Oleh pada 25 Feb 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Muhammad Qayyim Nizar Sarimi

    

Status orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan bukanlah penghalang untuk Muhammad Qayyim Nizar Sarimi membabitkan diri dalam pertandingan tilawah al-Quran.

Johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M itu berkata, beliau sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar ‘mencelikkan’ mata hatinya dengan al-Quran.

Langkah awalnya membaca al-Quran braille adalah dengan menggunakan khidmat guru mengaji sewaktu masih menuntut di sekolah rendah.

“Bermula dari situlah, saya tekad mempelajarinya lebih mendalam, selain menyertai pelbagai pertandingan tilawah sejak sembilan tahun dan mencapai banyak kejayaan.

“Usaha dan tunjuk ajar beberapa bekas qari kebangsaan di negeri ini membuahkan hasil meskipun dalam keadaan yang tidak sempurna berbanding orang lain.

“Antara pencapaian tertinggi diperoleh sebelum ini ialah johan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kelantan pada 2017, 2019 dan 2020,” katanya.

Beliau membuat kenyataan selepas Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat yang diadakan di Masjid Mukim Kadok, Kota Bharu.

Dalam pada itu, Muhammad Qayyim Nizar berkata, kecacatan dimilikinya hanyalah bersifat luaran, sementara dirinya nekad dalam menerangi hati dengan bacaan kitab suci itu.

    

muhammad qayyim nizar

Kredit foto: Instagram Muhammad Qayyim Nizar Sarimi

    

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya ‘celikkan’ mata hati ini untuk terus belajar dan membaca al-Quran.

“Ini kerana saya mahu menjadi sehebat idola, iaitu qari dari Mesir, Mustafa Ismail atau lebih dikenali ‘King Of Qurra’ berikutan kehebatannya dalam mengalunkan ayat suci al-Quran,” katanya.

Menjelang Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa, April ini, dia yang masih mengikuti pengajian di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri dalam jurusan Diploma Tahfiz Al-Quran, berazam untuk menguruskan masa dengan sebaiknya.

“Memandangkan pada siang hari jadual pengajian saya di kolej amat padat, saya akan menjalani latihan dan mendapat bimbingan daripada bekas qari kebangsaan, iaitu Ustaz Yahya Daud pada sebelah malam selepas Isyak bagi memantapkan lagi mutu bacaan serta ilmu taranum.

“Selain Ustaz Yahya, saya turut berguru dengan Ustaz Fauzi Awang dan Ustaz Abdul Rahim Ahmad yang juga menjadi pakar rujuk utama dalam bidang ini,” katanya.

Tiada tekanan bergelar pemenang, sebaliknya apa yang disasarkan Muhammad Qayyim Nizar dalam pertandingan itu hanyalah dalam memberikan prestasi terbaik untuk mengharumkan nama negara termasuk keluarganya.

“Kejayaan dikecapi adalah rezeki daripada Allah SWT dan saya sentiasa mengekalkan prestasi dengan memperbanyakkan latihan serta sentiasa belajar daripada kesilapan lalu.

“Menjelang hari pertandingan, saya biasanya tidak terlalu mengamalkan pantang-larang dalam pemakanan dan makan seperti biasa.

“Bagaimanapun, seminggu sebelum hari pertandingan, saya kurangkan minum ais, selain mengamalkan pemakanan sunnah,” katanya.

Selain penglibatan dalam pertandingan tilawah, Muhammad Qayyim Nizar antara lain pernah dijemput memperdengarkan bacaan kalam suci di hadapan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sewaktu Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara pada 2016.

    

Sumber berita: Johan qari lazimi doa al-Quran celikkan hati

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)