua akan keluar sebagai pasangan namun ia telah bertukar menjadi mimpi ngeri.
Pasangan tersebut telah menukarkan rancangan mereka untuk tidak ke konsert sebaliknya pergi menziarah rakan mereka yang lain sebelum mereka bergerak ke sebuah restoran untuk makan malam. Pada pukul 10.15 malam, David kemudiannya membawa Betty ke tempat sunyi yang romantis agar mereka dapat berdua-duan tetapi selepas awal pukul 11.00 malam hanya mayat mereka yang ditemui.
Berdasarkan laporan forensik, seorang pengeluar buku kisah jenayah yang pakar dalam kes-kes ini telah membuat kesimpulan bahawa pembunuh Zodiac telah meletakkan keretanya sebelah kereta pasangan tersebut. Dia kemudiannya keluar dari kereta sebelum mengarahkan kedua-dua pasangan itu untuk keluar. Betty yang keluar dahulu tidak ditembak namun David yang tidak sempat keluar sepenuhnya telah ditembak di kepala.
Betty yang panik dengan apa yang telah berlaku telah melarikan diri daripada kawasan tersebut tetapi belum sempat dia berjaya melarikan diri, Zodiac telah menembaknya sebanyak 5 kali dari arah belakang. Zodiac dapat menembak kerana jarak Betty dengannya hanya 8 meter dan Betty juga tidak sempat menyelamatkan diri kerana ia berlaku dengan begitu pantas. Zodiac kemudiannya memandu keretanya pergi daripada tempat kejadian.
Modus Operandi Zodiac
Pembunuh Zodiac menggunakan lebih daripada satu senjata dan ini menyebabkan pihak polis sukar untuk mengenal pasti dirinya kerana kebanyakkan pembunuh bersiri suka menggunakan satu senjata. Modus operandi atau lebih mudah untuk difahami, cara pembunuh bersiri ini membunuh merupakan salah satu perkara yang disiasat oleh pihak polis.
Pembunuh bersiri selalunya gemar bertindak mengikut modus operandi masing-masing sama ada menjerut leher menggunakan tali, menikam berkali-kali ataupun memukul menggunakan kayu dan objek-objek lain. Ini menyebabkan kebanyakkan pembunuh bersiri boleh dikenal pasti kerana akan berpegang kepada satu cara.
Berlainan pula dengan pembunuh Zodiac, dia gemar menggunakan pistol dan pisau sebagai modus operandinya. Dia sama ada menembak berkali-kali tepat ke mangsanya atau dia akan membelesah dan kemudiannya menikam mangsanya berkali-kali sehingga mati. Kes pembunuhannya sangat kejam kerana dia tidak mempunyai sebarang belas kasihan.
Menghantui Polis Dengan Membuat Pengakuan
Seperti yang ditulis di atas, Zodiac telah menghantar beberapa surat dengan sengaja untuk menghantui pihak polis. Surat-surat ini ditulis oleh Zodiac dan dia ada meninggalkan tandatangan yang unik untuk memaklumkan bahawa dia yang menulis tersebut. Tanda kecil berbentuk seperti sasaran senapang yang anda selalu lihat dalam permainan video tembak menembak.
Surat pertama yang ditulis oleh Zodiac merupakan pengakuan bahawa dia yang telah membunuh seorang perempuan. Surat tersebut dihantar kepada pihak akhbar Riverside Press-Enterprise sebelum diserahkan kepada pihak polis Riverside. Surat itu memberitahu bahawa Zodiac telah membunuh seorang perempuan dan dalam surat tersebut ada tertulis " dia bukan yang pertama tetapi dia juga bukan yang terakhir".
Selepas surat itu ditulis, banyak lagi surat telah dihantar termasuk poskad. Dia juga suka bermain teka-teki dengan polis kerana dia akan mengarahkan polis untuk menyelesaikan kod-kod tersebut namun hanya satu dapat diselesaikan. Kod-kod ini telah membuatkan polis buntu untuk memberkas Zodiac dan sehingga ke hari ini, ramai yang masih lagi mempunyai hasrat untuk mencari identiti Zodiac.
Apa yang lagi membuatkan polis berasa geram, surat terakhir yang dihantar olehnya menulis " Me = 37, SFPD = 0" yang mempunyai maksud bahawa dia telah berjaya membunuh 37 orang dan pihak polis San Francisco tidak berjaya menyelamatkan satu pun. Dia biasa menulis surat-surat ini dengan memasukkan skor bahawa dia sedang mendahului "permainan" ini.
Teori Suspek dan Kenapa Zodiac Berhenti Membunuh
Ramai suspek telah ditangkap namun terdapat seorang suspek yang boleh dianggap sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan oleh Zodiac iaitu Arthur Leigh Allen. Allaeh telah disiasat oleh polis beberapa kali dan dikenakan waran geledah selama 20 tahun bagi memastikan tiada bukti pembunuhan disembunyinya dalam rumahnya atau mana-mana tempat berkaitan.
Ramai polis yang membuat kesimpulan bahawa Allen merupakan pembunuh namun tiada bukti yang kukuh untuk mendakwanya. Pada tahun 1974, dia telah ditangkap kerana telah mencabul seorang budak 12 tahun dan dipenjara 2 tahun. Pada tahun 1992, Allen telah meninggal dunia dan polis telah menyita barangannya. Walaupun ramai yang mengatakan dia yang membunuh, namun terdapat bukti yang menunjukkan dia tidak bersalah.
Pada tahun 2002, pihak polis San Francisco telah berjaya membandingkan DNA daripada air liur stem dan surat Zodiac namun DNA ini tidak sama dengan Allen. Ada juga yang hadir ke balai polis dengan memberitahu bahawa ayah saudara atau ahli keluarga mereka yang melakukan jenayah ini namun tiada bukti yang kukuh.
Banyak teori yang dikeluarkan apabila Zodiac berhenti menghantar surat kepada pihak polis untuk mengakui mana-mana pembunuhan yang berlaku. Teori utama yang banyak disokong mengatakan Zodiac berhenti menghantar surat oleh sebab dia sudah berhenti membunuh kerana orang seperti Zodiac tidak mungkin akan membunuh tanpa menunjuk-nunjuk bahawa dia yang telah melakukan pembunuhan tersebut.
Ada juga teori mengatakan bahawa Zodiac berhenti membunuh kerana dia mati akibat pelbagai cara seperti sakit tua, mengalami kemalangan dan sebagainya. Selain itu, ada juga teori mengatakan bahawa Zodiac telah dipenjara disebabkan oleh kes jenayah yang lain seperti rompakan dan sebagainya. Teori-teori ini dikeluarkan oleh penulis-penulis buku jenayah yang sangat meminati kes ini. Namun, sehingga ke hari ini, tiada siapa yang mengetahui identiti Zodiac.
sumber: Wikipedia