Sumber foto: Bernama
Perjalanan balik empat sekeluarga dari melawat kematian anggota keluarga mereka di Seberang Perai, Pulau Pinang berakhir dengan nahas setelah kereta model Proton Satria yang dinaiki mereka bertembung dengan lori mengangkut sawit di Kampung Padang Terap 12, Kulim, semalam.
Kemalangan tersebut menyebabkan Azli Adzali (46 tahun) iaitu pemandu kereta, dan isterinya, Hasimah Saari (32 tahun) berserta bayi perempuan mereka, Nuranis Umairah (16 bulan) meninggal dunia di lokasi insiden. Sementara itu, Saari Man (71 tahun) iaitu bapa Hasimah, hanya mengalami kecederaan.
Abang kepada Allahyarham Hasimah, Ishak Saari (34 tahun), memberitahu dia segera berkejar ke Bilik Forensik Hospital Kulim setelah mendapat mesej bergambar Proton Satria yang dipinjamkan kepada adik iparnya itu terlibat dalam nahas jalan raya.
"Saya berasa pelik apabila tiba-tiba menerima banyak pesanan dalam Whatsapps dari rakan-rakan bertanyakan keadaan saya," ujarnya.
Ishak memberitahu, Azli sampai ke kediamannya di Kulim, sekitar pukul 9 pagi bagi meminjam kereta disebabkan mahu melawat kematian ahli keluarganya di Seberang Perai.
"Saya tidak sempat berbual dengan arwah kerana ada kerja, hanya memberi kunci kereta kepada Azli yang terus pulang ke rumahnya untuk menjemput isterinya dan bapa saya.
"Saya difahamkan Azli membawa mereka pulang ke kampungnya di Seberang Perai untuk menziarah ahli keluarganya yang meninggal dunia hari ini," ujarnya semalam.
Menurut Ishak, arwah Azli bertugas sebagai pemandu lori, manakala isterinya tidak bekerja dan menetap bersama kedua ibu bapa mereka di Keda Sungai Salleh.
"Saya tidak sangka dalam sekelip mata saya kehilangan adik perempuan serta suami dan anak mereka. Jenazah mereka di kebumikan di tanah perkuburan Masjid Keda Sungai Salleh," jelasnya.
Sebelum ini, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar menerusi sebuah kenyataan media memberitahu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang mendapat panggilan kecemasan tentang nahas tersebut, sekitar pukul 12.18 tengahari.
"Apabila anggota kami tiba di tempat kejadian, mendapati semua mangsa berada di dalam kenderaan, manakala penumpang hadapan dan pemandu tersepit.
"Seorang lelaki yang duduk di kerusi penumpang hadapan parah, manakala pemandunya dan dua penumpang belakang, iaitu seorang wanita dan bayi perempuan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Semua mangsa yang terbunuh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Kulim," ujarnya.
Dalam pada itu, Superintendan Ahmad Nasir selaku Ketua Polis Kulim memberitahu, menurut siasatan awal, lori membawa sawit terlibat tiba dari arah Serdang, manakala kereta model Proton Satria Neo itu dalam perjalanan dari arah Kulim mengarah ke Serdang.
Sumber berita: BH Online