Oleh pada 05 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Mstar 

Kontroversi majlis pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk nyata memberi impak besar terhadap dunia hiburan sepanjang minggu ini.

Terkini, insiden itu turut sama mengaitkan nama Datuk Afdlin Shauki kerana tindakan pelawak ini memuat naik sebuah video di media sosial.

Dalam rakaman berkenaan, Afdlin disertai beberapa lelaki dan wanita memakai tudung seolah menampakkan mereka seperti sebuah kumpulan nasyid.

Bagaimanapun netizen kelihatan tidak senang kerana mendakwa aksi Afdlin dan kumpulannya itu telah memperlekehkan wanita bertudung dan agama.

Tampil menjelaskan keadaan, Afdlin memberitahu video lucu itu sebenarnya dibuat untuk memaklumkan tentang penjenamaan semula produk keluarannya, 'Tudung Transformer' yang kini ditukar nama kepada 'Telekung Miasara'.

"Ada yang sedia maklum bahawa saya pernah mengeluarkan koleksi tudung Transformer di mana ia juga sebenarnya boleh dijadikan telekung, macam konsep 2 in 1.

"Tapi disebabkan perkataan Transformer sinonim dengan robot dan lebih menjadi minat kaum lelaki, mana saya ambil keputusan untuk membuat penjenamaan semula dengan memperkenalkan sebagai Telekung Miasara.

"Ini disebabkan, jika dikenali sebagai telekung, orang rasa lebih berbaloi memilikinya dengan harga RM150, berbanding jika dijual sebagai tudung, orang rasa lebih mahal kerana hanya tudung.

"Tapi sangat berbaloi untuk memilikinya kerana selain boleh dijadikan telekung, ia juga boleh dijadikan shawl dan tudung serta memenuhi syariah untuk wanita bertudung," jelasnya.

Dalam pada itu, Afdlin menafikan dakwaan mempersendakan agama atau mengambil kesempatan atas kontroversi yang melanda Neelofa.

Difahamkan, video itu dirakam di restoran miliknya di Comedy Planet, Great Eastern Mall iaitu tempat telekung tersebut dijual, selain boleh juga didapati secara atas talian.

Bercerita lanjut, pelakon filem Buli Balik ini berkata, dia mendapat idea penghasilan telekung itu ketika sedang menunaikan umrah bersama ibunya.

"Ketika itu ibu saya perlu bawa banyak beg kerana perlu membawa telekung dan tudung bersama. Selain itu selepas solat di masjid, di lebih selesa memakai tudung apabila berjalan-jalan di sekitar Makkah dan Madinah.

"Jadi saya fikir, kenapa tiada tudung yang boleh berfungsi sebagai telekung, ibarat dua dalam satu. Kalau ada pun tudung dan telekung yang konsep 2 in 1 ini, ia agak leceh kerana perlu dipinkan.

"Tapi berbeza dengan telekung Miasara, semua berkonsep zip dan diperincikan dengan batu dan manik serta renda yang sesuai untuk telekung dan tudung.

"Apa yang boleh saya kata, telekung ini adalah rekaan dari mata seorang lelaki untuk memudahkan ibu saya dan saya harap selepas ini memudahkan lagi ramai kaum hawa," katanya. 

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)