Gereja Makam Kudus atau The Church of the Holy Sepulchre di Baitul Maqdis dianggap sebagai tempat paling suci dalam agama Kristian. Menurut tradisi, di sinilah tempat di mana Jesus disalib, dikebumikan dan dibangkitkan dari kematian.

Walaupun tapak suci ini dibahagikan antara beberapa mazhab Kristian, namun hak penjagaan penuh Gereja Makam Kudus ini berada di tangan dua buah keluarga Muslim.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah Gereja Makam Kudus

gereja makam kudus 577

Gereja Makam Kudus

Gereja Makam Kudus yang asli telah dibina pada abad ke-4 Masihi semasa pemerintahan Maharaja Constantine. Struktur ini kemudian dimusnahkan pada abad ke-11 Masihi oleh Khalifah Fatimiyya yang berfahaman Syiah. Mereka adalah keturunan Fatimah az-Zahra RA, anak kepada Nabi Muhammad SAW.

gereja kristian dijaga muslim

Gereja itu kemudian dibina semula, namun tidak lama selepas itu dihancurkan pula oleh Byzantine. Pengubahsuaian telah dibuat pada Gereja Makam Kudus ini oleh Tentera Salib selepas mereka berjaya menawan Baitul Maqdis pada tahun 1099.

Ketika berlakunya Perang Salib hingga abad ke-19, Gereja Makam Kudus ini mempunyai tiga penjaga iaitu Yunani Ortodoks, Apostolik Armenia dan Gereja Katolik Rom.

Konflik antara penjaga

lukisan penaklukan tentera salib

Lukisan penaklukan Tentera Salib. 1: Gereja Makam Kudus, 2: Masjidil Aqsa, 3: Benteng pemisah

Pada abad ke-19, hak penjagaan gereja ini diperluaskan kepada tiga lagi gereja iaitu Koptik Ortodoks, Ethiopia Ortodoks dan Gereja Ortodoks Syria. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga gereja ini mempunyai tanggungjawab yang lebih rendah berbanding tiga penjaga asal.

Walaupun hak penjagaan yang dibahagikan antara beberapa gereja ini diwujudkan untuk tujuan pendamaian antara satu sama lain, namun tetap berlaku konflik antara mereka. Ia kadang-kala membawa kepada konfrontasi yang melibatkan keganasan dan ia pernah beberapa kali berlaku antara mereka.

Mungkin kerana hak penjagaan Gereja Makam Kudus ini dibahagikan kepada terlalu banyak kumpulan sejak dari abad pertengahan lagi, tidak mengejutkan mereka berselisih antara satu sama lain sehingga melibatkan keganasan fizikal. 

Perselisihan ini juga tidak dapat diselesaikan dengan beberapa mazhab zaman moden yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga Gereja Makam Kudus ini. Oleh sebab itu, ia menjadi alasan utama mengapa keseluruhan hak penjagaan gereja ini berada di tangan dua keluarga Muslim.

Penawanan Baitul Maqdis dan penjaga gereja yang baru

gambaran dalaman gereja makam kudus

Mengikut salah satu catitan, hak penjagaan Gereja Makam Kudus ini telah diberikan oleh Khalifah Umar RA ketika ketika Baitul Maqdis ditawan oleh kaum muslimin pada tahun 637 Misihi. Keluarga Nuseibeh yang berasal dari kota Madinah dan didakwa memiliki hubungan persaudaraan dengan Nabi Muhammad SAW, telah dipilih untuk menjalankan tugas sebagai penjaga.

Selepas beberapa abad pemerintahan Islam, Baitul Maqdis jatuh pula ke tangan Tentera Salib. Namun, tidak lama selepas itu Gereja Makam Kudus dan Baitul Maqdis sekali lagi berada di tangan kaum muslimin apabila ia ditawan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1187.

Keluarga Nuseibeh telah dilantik semula oleh Sultan untuk berkhidmat sebagai penjaga Gereja Makam Kudus ini. Salahuddin telah mengunci pagar kedua gereja ini dan kuncinya telah diberikan kepada keluarga Nuseibeh untuk dijaga.

Penjaga bersama gereja

adeeb joudeh penjaga kunci gereja makam kudus

Adeeb Joudeh, penjaga kunci gereja

Menurut keluarga Nuseibeh, hanya ketika pada abad ke-16 semasa Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah barulah keluarga Joudeh dilantik sebagai "penjaga bersama" Gereja Makam Kudus ini.

Namun begitu, keluarga Joudeh pula mendakwa mereka adalah penjaga gereja itu sejak dari zaman Salahuddin lagi. Dikatakan keluarga Joudeh yang pertama menerima kunci kepada gereja itu adalah seorang Sheikh dan dia tidak dijangka untuk melakukan sebarang kerja fizikal. Oleh itu kerja membuka dan mengunci pintu gereja dibiarkan untuk dilakukan oleh keluarga Nuseibeh.

Hari ini, keluarga Joudeh meneruskan tugas mereka untuk melindungi dan menyimpan kunci, sementara keluarga Nuseibeh pula bertanggungjawab untuk membuka pintu gerbang ke Gereja Makam Kudus.

pintu gerbang gereja makam kudus 699

Pintu gerbang Gereja Makam Kudus

Sebenarnya terdapat dua kunci kepada gereja itu pada hari ini. Salah satunya dikatakan berusia 850 tahun, namun telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Satu lagi kunci berumur kira-kira 500 tahun dan merupakan satu-satunya kunci yang masih berfungsi. Kunci-kunci itu disimpan di sebuah pejabat kecil yang bersambung dengan gereja itu.

Sejak kurun ke-19, satu upacara telah diadakan setiap tahun oleh tiga mazhab utama Kristian dalam memperbaharui pengakuan mereka terhadap hak penjagaan Islam ke atas Gereja Makam Kudus ini.

Setiap wakil daripada ketiga-tiga mazhab utama ini akan diberi kunci kepada Gereja Makam Suci itu, selama mana yang mereka perlukan untuk membuat perarakan di sekitar gereja. Pintu gereja akan dibenarkan untuk dibuka setelah upacara sembahan yang dilakukan mereka pada waktu pagi.

Setelah selesai upacara yang dilakukan mereka, kunci Gereja Makam Kudus akan dipulangkan semula kepada penjaga Muslim itu. Upacara ini berlaku pada setiap Maundy Thursday, Orthodox Good Friday dan juga Holy Saturday bagi Katolik Rom, Yunani Ortodoks dan Apolostik Armenia.

Rujukan:

1. IB Times

2. CNN

3. Tribune

4. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)