pm najib dapat hadiah kucing gemuk

Siapa boleh tahan dengan wajah kucing yang comel? Walaupun mempunyai perangai yang agak degil serta tidak menurut kata malahan lebih gemar membuat hal sendiri, kucing adalah binatang peliharaan yang cukup disayangi di seluruh dunia.

Bagi penggemar kucing, menjaga haiwan comel ini merupakan pengalaman yang tak akan dilupakan apatah lagi sekiranya kita berkesempatan untuk melihat seluruh hayat kucing tersebut, daripada lahir sehinggalah kucing tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walaupun tidak mampu menghidu dadah, jarang berminat untuk memulangkan semula bola yang sudah dibaling dan lebih gemar duduk di mana saja mereka suka, hanya tuan kucing tahu betapa nikmatnya apabila kucing duduk di atas riba sambil kita menonton televisyen atau membaca buku. Persoalannya - negara mana paling ramai pencinta kucing?

Negara paling menyayangi kucing

russia paling gemar kucing di dunia

Secara purata, negara yang paling menyayangi kucing di antara semua penduduk di seluruh dunia adalah rakyat Russia. Lima puluh sembilan peratus (59%) penduduk Russia memiliki sekurang-kurangnya seekor kucing di rumah.

Ini bermaksud, untuk setiap 2 rumah di Russia, satu rumah memiliki seekor kucing sebagai binatang peliharaan dan ini meletakkan Russia sebagai negara nombor satu pemelihara kucing. Mengapa kucing sangat popular di Russia?

Semua itu berlaku kerana sejarah Russia mempunyai pertalian yang rapat dengan kucing. Ratu Elizabeth Petrovna yang memerintah Russia pada kurun ke 18 membela beberapa ekor kucing di dalam istana bagi memastikan istana beliau bebas daripada tikus. Kucing-kucing tersebut diberikan layanan istimewa dan dimanjakan dengan makanan-makanan sedap oleh pihak istana setiap hari, sehingga perkara itu menjadi tradisi masyarakat Russia.

negara paling banyak pemilik kucing

Tradisi menyimpan kucing dalam bangunan rasmi itu diteruskan sehingga ke zaman sekarang, dengan Hermitage Museum yang terletak di St. Petersburg menempatkan sehingga 70 ekor kucing di dalamnya yang dibiarkan hidup bebas.

Kucing-kucing tersebut mempunyai penjaga khas mereka sendiri malahan mempunyai seorang individu yang dilantik bertugas sebagai setiausaha media, sekiranya kucing-kucing tersebut mahu ditemuramah wartawan agaknya. Pada peringkat nasional, setiap 1 haribulan Mac Russia akan menyambut Hari Kucing Kebangsaan di negara mereka.

Tempat kedua pula di menangi oleh rakyat Ukraine, dengan 49% rakyat mereka memelihara kucing di rumah. Warganegara Amerika Syarikat ditempat ketiga dengan 43% , Belgium 42% dan Argentina pada tempat kelima dengan 41%.

Di mana Malaysia? Malaysia sebenarnya berkongsi kedudukan ke enam dengan Chile, Itali dan Emiriyah Arab Bersatu dengan 40 peratus penduduk membela kucing di rumah. Walaupun negara kita hanya sekadar menjadi negara ke enam paling banyak memelihara kucing, jangan terkejut pula sekiranya Malaysia mendahului negara-negara lain dalam satu perkara lain yang melibatkan kucing.

Rakyat Malaysia paling suka bela banyak kucing

pm najib bersama kucing debab

Selain daripada mengkaji jumlah tuan punya kucing mengikut negara, kajian tersebut juga menyelidik berkenaan jumlah kucing yang dipelihara di dalam satu kediaman. Negara kita mendahului jauh negara-negara lain dalam jumlah kucing yang dibela, yang meletakkan rakyat Malaysia paling gemar membela banyak dalam satu masa!

Walaupun Russia mencatatkan jumlah kucing per kediaman yang tinggi, 41 peratus daripada jumlah keseluruhan hanya membela seekor kucing, 10 peratus membela 2 ekor kucing dan 8 peratus membela 3 atau lebih ekor kucing.

kucing jalanan yang comel

Bagi Malaysia pula, kajian mendapati daripada purata 40 peratus pemilik kucing yang ada, 15 peratus hanya memelihara seekor kucing, 8 peratus memelihara 2 ekor dan 17 peratus memelihara 3 ekor atau lebih. Angka 17 peratus itu merupakan purata paling tinggi dalam negara-negara yang menjadi perbandingan membuktikan rakyat Malaysia cukup gemar kucing-kucing berkeliaran dalam rumah, memilih untuk memelihara beberapa ekor kucing serentak dalam kediaman masing-masing.

Kisah-kisah rakyat negara kita memelihara berpuluh-puluh ekor kucing juga kerap kedengaran serta menjadi bualan orang ramai, jadi tidak menghairankan kajian ini memaparkan realiti sebenar peminat kucing di Malaysia yang boleh dibanggakan kerana menunjukkan kasih sayang orang Malaysia terhadap kucing, sangat tinggi nilainya.

dato seri najib razak dan kucing

Hanya mereka yang membela kucing tahu faedah yang kita dapati apabila membela kucing. Kami ucapkan tahniah pada rakyat Malaysia kerana membuktikan kasih sayang kita pada haiwan comel ini tidak berpenghujung. Bolehkah kita mensasarkan sasaran dalam 5 tahun lagi kita menjadi negara nombor satu penggemar kucing menewaskan rakyat Russia? Mari kita tanam impian bersama. Miao!

Rujukan

Global Cat Ownership


tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)