Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

Penyanyi ternama, Ziana Zain akui sudah menjadi lumrah kehidupan seorang manusia yang adakalanya alpa sehingga tidak dapat melihat kesilapannya sendiri.

"Sebagai manusia, ada masanya kita tidak sedar apa kita lakukan dan bila sudah berlaku barulah nampak kesannya," kata Ziana.

Penyanyi lagu Puncak Kasih itu bersuara tentang isu pelancaran tudung Neelofa yang berlangsung di sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Ziana percaya pengacara Meletop itu mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk mengadakan majlis perasmian produknya di tempat berkenaan.

“Saya melihat isu dari aspek positif dan negatif. Positifnya, saya yakin, Neelofa ada misi tersendiri dan sebab memilih lokasi terbabit.

“Mungkin, secara tak langsung dia mampu menarik perhatian mereka yang tidak bertudung untuk hadir sekaligus terbuka hati memakai tudung bermula ‘turban’ dijualnya,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi bersuara lantang ini masih merasakan perbuatan beberapa gadis bertudung yang menari sakan di majlis berkenaan sebagaimana yang dirakamkan dalam video yang menjadi tular baru-baru ini, seakan tidak manis.

“Daripada segi moral dan mata kita sebagai orang Islam, perlakuan seperti terpapar di dalam video yang tersebar itu tak manis.

“Walaupun mungkin mereka ada alasan tersendiri, tapi perlakuan itu akan mengundang fitnah dan orang akan berfikir bukan-bukan,” tegasnya.

Namun begitu, Ziana memahami kesilapan pelakon Suri Hati Mr Pilot itu adalah sesuatu yang normal.

“Saya tak boleh nak cakap lebih kerana saya mengenali Neelofa. Kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Mungkin dari satu sudut, Neelofa juga terlepas pandang. Saya pun ada melakukan kesilapan yang saya sendiri tak perasan sebelum ini. Jadi, bila orang dah bercakap, kita mula sedar dan perbetulkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, ditanya pendapatnya sama ada kontroversi usahawan muda itu adalah satu stratregi yang baik untuk perniagaan, ini tutur Ziana:

“Tak salah sekiranya kita tularkan sesuatu produk kerana memang di zaman sekarang itu menjadi strategi melariskan produk.

“Namun, perlu diingat. Sebagai artis, takkan kita nak nama kita tular kerana perkara negatif? Kita adalah suri teladan kepada peminat jadi jaga imej kita.

“Apa boleh saya simpulkan adalah pandai-pandailah jaga dan membawa diri agar strategi tidak menjatuhkan kerjaya."

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)