Oleh pada 22 Feb 2018 kategori

Seorang jurubahasa isyarat di Amerika Syarikat telah membuatkan semua orang dengan gangguan pendengaran terpinga-pinga dengan penyampaian gerak-geri palsu semasa dalam satu sidang akhbar polis berkaitan kes pembunuh bersiri di Tampa, Florida.

Ketika Ketua Polis Tampa, Brian Dugan mengumumkan kisah penangkapan Howell Donaldson, jurubahasa isyarat Derlyn Roberts berada di sampingnya sambil menterjemahkan semua ayat ke dalam bahasa isyarat. Namun, segala aksi dan terjemahan yang disampaikan adalah tidak masuk akal serta mengelirukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut Rachel Settambrino, seorang OKU yang tuli pendengaran dan juga pensyarah bahasa isyarat di University of South Florida, penterjemah itu berdiri sambil menggerakkan tangan seperti menyanyikan lagu Jingle Bells. Antara 'mesej' yang disampaikan Derlyn Roberts adalah seperti "51 jam yang lalu, kosong dua belas dua puluh dua (tidak dapat ditafsirkan) membunuh tiga minit dalam 14 minggu lalu dalam tua (tidak dapat ditafsirkan) membunuh empat lima 55,000 rayuan 10 menahan pembunuh semak (tidak dapat ditafsirkan) tiga berusia 24."

jurubahasa isyarat palsu fraud 2

Video Derlyn Roberts meraban

Ketua Polis ketika itu sedang menunjukkan garis masa bagi keempat-empat serangan tembakan dan menjelaskan bagaimana pihak polis berjaya menerima 5,000 maklumat sebelum memberkas saspek berusia 24 tahun itu.

Rekod menunjukkan yang penterjemah palsu itu pernah dipenjarakan selama 5 tahun atas kesalahan fraud feloni dan dibebaskan pada bulan April 2016. Sebelum itu dia juga pernah disabitkan kesalahan atas kesalahan kecurian besar dan rompakan. Settambrino berasa amat kecewa, keliru dan berang memikirkan Ketua Polis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan wilayah itu tidak membuat semakan latar belakang terlebih dahulu ke atas Derlyn Roberts.

jurubahasa isyarat palsu fraud

Semasa sidang susulan akhbar hari berikutnya, seorang jurubahasa isyarat yang lain pula berdiri di sebelah Ketua Polis untuk proses terjemahan.

Itu hanya merupakan salah satu contoh kisah jurubahasa isyarat yang tidak berkelayakan muncul ketika sidang media.

Pada bulan September 2017, selepas Taufan Irma didapati sedang bergerak menuju ke Florida dan pihak berkuasa mengumumkan pemindahan mandatori, seorang jurubahasa isyarat di Daerah Manatee menyampaikan mesej yang membawa maksud "pizza", "raksasa" dan "beruang" termasuk perkara-perkara lain yang tidak masuk akal.

jurubahasa isyarat palsu fraud taufan irma manatee

Jurucakap dari pejabat daerah tersebut memberitahu yang mereka berada dalam keadaan terdesak dan hanya memohon bantuan daripada salah seorang kakitangan yang memahami bahasa isyarat kerana sering berkomunikasi dengan abangnya yang pekak. Namun, dia sendiri mengalami kesukaran menterjemah semua ayat dengan betul. Komuniti OKU di situ menuntut permohonan maaf dan video sidang media itu terus menjadi tular.

Pada tahun 2013 di Afrika Selatan, seorang jurubahasa isyarat palsu muncul di sebelah Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan pemimpin-pemimpin dunia yang lain dalam satu upacara memperingati Nelson Mandela. Dia menyampaikan mesej yang meraban kepada para hadirin dan menimbulkan kekeliruan. Apabila disiasat, dia mengaku dirinya penghidap skizofrenia serta dapat melihat malaikat sedang terbang masuk ke dalam stadium di mana acara itu dibuat.

jurubahasa isyarat palsu fake mesej meraban barack obama 90

Video Thamsanqa Jantjie meraban

Menurut Settambrino, Florida tidak memerlukan seorang jurubahasa isyarat mempunyai pentauliahan dari Pendaftar Jurubahasa untuk Orang Pekak, tidak seperti negeri-negeri lain. Hanya jurubahasa isyarat yang 'layak' sahaja diperlukan. Namun, tiada siapa tahu definisi 'layak' yang sebenarnya.

Jika di Malaysia, bukan sekadar jurubahasa palsu, malah kita sendiri sudah melihat begitu banyak kes kematian, kegagalan atau kecederaan disebabkan oleh orang yang tidak layak. Zaman kini, semua maklumat ada di hujung jari. Pada masa yang sama, terlalu ramai orang berkeinginan untuk menjadi kaya dengan cepat dan mencari peluang untuk mengambil jalan pintas dengan menipu. Ada yang mengaku jadi doktor, doktor gigi, pakar pelbagai jenis penyakit, pakar itu dan ini. Pastikan diri anda tidak mudah ditipu. Selidik dahulu sebelum terus mempercayai bulat-bulat ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)