Privasi di Internet merupakan suatu topik panas yang telah lama dibincangkan. Selama ini, mungkin anda sudah biasa menggunakan pelayar web penyamaran (incognito web browser) serta mengambil langkah-langkah keselamatan dalam talian untuk mengelakkan identiti dan data peribadi anda terdedah kepada orang lain.

Namun, sejauh manakah keberkesanan penggunaan laman web incognito ini? Adakah ia benar-benar efektif untuk memadamkan atau menyembunyikan maklumat anda?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berapa banyakkah maklumat yang disimpan dalam pelayar web?

Setiap kali anda melayari Internet dan membuat carian, pelayar web akan menyimpan beberapa data berkaitan sejarah log Internet anda. Misalnya, apabila anda melawati sebuah laman web yang spesifik, ia akan terus merekodkan lawatan itu ke dalam sejarah pelayar dan menyimpan kuki (cookies) daripada laman web tersebut. Ia juga menyimpan maklumat borang (form data) yang membantu anda mengisi kata laluan, alamat laman web dan pelbagai maklumat lain dengan lebih cepat.

Cookies merupakan fail-fail kecil yang disimpan dalam sistem peranti dan mengandungi data yang sangat khusus mengenai anda dan aktiviti anda. Pelayan web boleh mengakses data ini untuk menyesuaikan iklan dan halaman mengikut 'pilihan' dan 'kegemaran' anda tanpa anda perlu melakukan apa-apa.

Walau bagaimanapun, kuki juga menyimpan sejarah fail yang anda muat turun, kata laluan, carian dan bahagian laman web buat sementara waktu. Ini bermakna apabila anda mula membuat carian, ia mampu meneka dan mengisi kotak carian secara automatik mengikut carian lama yang pernah dibuat sebelumnya. Ini boleh menjadi suatu masalah sekiranya anda berkongsi komputer dengan orang lain.

cookies masih disimpan incognito pelayar web

Adakah mod incognito menyimpan sebarang maklumat?

Anda boleh cuba menghalang laman web daripada menyimpan sesuatu maklumat melalui tetapan privasi, memadam cache dan mematikan kuki. Namun, melayari web menggunakan mod penyamaran akan menghalang komputer daripada menyimpan maklumat ini dari awal lagi.

Anda boleh melayari pelbagai laman web, membuat carian dan mengklik imej serta pautan tanpa menyimpan sebarang data. Sesiapa yang berkongsi komputer dengan anda selepas itu tidak dapat melihat sejarah pelayaran (browsing history) atau sebarang terma yang anda gunakan dalam carian.

Untuk sebahagian besar pelayaran, mod incognito tidak menyimpan sebarang cookie namun ada sesetengah laman masih menyimpannya ketika anda sedang melayari Internet tetapi ia akan dipadam setelah anda menghentikan sesi penyamaran atau setelah pelayar web ditutup.

Adakah Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) masih boleh mengakses maklumat pelayaran melalui mod penyamaran?

Anda mungkin tertanya-tanya, adakah mod pelayaran secara sulit ini boleh membantu menyembunyikan apa yang anda lihat daripada Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP). Jawapannya mudah, ia tidak mampu menyembunyikan apa-apa daripada ISP anda.

Mod penyamaran hanya tidak menyimpan kuki dan sejarah pelayaran dalam komputer tetapi pihak ISP masih boleh melihat segala aktiviti anda. Mereka boleh tahu setiap laman web yang anda layari dan setiap fail yang dimuat turun disebabkan alamat IP anda.

Malah, pihak ISP juga boleh memasang kuki pengesan Internet ke dalam komputer anda selain mengakses segala sejarah carian untuk mengesan aktiviti anda. Mod penyamaran anda tidak mampu menghentikan semua ini.

mod incognito tidak boleh melindungi anda di sekolah atau pejabat

Adakah mod penyamaran boleh melindungi saya di tempat kerja atau sekolah?

Jawapan yang lebih mudah : jangan harap.

Apabila anda membuka tetingkap untuk melayari laman web secara sembunyi-sembunyi, anda mungkin boleh melihat serangkap teks yang memberi amaran bahawa mod incognito tidak menjadikan anda halimunan.

Tetapan pelayar web hanya memberi mesej kepada komputer untuk tidak merekodkan sebarang carian dan menyimpan sejarah namun ia tidak bermakna majikan, guru atau pihak sekolah tidak boleh memantau aktiviti dalam talian anda kerana ia tidak dihubungkan kepada komputer lain, pelayan dan juga penghala (router). Apabila anda melayari sesuatu laman web, aktiviti anda akan melalui rangkaian sistem yang lebih besar untuk sampai ke server. Jadi mereka sebenarnya boleh memantau aktiviti Internet anda jika mengakses log router, di mana segala trafik disimpan.

Adakah mod penyamaran boleh mengelakkan aplikasi lain daripada menyimpan dan merekodkan maklumat?

Jika anda keylogger yang dipasang pada komputer anda, ia masih boleh mengesan setiap butang yang anda klik. Selain itu, jika ada perisian intip (spyware) dalam komputer, ia juga mampu melihat apa yang anda buat sama ada dalam mod penyamaran atau tidak.

Namun, aplikasi dan perisian ini hanya boleh mengintip anda semasa anda sedang melayari Internet sahaja. Setelah selesai, sejarah carian akan terus dipadamkan, jadi tidak ada program atau aplikasi dalam komputer yang boleh melihat kembali apa yang anda sudah buat.

Dan sudah tentulah mod penyamaran tidak dapat melindungi anda daripada perisian pemantauan ibu bapa yang berada dalam komputer. Ibu bapa masih boleh mengetahui jika anak-anak melayari laman web terlarang.

penggodam hacker virus mod inkognito incognito penyamaran

Adakah laman web masih tahu yang saya telah melayari laman web tersebut?

Ya. Walaupun dalam mod penyamaran, alamat IP masih menandakan dari mana anda datang dan segala aktiviti pelayaran. Jadi, apabila anda melayari sesuatu laman web, laman tersebut masih mempunyai rekod bahawa anda pernah ke sana, walaupun rekod ini tidak terdapat dalam komputer anda. Laman web itu juga mempunyai log bahagian mana yang anda klik, berapa kali anda klik dan segala muat turun yang anda buat. 

Tontonan kandungan video secara streaming juga akan direkodkan oleh laman tersebut.

Jadi, selain aktiviti anda, apa lagi maklumat yang boleh diperolehi oleh laman web? Untuk pengetahuan anda, setiap alamat IP boleh mendedahkan lokasi anda, pembekal perkhidmatan, jenis pelayar web dan adakalanya alamat rumah anda. Terdapat undang-undang yang mengawal bagaimana sebuah laman boleh menggunakan maklumat-maklumat ini, namun apa yang anda perlu tahu - ia semua masih datang daripada alamat IP anda.

Adakah Google memang benar-benar memantau apa yang saya cari?

Oh, sudah pasti - namun dengan cara mereka tersendiri.

Anda mungkin pernah melihat iklan seperti di laman Facebook seolah-olah secara ajaib memaparkan iklan atau kandungan yang anda suka, atau perkara yang berkaitan dengan sesuatu yang anda baru lihat. Ini semua disebabkan oleh Google.

Semasa anda melayari laman web menggunakan Google Chrome atau membuat carian menggunakan Google, mereka memasang kuki pada komputer anda. Google menggunakannya untuk menjejaki aktiviti anda di keseluruhan web, kemudian memaparkan iklan-iklan yang membuatkan anda lebih cenderung untuk klik. Ia juga boleh menjejaki aktiviti setiap peranti anda (komputer, telefon pintar, tablet dan sebagainya) jika anda membiarkan akaun Google dilog masuk sepanjang masa.

Di sinilah salah satu kelebihan mod penyamaran. Apabila anda melayari Internet menggunakan mod ini, pelayar anda tidak dapat merekodkan sebarang sejarah atau kuki. Ini bermakna anda tidak akan melihat iklan yang mengikut kesesuaian atau keinginan anda. Ini juga bererti yang setiap carian baru tidak akan menjadi bias kerana ia tidak akan diselaraskan mengikut sejarah klik dan carian.

Walau bagaimanapun, anonimiti dan privasi anda akan berakhir sekiranya anda log masuk ke akaun Google menggunakan mod inkognito.

mod penyamaran inkognito tidak boleh melindungi maklumat peribadi anda

Adakah mod penyamaran ini boleh melindungi saya daripada digodam atau terkena virus?

Mod penyamaran ini hanya menyukarkan cerobohan oleh orang lain yang boleh mengakses komputer anda daripada melihat sejarah pelayaran. Pengisian automatik seperti log ID ke bank, kata laluan, maklumat peribadi tidak akan terjadi selagi anda tidak menggunakan sebarang aplikasi yang menyimpan data seperti ini.

Incognito mode tidak membuatkan komputer anda menjadi lebih selamat. Jika terdapat perisian intip dalam komputer anda, penggodam masih boleh melihat apa yang anda sedang lihat. Selain itu, mod penyamaran ini tidak dapat menyelamatkan anda daripada memuat turun fail atau membuka e-mel yang mengandungi virus.

Sekiranya anda benar-benar khuatir komputer akan digodam atau keselamatan anda terjejas, anda boleh menggunakan perisian seperti rangkaian persendirian maya (Virtual Private Network, VPN) untuk menyembunyikan identiti anda daripada dijejaki.

Bolehkah pihak kerajaan memantau apa yang saya lakukan?

Jika mereka rasa perlu, sudah tentu. Alamat IP anda tidak disembunyikan melalui mod penyamaran dan boleh digunakan untuk menjejak segala maklumat anda untuk tempoh yang panjang. Pihak NSA misalnya boleh memasang kuki penjejak dalam komputer anda untuk memerhatikan segala aktiviti anda walaupun dalam mod penyamaran. Mereka boleh mengesan setiap laman web yang anda kunjungi, dengan siapa anda berbicara, apa yang anda tulis dan setiap carian yang anda buat.

Jika anda telah melanggar undang-undang atau dikehendaki pihak berkuasa, mereka boleh menjejak setiap sejarah pelayaran dan boleh meminta rekod sejarah sepenuhnya daripada pembekal perkhidmatan Internet anda dengan mudah.

mod penyamaran incognito inkognito

Apa yang akan berlaku apabila saya memuat turun sesuatu?

Apabila anda memuat turun, fail tersebut akan tersimpan dalam komputer. Apabila sesi Internet anda berakhir dan anda menamatkan pelayar inkognito, fail tersebut masih kekal berada dalam sistem komputer. Ini disebabkan fungsi pemacu cakera keras tidak memerlukan sambungan Internet untuk mengakses segala fail yang tersimpan.

Begitu juga dengan tanda buku (bookmark) yang disimpan semasa melayari dalam mod penyamaran. Ia masih kekal dalam simpanan walaupun anda telah menamatkan sesi inkognito. Jadi, orang yang mempunyai akses kepada komputer anda masih boleh melihat tanda buku ini.

Ingat, apa pun yang anda buat, layarilah web dengan berhati-hati. Jauhi segala laman web terlarang dan jadilah pengguna Internet yang bijak.

Guna mod incognito pun masih tak boleh bersembunyi daripada Yang Maha Melihat.

Rujukan:

1. Surf Easy

2. Mashable

3. How to Geek

4. Guiding Tech




Hakcipta iluminasi.com (2017)