Oleh pada 21 Nov 2019 kategori

Pulut Kuning merupakan salah satu hidangan istimewa dan begitu simbolik dalam masyarakat Melayu. Hidangan ringkas ini sering disediakan dalam beberapa majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, cukur jambul, akikah, berkhatan, tahlil dan banyak lagi.

Selain nama Pulut Kuning, hidangan ini juga dikenali sebagai Pulut Semangat atau Nasi Semangat. Mengapa ia sering dihidangkan pada majlis-majlis tertentu dan masih popular dari generasi ke generasi?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Makanan Raja-raja

Jika diteliti dalam konteks sejarah, beras itu sendiri merupakan makanan ruji masyarakat Melayu dan rakyat nusantara khususnya. Ia merupakan tanda simbolik kepada kesyukuran nikmat, limpahan rezeki, kemewahan dan taraf ekonomi.

Sesetengah pendapat pula mengatakan Pulut Kuning ini berasal dari istana dan merupakan makanan raja-raja. Warna kuningnya juga dikaitkan dengan warna yang digunakan keluarga diraja. Pulut Kuning ini diangkat sebagai juadah istimewa untuk majlis-majlis tertentu mungkin atas beberapa sebab.

makanan raja sultan melayu zaman dahulu

Beras yang digunakan untuk menghasilkan pulut adalah beras dari jenis mahal dan ekslusif. Penyediaan Pulut Kuning juga agak sukar kerana beras pulut perlu direndam bersama kunyit (ada yang melakukannya semalaman) dan menanaknya juga bukan semudah nasi biasa.

Jika dilihat pada sifat Pulut Kuning yang melekit itu, ia memberi gambaran simbolik mengenai hubungan akrab persaudaraan dan sebagai pengikat silaturrahim. Ini menerangkan mengapa juadah itu begitu signifikan dalam majlis keramaian sebagai penghargaan tuan rumah kepada tetamu.

Tetamu yang hadir akan dijamu dengan Pulut Kuning sebagai tanda terima kasih atas kesudian mereka hadir atas jemputan yang diberikan di samping menjalinkan lagi keakraban sesama mereka.

pulut kuning makanan sultan raja melayu

Dalam majlis perkahwinan pula, Pulut Kuning sering digunakan dalam upacara Makan Berhadap di mana pengantin akan menyuap pasangan masing-masing ketika permulaan menjamu selera sebagai tanda ikatan kasih sayang.

Jelaslah bahawa Pulut Kuning ini merupakan juadah yang penting dalam adat masyarakat Melayu. Namun, tahukah anda bahawa Pulut Kuning ini juga sering dikaitkan dengan amalan mistik dan ghaib masyarakat dahulu?

Amalan Khurafat yang dikaitkan dengan Pulut Kuning

Masyarakat Melayu zaman dahulu sering menggunakan Pulut Kuning dalam upacara-upacara tertentu yang mempunyai unsur ghaib atau mistik seperti aktiviti perbomohan, pemujaan, tolak bala, mendapat keberkatan dan banyak lagi.

Pulut Kuning juga merupakan juadah wajib dalam penyediaan Ancak. Ancak merupakan sejenis persembahan kepada makhluk halus yang popular dalam kebudayaan Melayu pada suatu ketika dahulu.

ancak

Persembahan ini merupakan "hidangan" kepada bangsa jin yang biasanya terdiri daripada bertih, Pulut Kuning, ayam panggang, telur rebus atau mentah, anak patung, darah haiwan dan beberapa bahan lagi.

Ancak juga digunakan dalam perubatan tradisional di mana ia dapat mengelakkan sesuatu perkara yang tidak baik semasa upacara perubatan sedang dilakukan. Jin-jin yang mengganggu akan dipujuk untuk mengikuti ancak yang kemudiannya akan dihanyutkan ke sungai. Upacara ini dipanggil sebagai "Membuang Ancak".

penyediaan ancak

Penyediaan ancak

Membuang ancak juga dilakukan ketika seseorang itu ingin membuang ilmu kebatinan seperti susuk, ilmu kebal, membuang makhluk belaan dan sebagainya.

Ancak juga disediakan dalam upacara semah atau memenuhi perjanjian yang dipersetujui oleh manusia dengan jin bagi membantu mereka dengan "menurun" atau masuk ke dalam badan ketika melakukan perubatan, persembahan teater tradisional dan sebagainya. 

Salah satu persembahan tradisional Melayu yang berunsur spiritual mengunakan Pulut Kuning dalam penyediaan ancak adalah Tarian Ulik Mayang. Ia dipercayai dapat menghalau jin daripada mengganggu atau merasuk para penari.

Pulut Kuning juga sering dijadikan sedekah atau "buah tangan" daripada pelawat yang mempunyai hajat melawat makam-makam keramat bagi membuat nazar atau niat.

Kepercayaan khurafat berkaitan Pulut Kuning

amalan bomoh dukun pawang sihir ghaib pulut kuning 250

Persoalannya, apakah kaitannya Pulut Kuning dengan amalan mistik? Adakah Pulut Kuning merupakan makanan bangsa jin? Sepertimana yang diketahui umum, makanan jin adalah terdiri daripada tulang dan kotoran.

Jika dilihat dari sejarah Pulut Kuning ini, ia dikatakan berasal dari China. Pulut Kuning juga merupakan makanan turun-temurun yang terdapat di Laos, Kemboja dan Siam. Ia kemudian menjadi popular dan berkembang ke seluruh nusantara termasuklah di Tanah Melayu.

pulut kuning vietnam 2

Di Laos, Kemboja dan Siam, Pulut Kuning ini sering disediakan sebagai makanan kepada para dewa-dewa mereka. Namun, di nusantara pula Pulut Kuning digunakan dalam upacara memuja semangat ghaib atau jin. Mungkin inilah sebab mengapa ia begitu sinonim dengan amalan khurafat.

Semua perbuatan-perbuatan ini jelas bertentangan dengan hukum syara' atau syariat Islam kerana memuja dan meminta bantuan makhluk lain selain Allah SWT. Kepercayaan ini boleh menjerumuskan seseorang itu kepada syirik.

Kesedaran agama yang semakin berkembang dalam masyarakat Melayu juga menjadikan amalan-amakan khurafat ini semakin ditinggalkan. Fungsi Pulut Kuning juga berubah menjadi simbol kebanggaan masyarakat Melayu sebagai makanan yang istimewa.

Sumber:

1. Kenapa Pulut Kuning sering dikaitkan dengan amalan khurafat

2. Pulut Kuning dalam adat masyarakat Melayu

3. Pulut Kuning makanan tradisi masyarakat Melayu




Hakcipta iluminasi.com (2017)