Di pergunungan Uttarakhand, India, terletaknya satu tasik air glasier di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai Tasik Roopkund. Tasik itu dikelilingi oleh keindahan alam semulajadi Himalaya yang diliputi salji dan menjadi destinasi popular oleh para pengembara dari seluruh dunia.
Namun, Tasik Roopkund ini lebih terkenal sebagai Tasik Tengkorak kerana mengandungi beratus-ratus rangka manusia yang ditemui di dalam dan persekitaran tasik itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Tasik ini mula ditemui oleh seorang renjer hutan bernama H.K. Madhawl pada tahun 1942. Sejak itu, ia menjadi misteri yang membingungkan ramai para pengkaji kerana bilangan rangka manusia yang begitu banyak dalamnya.
Terletak lebih dari 4876 meter di atas paras laut, Tasik Tengkorak ini mula-mula ditemui dalam keadaan beku. Pada setiap musim panas, suhu yang tinggi akan mencairkan ais dalam tasik ini dan memperlihatkan lebih banyak tengkorak. Dianggarkan lebih daripada 200 rangka manusia telah ditemui di tasik itu.
Pada mulanya, penduduk dan pihak berkuasa tempatan menganggap bahawa rangka-rangka manusia ini milik mayat tentera Jepun yang mati semasa Perang Dunia Kedua. Pihak Kerajaan British telah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan lanjut mengenai penemuan itu dan menghantar penyiasat mereka ke sana.
Hasil daripada pemeriksaan itu, mereka dapati bahawa tulang-tulang manusia yang terdapat di tasik itu bukanlah milik tentera-tentera Jepun seperti sangkaan awal penduduk.
Walaupun kesan rambut dan kulit masih jelas kelihatan pada tulang-tulang itu akibat dipelihara dengan baik oleh keadaan cuaca Himalaya yang kering dan sejuk, teori tentera Jepun itu terpaksa diabaikan setelah menyedari bahawa umur tulang-tulang itu adalah jauh lebih lama daripada waktu terjadinya Perang Dunia.
Pelbagai teori dan khabar angin muncul dalam tahun-tahun berikutnya. Ada spekulasi mengatakan ia mungkin berpunca daripada tanah runtuh yang membunuh para pendaki, ritual korban manusia dan banyak lagi. Namun, misteri Tasik Roopkund masih tidak dapat diselesaikan sehinggalah 62 tahun kemudian.
Akhirnya pada tahun 2004, dua orang ahli genetik di Pusat Biologi Selular dan Molekul Hyderabad, Niraj Rai dan Manvendra Singh, berjaya menyelesaikan misteri Tasik Tengkorak dengan menggunakan bukti DNA.
Kerangka-kerangka yang ditemui di tasik itu ada yang berusia sekitar tahun 850 Masihi dan diyakini terdiri daripada dua kumpulan yang berbeza. Kumpulan pertama terdiri daripada keluarga atau suku yang sama, manakala kumpulan kedua pula tiada kaitan dengan kumpulan pertama kerana ukuran mereka yang lebih kecil dan pendek.
Kajian lanjut mendedahkan bahawa hampir 70% daripada kumpulan ini berasal dari Iran dan selebihnya adalah penduduk tempatan yang diupah untuk penjadi pembimbing atau pemandu arah kepada kumpulan jemaah agama melalui lembah ini.
Barangan seperti kasut kulit, cincin dan tombak telah ditemui dan beberapa di antaranya masih lagi terdapat dalam Tasik Roopkund. Bukti-bukti ini mengukuhkan lagi teori kumpulan kedua yang lebih sedikit itu berada di sana sebagai pemandu arah.
Antara persoalan yang paling aneh ialah cara kematian mayat-mayat yang ditemui di Tasik Roopkund ini. Hasil kajian terperinci mendapati punca kematian semua yang berada di tasik ini adalah disebabkan trauma dari pukulan objek kecil di kepala.
Semua tengkorak dalam tasik ini mempunyai kesan retakan pendek dan tidak sama seperti kesan yang terbentuk akibat trauma yang disebabkan oleh senjata. Kesan ini mungkin dihasilkan oleh sesuatu yang lebih kecil dan berbentuk bulat. Selain kepala, kesan trauma ini juga dapat dilihat pada bahagian atas badan seperti tulang bahu.
Penemuan ini membawa para penyelidik untuk membuat kesimpulan bahawa ekspedisi keseluruhan 200 orang ini telah terkorban akibat dilanda hujan ais ekstrem yang mengasilkan ketulan ais batu bersaiz bola kriket.
Walaupun jawapan ini kedengaran pelik tetapi ia adalah yang paling masuk akal. Apabila mengembara di lembah ekstrem tanpa sebarang pelindungan, ribut atau hujan ais di suhu serendah ini boleh menyebabkan kecederaan teruk sehingga mengakibatkan kematian.
Beberapa lagu hikayat penduduk tempatan Himalaya juga ada menggambarkan dewi yang memukul kepala orang-orang yang mencemari gunungnya dengan hujan batu yang 'sekeras besi'. Tidak hairanlah ada penduduk tempatan percaya mayat-mayat di Tasik Roopkund adalah angkara dewi yang marah.
Kini, sisa-sisa rangka manusia yang berada di Tasik Roopkund ini masih boleh dilihat walaupun ada sebahagian daripadanya telah hilang sedikit demi sedikit akibat dicuri. Agensi-agensi kerajaan mula membangunkan kawasan itu menjadi destinasi pelancongan dalam usaha melindungi dan memulihara mana-mana rangka yang tinggal.
Bagi pendaki atau pengembara yang ingin melihat tengkorak manusia di Tasik Roopkund ini, mereka perlulah membuat kajian terlebih dahulu. Ini kerana tinggalan purba di sini hanya boleh dilihat apabila air tasik mencair iaitu dalam tempoh sebulan sahaja setiap tahun.
Rujukan:
2. India Today
3. IFL Science