Kredit foto: printlyrics.net

Penyanyi Cinta Muka Buku, Najwa Latif, menerusi laman Instagram, berkongsi foto majlis konvokesyennya bergelar graduan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Najwa yang merupakan duta jenama UNITAR, sebelum ini berkata, impiannya yang sebenar ialah untuk menjadi pendidik dan menyasarkan tempoh tiga tahun bagi mencapai cita-cita sebagai pensyarah.

Katanya, bidang nyanyian pula hanyalah sekadar hobi. Justeru, dia tidak terkilan apabila memilih untuk mengutamakan pendidikan bagi mencapai kerjaya yang diminati, berbanding karier sebagai penyanyi.

Perkongsian foto-foto konvokesyen itu meraih lebih 28 ribu tanda suka (like) di laman Instagram.

Malah rata-rata netizen yang merindui kelibatnya, tidak ketinggalan merakamkan ucapan tahniah di ruangan komen.

Najwa merupakan penyanyi dan pencipta lagu yang aktif dalam dunia hiburan bermula tahun 2011, pernah meletup dengan lagu-lagu berhantu, antaranya Cinta Muka Buku, Kosong, Carta Hati dan Sahabat.

Sumber berita: Beautifulnara




Hakcipta iluminasi.com (2017)