elfia loy dan altimet dengan kening

Seperti sudah menjadi trend wanita zaman sekarang gemar menipiskan kening atas dasar fesyen. Bagi sesetengah wanita mencukur kening sehingga licin dan melukis semula kening adalah perkara normal bagi mereka. Adakah mereka tidak tahu fungsi dan kegunaan kening?

Trend kening nipis tetap menjadi ikutan kerana dianggap lebih cantik di kalangan selebriti-selebriti wanita Malaysia khasnya. Sehinggakan amat sukar untuk kita dapat melihat selebriti yang masih lagi memiliki kening asal mereka. Kalau ada pun, jumlahnya amat rendah.

elfira loy dan altimet tanpa kening 345

Sebelum anda pun menjadi sebahagian daripada kelompok wanita (atau lelaki) yang mencukur kening, pernahkah anda tertanya-tanya satu soalan mudah; apa sebenarnya fungsi dan kegunaan kening yang sebenarnya?

Adakah ianya hiasan semata-mata untuk tubuh manusia ciptaan tuhan yang amat istimewa ini? Sebenarnya kening ada fungsi dan kegunaannya. Ikuti artikel ini.

Mengapa kita ada bulu mata?

lelaki dengan bulu mata yang sangat lebat

Bagi menjawab persoalan mengapa kita ada kening, tak sah rasanya kalau tak dihuraikan mengapa kita ada bulu mata. Bulu mata adalah kumpulan bulu yang tumbuh di sekitar kelopak mata kita dan bulu-bulu itu mempunyai peranan yang amat penting pada sistem badan kita.

Bulu mata berfungsi sebagai penapis habuk supaya tidak masuk terus ke mata kita, yang boleh menghalang pemandangan atau menyebabkan kecederaan pada bebola mata kita yang sensitif.

Tahukah anda, bulu mata kita sebenarnya mempunyai fungsi sensor mengesan apabila sesuatu objek berada terlalu dekat dengan mata, lalu membuatkan kita memejam mata secara automatik? Sebagai contoh, apabila seekor serangga terbang terlalu dekat dengan mata, bulu mata akan bertindak menghantar isyarat ke otak supaya tindakan refleks kita melindungi mata, dilakukan dengan pantas.

Bulu mata juga membantu mengekalkan kelembapan mata, agar mata tidak terlalu kering. Ini semua dapat dilakukan kerana bulu mata mempunyai sifat yang unik berbanding semua jenis rambut yang ada di tubuh kita. Bulu mata tidak akan memutih seperti uban rambut dan bulu mata adalah rambut paling pendek yang mempunyai jangka hayat paling panjang.

Bagaimana dengan fungsi kening pula?

fungsi kening menonjolkan reaksi dan menunjukkan emosi

Kening sebenarnya memainkan peranan penting pada badan kita tanpa kita sedari. Fungsi utama kening adalah untuk memastikan air dan peluh tidak mengalir ke dalam mata kita. Bentuk kening yang melengkung membantu mengalirkan air ke tepi, supaya air mengalir di bahagian wajah dan tidak jatuh ke dalam mata.

Ini membantu mencerahkan penglihatan terutamanya ketika kita berlari atau berjalan di dalam hujan. Lagipun kita sendiri pasti sudah tahu bagaimana rasa pedih akan berlaku pada mata, sekiranya peluh mengenainya kerana garam di dalam peluh mampu membuatkan rasa kurang selesa pada mata.

Salah satu fungsi kening yang jarang diperkatakan adalah fungsinya sebagai satu bentuk penguat ekspresi manusia. Kening mampu menceritakan banyak perkara tentang apa yang seseorang individu sedang rasai dengan perubahan kedudukan dan bentuk kening. Ini bermaksud kening sebenarnya adalah salah satu alat komunikasi bukan lisan paling penting manusia.

Selain itu, kening juga adalah satu bahagian badan yang menjadikan wajah kita nampak sempurna, kerana tanpa kening - seseorang itu akan kelihatan ganjil.

Mengapa ada individu yang ada 'unibrow'?

kening sambung aka unibrow

Ada kalanya, bagi sesetengah individu mereka mempunyai kening yang bercantum di tengah-tengah, yang kerap digelarkan 'unibrow.' Mengapa fenomena itu berlaku? Tidak ada apa-apa yang istimewa berlaku pada individu unibrow kerana semuanya datang daripada faktor genetik.

Bagi sesetengah masyarakat, mereka memandang unibrow sebagai satu bukti kecantikan seseorang. Masyarakat di Tajikistan berebut hendak memiliki kening bersambung ini.

Kening bersambung menjadi rebutan masyarakat Tajikistan, sehinggakan ramai penduduk wanita mereka akan menggunakan herba yang diperbuat daripada sejenis daun bernama daun usma, untuk disapukan di tengah-tengah kening yang terpisah bagi mencantumkannya. Daun yang sudah dihancurkan itu akan dibiarkan selama 15 minit dalam usaha mendapatkan unibrow yang tebal dan lebat.

Wanita Tajikistan mempunyai pilihan yang berbeza yang mungkin kelihatan ganjil bagi orang lain. Bagaimanapun, jika dilihat tindakan mereka itu sebenarnya tidak ada bezanya dengan tabiat wanita mencukur kening, mewarnakan kuku atau memakai gincu bibir.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)