Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Malang buat pelawak Nabil Ahmad apabila kereta Toyota jenis Vellfire miliknya hilang kira-kira tujuh jam sebelum berlangsung konsert sulung Gegar Vaganza 4 (GV4).

Ketika kejadian, Nabil sedang menghadiri acara anjuran tabika anaknya, Naira Mikayla, 4, di Taman Tun Dr Ismail.

"Kereta hilang semasa saya sekeluarga menghadiri konsert anjuran sekolah anak.

"Apabila mahu pulang ke rumah dalam pukul 2 petang, kereta yang saya parkir di luar kawasan sekolah sudah hilang.

"Terkejut dan tak sangka kereta saya menjadi sasaran pencuri," katanya bercerita tentang kehilangan kereta berwarna putih dengan nombor pendaftaran JRP46.

Nabil membuat kenyataan tersebut di belakang pentas konsert Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malam tadi.

Menerusi GV4, pelawak itu kembali menggalas peranan sebagai hos bersama rakan gandingan, Jihan Muse.

Dalam pada itu, Nabil berkata, dia sudahpun membuat laporan polis di balai polis Taman Tun Dr. Ismail.

"Satu laporan polis telah dibuat dan semoga kereta saya ditemui semula dalam keadaan baik," pintanya.

Susulan kejadian itu, Nabil dihantar pulang ke rumah oleh pihak polis selepas membuat laporan.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)