Oleh pada 16 Aug 2017 kategori

Saban hari, imej Islam diserang dari pelbagai sudut dalam media. Dengan kewujudan pengganas-pengganas bertopengkan Islam serta kewujudan ramai agamawan palsu, sedikit sebanyak masyarakat dunia terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan ini.

Namun persoalannya, benarkan dakwaan-dakwaan tersebut? Berikut adalah 5 dakwaan tentang Islam yang selalu dijadikan propaganda memburukkan Islam dan disepatutnya diperbetulkan oleh semua umat Islam di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Jihad bermaksud menggunakan keganasan

iluminasi salah tanggapan muslim malaysia2

'Jihad' itu sebenarnya datang dalam pelbagai bentuk. Bukan sekadar peperangan dan dalam Islam, umatnya diarahkan supaya berperang hanya bila diperlukan peperangan itu. Maksud jihad itu luas - jihad sebenarnya membawa maksud 'bertahan dalam meneruskan hidup' dalam semua aspek yang sebenarnya bukan hanya untuk peperangan.

Jika seorang Muslim hidup dalam suasana miskin, dia sebenarnya sedang berjihad melawan kemiskinan. Jika seseorang itu terpaksa menghadapi masalah dibuang kerja, dia juga akan berjihad memastikan kehidupannya kembali pulih. Gambar yang dikongsikan, adalah wajah seorang ayah sedang berjihad.

2. Rasulullah saw. suka gadis bawah umur

images 743

Perkara ini banyak diperdebatkan dan dijadikan fokus dalam memburukkan Islam. Jika dikaji perselisihan yang berlaku semuanya berpunca daripada rekod-rekod yang tidak sempurna tetapi tidak perlulah kita bergaduh tentang isu ini. Dikhabarkan, Aisyah bertunang dengan Rasulullah pada usia 6 tahun dan berkahwin lalu tinggal serumah pada usia 9 tahun.

Pelbagai perbincangan telah wujud hanya untuk mengesahkan perkara ini namun sehingga sekarang tidak ada jawapan yang satu. Begitupun terdapat banyak bukti yang menunjukkan berlakunya kesilapan dalam kita menyelusuri sejarah dan banyak petunjuk menyatakan Aisyah sebenarnya berumur lebih daripada 15 tahun ketika mengahwini Rasulullah. Bukti yang paling kuat adalah Aisyah dibenarkan menyertai perang Badar dan Uhud pada ketika usia pastinya lebih 15 tahun kerana had minima menyertai peperangan bagi semua individu ketika itu adalah 15 tahun.

3. Muslim itu Arab, Arab itu Muslim

iluminasi salah tanggapan muslim malaysia5

Pasti ramai yang percaya hujah ini, sehinggakan ramai orang Melayu Islam sendiri percaya perkara ini. Ini kerana negara Islam selalu dikaitkan dengan kaum-kaum yang berasal dari Timur Tengah. Namun hakikat sebenarnya, hampir 60% orang Muslim seluruh dunia tinggal di kawasan Asia Pasifik khasnya di Indonesia.

Indonesia bukan sekadar menjadi negara yang mempunyai populasi terbesar Muslim di seluruh Asia, Indonesia adalah negara yang mempunyai penganut Islam paling ramai di seluruh dunia. Apabila digabungkan dengan Malaysia, Brunei, Singapura, Filipina dan beberapa negara lain, memang jelas komuniti Muslim paling ramai bertapak di sini dan Indonesia sahaja menyumbangkan 13% daripada keseluruhan individu Muslim seluruh dunia.

4. Wanita Muslim ditindas

iluminasi salah tanggapan muslim malaysia4 143

Jika satu pasangan suami isteri benar-benar menurut ajaran Islam, tidak akan berlaku sebarang bentuk penindasan terhadap wanita. Apa yang dilihat sebagai penindasan, adalah pandangan mereka yang tidak faham tentang hak wanita dalam Islam atau hanya sekadar menghakimi dari segi aspek pakaian sahaja.

Islam tidak pernah menindas wanita dari segi kehormatan wanita itu. Isu ini kerap timbul kerana masyarakat bukan Islam merasakan wanita berhijab kerana dipaksa oleh lelaki sedangkan, kebiasaannya wanita itu berhijab kerana kerelaannya sendiri yang datang daripada kesedaran dia sendiri. Seorang wanita yang berhijab tahu dan faham keperluan dia berhijab tanpa perlu dipaksa.

Lagi satu isu yang selalu diputar belit adalah tanggungjawab isteri pada suami. Jika seseorang itu berilmu, dia patut sedar tanggungjawab isteri pada suami sebenarnya tidaklah sebesar tanggungjawab suami pada isterinya. Bagaimanapun oleh kerana kisah suami orang Islam tak guna kerap dihebohkan, ramailah yang percaya yang salah bukan si suami, tapi agamanya.

5. Muslim suka keganasan "barbaric"

iluminasi salah tanggapan muslim malaysia

Dalam filem Hollywood banyak juga laungan 'Allahuakbar' dijadikan lawak jenaka ketika adegan perang ditayangkan, bagi menggambarkan ekstrimis. Tak pernah orang Islam diminta untuk berperang kecuali terpaksa atau ketika sedang diceroboh.

Perbuatan meletupkan diri dengan bom juga sudah menjadi satu bukti yang menunjukkan Muslim ini gemar keganasan, tetapi orang bukan Muslim sepatutnya sedar yang membunuh diri adalah salah di sisi hidup seorang Muslim dan tidak wujud sebarang pun alasan, baik peperangan, jihad, menegakkan nama Allah atau mempertahankan Rasulullah yang membolehkan seseorang Muslim itu membunuh dirinya.

Jika dulu Jepun terkenal dengan stigma pejuang kamikazenya dan dikagumi kerana sanggup mengorbankan diri, percayalah - pada orang Islam yang berfikiran normal, membunuh diri adalah perbuatan yang sia-sia dan langsung tak patut dikagumi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)