Kredit foto: Instagram Nabil Ahmad

Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad semakin aktif bergiat dalam dunia produksi selepas hampir sedekad bergelar anak seni.

Sehingga kini, bintang kelahiran rancangan pencarian bakat Raja Lawak musim kedua itu sudahpun menerbitkan beberapa program TV dan sebuah supertelefilem menerusi syarikat produksinya, Nabil Ahmad Production.

Selesai tugas pembikinan supertelefilem The Hantus, Nabil bakal menduduki kerusi pengarah pula dalam usaha menghasilkan filem sulung terbitannya, Qutil.

Lebih mencuri perhatian, filem bergenre seram yang bakal dirakam selepas Aidilfitri ini akan turut melibatkan produksi Indonesia.

Nekad pengacara MeleTop berusia 34 tahun itu adalah untuk memberi tumpuan penuh dalam bidang pengarahan.

“Banyak yang saya pelajari sejak menceburi dunia produksi dan mendapati kerja di belakang tabir sebenarnya seronok.

“Saya selalu bergaul dengan pengarah dan banyak mempelajari selok-belok bidang ini daripada mereka,” dedahnya kepada Harian Metro.

Kata Nabil, beliau berharap bidang baharu yang diterokai itu mampu menjamin masa depannya.

“Dengan adanya produksi sendiri, saya boleh menerbit program hiburan, filem dan teater. Selain mengacara, saya perlu mencari pendapatan lain,” katanya.

Dalam memastikan kualiti penghasilan sebuah filem yang mampu dibanggakan, Nabil akan mengupah tenaga profesional untuk membuat papan cerita filem Qutil.

“Apabila ada papan cerita, kerja produksi menjadi teratur dan menjimatkan masa,” katanya.

Selain bertindak sebagai pengarah dan penerbit, pelawak itu juga menulis sendiri jalan cerita filem berkenaan.

Difahamkan, projek itu masih dalam proses perbincangan dan belum mempunyai senarai pelakon.




Hakcipta iluminasi.com (2017)