Kredit foto: kakicyber.blogspot.my & Instagram Gegar Vaganza

Hos Gegar Vaganza, Nabil Ahmad ingin mencabar diri dengan menerbitkan program di bawah produksinya sendiri.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 34, berkata penubuhan Nabil Ahmad Productions adalah untuk melihat sejauh mana kebolehan dirinya, termasuk sebagai aset masa depan dalam industri hiburan.

“Ya, saya mahu cabar diri untuk tengok sejauh mana boleh pergi. Tidak lama lagi, kami juga akan terbitkan sebuah telefilem. Kalau nak diikutkan, sudah lama saya mahu terbitkan rancangan sendiri dan Alhamdulillah, impian tersebut berjaya di realisasikan.

"Boleh dikatakan, ini juga merupakan salah satu cara untuk saya meneroka dan mengembangkan kreativiti idea. Kalau nak tunggu peluang buat itu dan ini daripada orang lain, sampai bila, betul tak?

“Jadi bila ada peluang dengan menubuhkan produksi sendiri, kita boleh lakukan apa yang disukai, dengan mengambil kira soal kualiti sesebuah rancangan,” ujarnya memetik laporan portal Media Hiburan.

Bercerita lanjut, Nabil berkata, rancangan untuk aktif dalam dunia penerbitan tidak bermaksud dia bakal meninggalkan dunia lawak dan pengacaraan secara drastik.

Sebaliknya hanya memperlahankan kerjaya di hadapan kamera, terutama dalam bidang lakonan dan komedi.

“Sebenarnya saya bukanlah mahu bersara terus. Cuma saya hanya mahu 'slow down'. Itu pun dalam lakonan. Tawaran memanglah ada tapi mengenangkan hal komitmen dan masa, jadi saya terpaksa tolak pelawaan tersebut secara baik.

"Begitu juga dengan dunia lawak. Saya dah buat macam-macam. Jadi untuk fasa sekarang, saya lebih selesa untuk buat lawak untuk orang lain persembahkan. Misalnya dalam penulisan skrip, menerbitkan program lawak dan sebagainya.

“Minat saya lebih ke situ sekarang. Tapi saya buat setakat mana yang mampu sajalah. Tidak akan berjaya produksi ini tanpa adanya sokongan dari team produksi dan peminat. Terima kasih buat semua yang tidak putus-putus memberikan sokongan,” kata pengacara rancangan hiburan Meletop ini.

Nabil mula meledak selepas menjuarai musim kedua rancangan pencarian bakat komedi, Raja Lawak. 

Sebagai pelakon, antara filem-filem yang dibintanginya termasuk Sifu & Tongga, Jin Notti, Momok The Movie, Pisau Cukur dan Magika

Sumber berita: Media Hiburan & Wikipedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)