Kredit foto: utaranews.com

Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk menyewa Fun Fair dan mengupah 120 pelakon tambahan bagi menjayakan supertelefilem terbitannya, The Hantus.

Dalam masa sama, beliau akui pulangan yang diterima syarikat produksinya tidak membawa keuntungan.

Nekad pengacara MeleTop ini untuk melihat hasil kualiti yang mampu dibanggakan.

"Saya tidak kisah mengeluarkan bajet besar kerana mahu menampilkan kelainan dan hasil berkualiti.

"Bayaran sewa Fun Fair di Rawang selama tiga hari bukan murah dan penggambaran turut membabitkan dua bas dan kereta," katanya.

Nabil berkata, beliau mendapat ilham karya komedi seram itu selepas menonton kejadian mistik yang berlaku di sebuah balai polis menerusi laman YouTube.

"Berbeza dengan cerita seram lain, The Hantus mengisahkan aktiviti makhluk ghaib di alam mereka.

"Saya ingin mengetengahkan karya segar dalam industri seni tanah air dengan tidak memilih untuk menghasilkan cerita klise," katanya.

Kini, selebriti kelahiran rancangan pencarian bakat Raja Lawak ini akan memberi tumpuan penuh dalam dunia pengarahan.

The Hantus yang dibintangi Hannah Delisha, Alif Satar dan Faizal Hussein akan menemui penonton di saluran Astro First pada Jun nanti.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)