Kredit foto: Instagram Neelofa

Tindakan Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya, Be Lofa di kelab malam sememangnya tidak melanggar peratutan Islam jika niatnya mahu berdakwah, tetapi ia menjadi dosa sekiranya mengundang fitnah.

Kata pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad, dakwah boleh dibuat di merata-rata tempat termasuk pusat hiburan.

Bagaimanapun hukumnya bertukar haram apabila melibatkan acara tari-menari memandangkan perkara itu ditegah Islam.

"Secara umumnya, mengikut asas prinsip dalam Islam tidak salah jika seseorang itu mahu mempromosikan atau melancarkan produk di kelab malam.

"Dalam sejarah Islam juga ada mengisahkan tentang pendakwah yang pernah masuk ke tempat tersebut dengan tujuan berdakwah hanya untuk 5 hingga ke 10 minit dan kemudian dia keluar.

"Sebagai contoh, Neelofa boleh lancarkan tudung di kelab malam dan jelaskan kebaikan memakai tudung tapi hanya sekadar itu sahaja," ujar Pahrol memetik laporan Mstar Online.

Pahrol berkata, elemen-elemen yang bertentangan dengan syariah seperti aksi tarian itu sebenarnya yang membuatkan acara berkenaan menjadi haram.

Apatah lagi, perbuatan yang mengundang kepada fitnah juga hukumnya haram atau berdosa. 

"Tak salah nak buat sesuatu kelainan. Cuma, ia akan jadi haram apabila ada elemen yang menyalahi syariah Islam seperti wanita beraksi dengan tarian.

"Dalam Islam jika mahu membuat promosi produk mesti mematuhi peraturan dari Allah. Namun, tindakan Neelofa memilih kelab malam itu sudah dikira mengundang fitnah adalah berdosa.

"Jadi, tak perlulah melakukan sesuatu mengundang fitnah. Kelab malam sudah sinonim dengan minuman keras dan perkara yang menyalahi syariah Islam," katanya.

Sebelum ini, Neelofa yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-29 di tempat sama, akui enggan mengambil peduli kecaman masyarakat kerana menurutnya dia tahu apa yang sedang dilakukan.

Malah, Neelofa berkata, dia turut mengambil kira faktor kos yang bersesuaian dengan tema.

Kenyataan beliau dibuat menerusi sidang media pelancaran majlis berkenaan yang berlangsung malam Isnin. 

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)