Oleh pada 05 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza & BH Online

Chef selebriti Datuk Chef Wan memohon maaf selepas mendapat tahu hos Gegar Vaganza (GV4), Nabil Ahmad dan Jihan Muse berkecil hati dengan tegurannya.

Chef Wan menegaskan dia tidak berniat untuk menghangatkan lagi isu gaya pengacaraan pasangan hos itu yang seringkali mengundang kritikan netizen.

"Isu gaya pengacaraan mereka itu bukanlah sesuatu yang baru dan saya tidak berniat memanaskan lagi keadaan.

"Saya tegur secara baik. Bila di rumah kita buat silap, mak dan bapa kita akan tegur mahu pun guru di sekolah.

"Tolong ambil kritikan itu sebagai sesuatu yang membina untuk anda berdua tingkatkan lagi mutu pengacaraan di masa hadapan," luah Chef Wan.

Kenyataan itu dibuat menerusi laman Instagramnya mengulas komen beliau sebelum ini yang tidak berpuas hati dengan cara dua hos itu mengemudi konsert pertama GV4, ketika dia diundang sebagai juri.

nabil dan jihan terasa hati dengan tegurannya ini respon chef wan 2

Kredit foto: Instagram Chef Wan

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia terlebih dahulu dinasihatkan Ramli MS supaya membuat teguran kepada pasangan pengacara ini pada malam konsert berkenaan, namun dia membatalkan hasrat itu kerana enggan merosakkan acara.

"Dato Ramli malam itu nasihatkan saya 'Tolong Chef Wan tegur mereka jika mereka keterlaluan'.

"Saya pula tak nak keruhkan suasana malam itu kerana kita di sana untuk bergembira dan berhibur. Nanti tegur, jatuh pula air muka mereka," tulisnya.

Namun chef berusia 59 tahun itu tetap mempertahankan apa yang diutarakannya sebelum ini.

"Menjadi juri baru dalam program itu, saya juga nampak semua contoh-contoh kurang baik cara orang muda bertutur kepada orang yang lebih tua.

"Ini tentu sekali tidak bagus untuk anak-anak muda yang menonton.

"Dahlah negara kita kebelakangan ini banyak isu anak-anak yang kurang ajar dengan para guru di sekolah termasuk ibu bapa mereka.

"Sikap sebegini memang tidak boleh diterima langsung!" cetusnya.

Di kesempatan itu, beliau meminta maaf sekiranya apa yang dinasihatkan menyinggung perasaan dua hos muda itu.

"Baik apa pun jika kedua mereka berasa hati saya memohon maaf lah disini," akhirinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)