Anda mungkin biasa memanaskan makanan di dalam ketuhar menggunakan kerajang aluminium atau lebih biasa disebut sebagai aluminium foil. 

Makanan beku atau sejuk yang dipanaskan selama beberapa minit akan menjadi lembut dan panas seperti baru sahaja dimasak segar.

kenapa aluminium foil tidak panas

Namun, bagaimana aluminium foil yang dimasukkan bersama makanan dan dipanaskan dalam tempoh yang sama tidak terasa panas apabila disentuh? Bagaimana keadaan ini berlaku?

Aliran haba aluminium

Aliran haba (thermal conductivity) adalah sifat yang menentukan seberapa cepat sesuatu bahan itu dapat memindahkan haba.

Sekiranya sesuatu objek itu dapat memindahkan haba dengan cepat, maka ia dikatakan mempunyai aliran haba yang tinggi. Begitu juga sebaliknya. Objek dengan aliran haba yang rendah memerlukan masa yang lebih lama untuk memindahkan haba.

Bahan dengan aliran haba yang rendah sering digunakan sebagai penebat haba, iaitu objek yang tidak membiarkan haba hilang dengan cepat (seperti peralatan memasak dengan lapisan Teflon).

heat sink aluminium

Heat sink aluminium

Bagi objek mempunyai aliran haba yang tinggi pula, ia sering digunakan untuk membuat heat sink seperti yang digunakan pada CPU atau papan litar. Bahan ini dapat mengalih haba yang terkumpul dengan cepat.

Seperti yang anda sedia maklum, aluminium juga merupakan bahan yang mempunyai aliran haba tinggi. Ini menjadikannya sesuai digunakan sebagai pembalut makanan yang ingin dimasak, dibakar atau dipanaskan.

Bukan itu sahaja tetapi ada satu perkara penting yang menjadikan aluminium foil begitu unik.

Jisim terma aluminium foil

Aluminium foil bukan sahaja mempunyai aliran haba yang tinggi tetapi ia juga sangat nipis (jisim rendah) dan mempunyai permukaan yang luas.

Berdasarkan ciri-ciri ini, apa sahaja haba yang diserap aluminium foil akan hilang dengan cepat ke udara di sekitarnya. Permukaan luas dan rata aluminium foil menyebabkan bahan ini mempunyai jisim terma yang sangat rendah.

Apakah yang dimaksudkan dengan jisim terma?

aluminium foil

Jisim terma adalah kemampuan sesuatu objek menyerap dan menyimpan haba. Benda yang dianggap sukar untuk panas biasanya mempunyai jisim terma yang tinggi.

Sebagai contoh, konkrit dan batu-bata yang mempunyai kepadatan tinggi sukar dipanaskan dan hanya akan panas sekiranya dibekalkan dengan tenaga haba yang banyak. Namun, ia mampu untuk menyerap dan menyimpan haba dengan baik.

Sebaliknya, objek ringan seperti kayu pula mempunyai jisim terma yang rendah kerana tidak "bagus" dalam menyerap atau menyimpan haba. 

Seperti kayu, aluminium foil juga mempunyai jisim terma rendah dan tidak dapat menyerap dan menyimpan haba. Permukaan luas dan sifatnya yang dapat mengalirkan haba dengan cepat juga membuatkan aluminium foil sukar untuk panas.

Antara faktor penting lain yang sering dikaitkan dengan aluminium foil adalah keberkesanannya dalam kapasiti (kemampuan) haba khusus.

Kapasiti haba khusus aluminium

unit ukuran suhu

Kapasiti haba khusus mengukur jumlah tenaga haba yang diperlukan untuk meningkatkan suhu 1 kg sebanyak 1 kelvin (unit ukuran suhu selain Fahrenheit dan Celsius). Ia mengukur berapa banyak haba yang diperlukan untuk memanaskan sesuatu bahan itu.

Tanggapan salah yang popular mengenai aluminium adalah bahan itu mempunyai kapasiti haba khusus yang rendah. Pada hakikatnya, aluminium mempunyai haba khusus yang tinggi berbanding beberapa logam lain seperti tembaga dan besi.

Atas fakta ini jugalah mengapa beberapa peralatan memasak tertentu diperbuat daripada aluminium. 

Walau bagaimanapun, aluminium foil yang direka untuk makanan terlalu nipis dan mempunyai permukaan luas menjadikannya sukar memindahkan haba ke tangan seseorang.

Kesan penggunaan aluminium foil

Walaupun aluminium foil adalah alat yang sesuai digunakan untuk memasak, membakar atau memanaskan makanan, ia sebenarnya mempunyai kesan sampingan yang bahaya.

ikan bakar portugis

Menurut kajian, penggunaan aluminium foil yang kerap terutamanya bagi masakan pedas dan berasid boleh menyebabkan makanan itu menyerap logam yang terhasil apabila dipanaskan.

Pengambilan dos aluminium yang tinggi dalam badan boleh sering dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti osteoporosis, alzheimer atau kegagalan buah pinggang.



Hakcipta iluminasi.com (2017)