Oleh pada 08 Nov 2017 kategori

ditegur pihak astro dan produksi gegar vaganza akhirnya nabil buka mulut

Kredit foto: Instagram Nabil & Instagram Chef Wan

Pengacara Nabil Ahmad memberitahu dia sudahpun menerima teguran pihak Astro berhubung isu gurauan kasarnya ketika mengendalikan program Gegar Vaganza 4 (GV4).

Susulan itu, hos berusia 34 tahun ini mahu mengawal gaya pengacaraan demi menjaga sensitiviti para penonton, sekaligus berharap tiada lagi pihak yang akan terasa hati selepas ini.

"Ya, mereka ada menegur saya. Maafkan saya jika ada yang terasa hati lagi. Tetapi, saya sudah sedaya upaya mengurangkan kata-kata atau gurauan kasar yang mungkin menyakitkan hati mana-mana pihak," katanya yang dipetik daripada laporan BH Online.

Sebelum itu, cef selebriti, Datuk Chef Wan dilihat tidak berpuas hati dengan gaya keterlaluan Nabil mengemudi program realiti tersebut kerana ruangnya untuk bercakap sebagai juri terbatas.

Meskipun menyedari pelawak yang juga hos Meletop ini hanya mahu menceriakan acara, namun Chef Wan tetap tidak bersetuju kerana menganggap aksinya seperti tidak menghormati orang lain.

Manakala netizen menerusi laman sosial pula berpendapat jenaka yang diutarakan Nabil sebagai kasar dan tidak bersesuaian memandangkan GV4 ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, dia sedar Nabil menerima kritikan hebat di media sosial setiap kali berlangsungnya musim Gegar Vaganza.

Bagaimanapun beliau menegaskan gurauan hos itu tidak menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam rancangan berkenaan.

"Sebenarnya, baik juri mahupun peserta GV, mereka tak pernah berkecil hati dengan Nabil. Mereka sudah menjadi seperti sebuah keluarga.

"Begitupun saya faham, penonton tidak tahu dan mereka akan berasa kurang selesa dengan gurauan Nabil itu," tuturnya.

Malah, kata Emarina, sekalipun mereka sudah memberi teguran dan ingatan, situasi sebenar di atas pentas tidak dapat dikawal kerana ianya program secara langsung.

Namun, pihak produksi sebaik mungkin akan mengawal keadaan supaya program itu juga tidak dilihat sebagai program yang teruk.

"Kita semua tahu karakter Nabil. Biasalah kalau ada terlepas sedikit kata-kata yang dirasakan kasar. Apabila sudah biasa bergurau, ada masanya dia terlupa dirinya sedang mengacara program secara langsung.

"Apapun, saya lihat pengacaraan Nabil masih terkawal. Program ini pun berkonsep santai dan kita tidak boleh terlalu serius," ujarnya.

Sumber berita: BH Online

tags : , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)