Negara kita dikejutkan dengan kisah Ayu, seorang kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang lelaki dewasa warga Malaysia bernama Che Abdul Karim, yang berusia 41 tahun. Perkahwinan mereka yang berlangsung di Narathiwat walaupun mendapat reaksi negatif di Malaysia, tidak mendapat reaksi serupa di negara asal gadis tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Ayah kepada Ayu, Madroseh Romadsa yang hadir semasa majlis itu sebagai wakil dengan ikhlas menyebut perkahwinan anak gadis semuda itu adalah sesuatu yang biasa bagi mereka. Agak ironik sekali apabila kita membandingkan reaksi masyarakat kita terhadap perkahwinan tersebut dengan perasaan ayahnya sendiri yang bertindak sebagai wali, dalam perkahwinan tersebut kan?
Kebenaran khas untuk perkahwinan
Semenjak tahun 2003, kerajaan Thailand telah pun memperkenalkan undang-undang menghalang perkahwinan bawah umur dengan 17 tahun dianggap umur minima. Seks dengan individu bawah umur juga ditelak sebagai jenayah. Walau demikian, bagi beberapa daerah di selatan Thailand - Narathiwat, Pattani dan Yalla yang majoritinya berpenduduk Muslim, wujud beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka.
Perkahwinan pada usia muda tanpa mengambil kira umur minima dibenarkan dalam masyarakat mereka, dengan gadis dianggap sudah bersedia untuk menikah selepas akil baligh. Bagi yang memandang perkara ini sebagai positif, mereka menganggap kebenaran ini sebagai satu kaedah mengelakkan zina dan pengguguran bayi berlaku.
Yang menentang pula menganggap apa yang dibenarkan berlaku oleh kerajaan Thailand sebagai sesuatu yang merentap masa depan gadis-gadis ini daripada membesar seperti kebiasaan.
Bagi masyarakat Pattani, masih belum berkahwin pada usia 16 tahun untuk seorang gadis dianggap terlalu lambat dengan peluang untuk berkahwin juga semakin tipis. Kelonggaran ini membuka peluang kepada lelaki-lelaki Malaysia untuk menyeberangi sempadan dan seterusnya mengahwini gadis-gadis ini, dengan bantuan ejen-ejen yang bertauliah.
Adakah perkara ini berleluasa?
Tidak ada rekod rasmi disimpan kerajaan Thailand dalam isu perkahwinan bawah umur ini, tetapi rekod menyebut pada tahun 2016, seramai 1,100 anak gadis bawah umur melahirkan kandungan mereka di hospital awam Narathiwat.
Kerajaan Thailand dikritik kerana mengambil langkah membiarkan saja perkara ini berlaku, meletakkan beban pada badan agama Islam daerah mengawalnya. Semua ini dikatakan berpunca daripada perbezaan pendapat di antara masyarakat Muslim yang tinggal di selatan Thailand yang berpunca daripada pemisahan negeri-negeri itu daripada pemerintahan Kerajaan Melayu di Patani, pada tahun 1909.
Perang saudara juga berlaku di Narathiwat, Pattani, Yalla dan adakalanya Songkhla, dengan konflik ini masih berterusan sehingga kini. Ketegangan ini menyebabkan kerajaan Thailand memilih untuk tidak campur tangan dalam pembentukan polisi masyarakat di situ, bagi mengelakkan berlakunya pergelutan yang lebih besar kerana isu perkahwinan bawah umur ini dianggap sesuatu yang sangat sensitif, kerana berkait dengan agama.
Dalam kes Ayu dan Che Abdul Karim, hanya satu perubahan kecil diperkenalkan. Sekiranya kes perkahwinan serupa mahu dilakukan lagi selepas ini, pasangan itu perlu memberitahu badan agama negeri supaya pihak pegawai dapat mengambil tindakan sepatutnya, bergantung kepada situasi. Walaupun begitu, tidak ada kaedah spesifik diwartakan dalam mewajibkan pasangan menghadirkan diri.
Benarkan atau halang sepenuhnya?
Pandangan majoriti seluruh dunia bersetuju yang perkahwinan bawah umur memberikan kesan jangka panjang yang buruk pada emosi dan fizikal anak gadis yang dikahwinkan.
Ia bukan saja menyebabkan mereka terpaksa berhenti dari persekolahan malahan ramai di antara mereka telah pun diceraikan sebelum berumur 18 tahun, dengan anak kecil perlu dijagai. Ini menyebabkan majoriti antara mereka terpaksa meneruskan hidup dalam kemiskinan kerana ketiadaan jalan keluar, berikutan ketiadaan pendidikan dan juga kemahiran bagi menjana pendapatan.
Ada pendapat bersetuju agar kelonggaran ini dikekalkan, bagi mengelakkan masalah zina yang impaknya jauh lebih besar kepada masyarakat. Bagi mereka yang memandang perkahwinan ini sebagai satu yang positif, perkahwinan itu adalah jalan keluar yang jauh lebih baik bagi gadis-gadis yang terlanjur.
Sekiranya ada yang terlanjur mengandung di luar ikatan pernikahan, kebiasaannya masyarakat di situ akan bertindak membiarkan anak mereka sendirian serta tidak dapat menerima bayi yang dikandung sebagai cucu, kerana perbuatan zina adalah satu kesalahan besar. Lebih baik anak gadis dikahwinkan walaupun dengan lelaki lebih tua berbanding terpaksa menanggung malu atas perbuatan yang disengajakan.
Faktor keluarga miskin menjadi penyebab utama
Menurut Suranya Litae, salah seorang wanita yang dikahwinkan keluarganya atas desakan kewangan ketika berusia 15 tahun, dia masih ingat dengan jelas apa yang berlaku pada hari dia 'disunting' suaminya yang berusia 16 tahun lebih tua darinya.
Ayahnya memaksa dia menerima ajakan bakal suaminya ketika itu bagi membolehkan mereka membina rumah, hasil daripada hantaran yang bakal diterima. Suranya enggan namun tidak punya suara untuk membantah.
Walaupun kini menyedari kesan buruk yang berlaku ke atas dirinya tak sepatutnya berlaku ke atas gadis-gadis lain, Suranya terpaksa menerima hakikat untuk dirinya sendiri nasi sudah menjadi bubur.
Cita-citanya untuk menjadi seorang guru tidak kesampaian setelah dia terpaksa menamatkan pengajian menyebabkan dia meneruskan hidup sebagai seorang suri rumah, membesarkan anak mereka yang kini sudah berusia tujuh tahun.
Kesimpulan
Tidak dapat dipastikan apakah faktor sebenar masalah perkahwinan sebegini sangat kerap berlaku di Thailand, dengan pendapat mengatakan faktor kewangan menjadi penyebab utama tetapi persoalannya, adakah dengan menghalang terus perkahwinan gadis bawah umur akan mengubah kehidupan mereka dan keluarga mereka?
Kami sudah menerbitkan beberapa artikel berkaitan dengan isu perkahwinan bawah umur ini dengan fokus kali ini kembali ke negara Asia Tenggara dengan kemiskinan dikatakan menjadi sebab utama. Adakah benar dakwaan ini sedangkan realitinya, di Eropah dan Amerika Syarikat yang tidaklah menghadapi kesulitan hidup seperti kita serta mengamalkan cara hidup berbeza pun, tetap berlaku perkahwinan bawah umur dengan berleluasa.
Sukar sekali untuk dikatakan secara jelas faktor budaya dan kemampuan menjadi penyumbang kepada hal ini kerana jelas perkahwinan bawah umur boleh berlaku tak kira apa pun latar belakang serta budayanya.
Tahukah anda negeri mana dalam Malaysia mempunyai bilangan perkahwinan bawah umur paling tinggi? Jawapannya pasti mengejutkan anda.
Rujukan