Oleh pada 24 May 2021 kategori

Jika anda memikirkan tentang seekor gajah, mungkin gambaran pertama anda adalah mengenai gajah yang  sedang membawa pelancong di belakangnya.

Selama lebih dari 4,000 tahun, inilah gambaran sebilangan orang mengenai gajah. Budaya manusia telah menjinakkan haiwan besar ini untuk melakukan pekerjaan dan membawa muatan berat sedangkan gajah tidak dicipta untuk melakukan perkara itu, baik secara mental atau fizikal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah manusia dan gajah

Gajah merupakan simbol diraja di kebanyakan negara di Asia. Maka, menaiki gajah merupakan satu pengalaman hebat bagi pelancong yang berpeluang melakukannya.

Pada abad ke-16 dan 17, dianggarkan sekitar 130,000 ekor gajah telah 'ditawan' manusia. Pemerintah Asia kuno sering menggunakan gajah sama seperti kereta kebal moden dalam peperangan.

Di India dan Sri Lanka, senjata dan perisai khas dibuat untuk gajah perang. Rantai dan bebola besi berat diikat di hujung belalai gajah dan haiwan itu dilatih untuk memutarkan senjata itu bagi menyerang musuh.

gajah perang

Selain medan perang, gajah juga digunakan untuk mengangkut muatan berat seperti senjata dan bahan binaan. Malah, ada industri kayu balak di Asia pada hari ini yang masih menggunakan gajah untuk menarik dan menumbangkan pokok.

Golongan diraja pada zaman dahulu juga menggunakan gajah ketika keluar memburu, terutamanya ketika memburu harimau.

Walaupun kini gajah tidak digunakan lagi untuk berperang, haiwan itu digunakan pula untuk membawa pelancong di belakang mereka. Aktiviti menaiki gajah di dalam hutan adalah aktiviti pelancongan yang popular di beberapa negara seperti Thailand.

Setiap tahun, ribuan pelancong datang ke negara-negara Asia Tenggara semata-mata ingin merasai pengalaman hebat yang diidam-idamkan ini.

Namun, ramai yang tidak sedar bahawa perkara ini mempunyai kesan negatif. Pada tahun 2014, Inisatif Perlindungan Haiwan Sedunia mendedahkan keadaan kejam yang dilalui gajah-gajah yang dipaksa bekerja ini.

Haiwan malang ini dilatih dengan kejam supaya akur untuk melakukan apa sahaja demi keuntungan manusia.

Kesan mental terhadap gajah 

Anda perlu tahu sebenarnya hampir mustahil untuk manusia memanjat dan duduk di atas gajah liar tanpa mengalami kecederaan teruk atau terbunuh.

anak gajah dikurung

Ini bermakna, semua gajah-gajah yang digunakan untuk aktiviti menunggang sudah dijinakkan. Proses menjinakkan gajah ini digelar sebagai phajaan atau menghancurkan semangat gajah dan ia merupakan tradisi lama dalam budaya Thailand.

Anak gajah yang baru lahir akan dipisahkan dari ibu mereka dan dirantai di dalam kurungan kecil. Haiwan malang itu kemudian diseksa dengan cangkuk besi yang tajam dan beberapa peralatan lain. Malah, mereka juga akan dibiarkan berlapar dan kekurangan tidur.

Proses kejam ini dilakukan untuk mengubah sifat buas binatang liar ini supaya menjadi jinak dan tunduk. Gajah dewasa juga akan diseksa setiap hari agar sentiasa mengikut perintah dan tidak melawan.

Untuk aktiviti mengangkut pelancong dan melalui denai, Mahout atau pemandu akan menggunakan cangkuk tajam bagi mendorong gajah supaya terus bergerak. Ingatan gajah yang sekian lama diseksa menggunakan alat ini akan menimbulkan rasa takut haiwan itu.

Kesan kerja berat pada fizikal gajah

Tulang belakang gajah secara anatominya tidak dibina untuk membawa muatan berat di belakangnya. Gabungan berat Mahout(pemandu) tempat duduk dan penumpang terlalu membebankan untuk belakang gajah.

gajah bawa muatan

Seorang pakar dalam pemulihan trauma dan rawatan fizikal gajah belaan, Carol Buckley, mengatakan bahawa gajah belaan telah berevolusi akibat membawa sejumlah muatan berat di belakang badan mereka. 

Tidak seperti tulang cakera mamalia lain yang licin dan bulat, gajah mempunyai tonjolan tulang tajam yang memanjang dari tulang belakang sehingga ke atas.

Penonjolan tulang dan tisu yang melindungi gajah tidak mampu menahan berat berlebihan. Apabila pelancong duduk di belakang gajah, mereka sebenarnya memberi tekanan pada struktur tulang berduri ini. Keadaan ini menyebabkan gajah terasa seperti ada jarum yang menusuk kulit mereka dari dalam.

Seekor gajah biasanya terpaksa membawa sekitar lima orang atau 450 kg muatan di belakangnya (seorang pemandu dan empat pelancong). Lebih memburukkan keadaan, tempat duduk yang agak berat akan dibiarkan di belakang gajah walaupun haiwan itu sedang berehat.

Lebam pada tisu belakang yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan teruk pada tulang belakang gajah. Gajah yang mempunyai kerosakan kekal pada tulang belakang akan diasingkan dan biasanya dibiarkan terabai.

Kesedaran dan peranan manusia

Sebenarnya, gajah yang kita lihat pada percutian eksotik atau pameran bukan lagi gajah dalam keadaan asalnya. Mereka diseksa dan dianiaya sejak sekian lama sehingga mereka lupa naluri sebenar.

kawanan gajah

Seperti manusia, gajah adalah haiwan yang sangat bersosial tetapi sengaja dijauhkan dari gajah lain supaya mereka tidak dapat berinteraksi.

Kini, ramai pelancong telah menyedari kaedah kejam yang digunakan ke atas gajah dan cuba mencari cara lain yang lebih berperikemanusiaan untuk berinteraksi dengan haiwan ini.

Terdapat beberapa tempat seperti MandaLao di Laos dan ChangChill Elephant Sanctuary di Thailand yang menyediakan pengalaman kepada pelancong untuk melihat gajah di habitat semula jadi mereka. Haiwan ini bebas berenang dan berkeliaran serta tidak boleh ditunggangi atau dipaksa bekerja.

Anda akan mendapat pengalaman yang lebih baik apabila menyaksikan gajah-gajah ini hidup seperti yang mereka sepatutnya dan ia lebih berperikemanusiaan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)