Oleh pada 05 Aug 2019 kategori

Orang asal atau istilah lama digunapakai 'orang asli' merupakan kumpulan etnik, bangsa atau suku yang telah menetap di Malaysia sejak sekian lama; ketika ini mengamalkan bahasa, pengetahuan dan kepercayaan unik berbeza dengan apa yang majoriti kita amalkan seharian.

Populasi masyarakat asal di negara kita sebenarnya meningkat tahun ke tahun, dengan rekod pada tahun 1991 mencatatkan jumlah peningkatan tertinggi dalam tempoh berpuluh tahun sejak kali pertama direkodkan pada tahun 1947.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau demikian, rekod tahun 2016 mendapati jumlah populasi mereka sekitar 178,197 orang keseluruhannya meliputi hanya 0.6% daripada keseluruhan populasi negara kita.

Banyak perubahan berlaku melibatkan masyarakat orang asal dan kisah berkenaan komuniti ini kerap dilaporkan di dalam media. Namun tak ramai yang benar-benar memahami kedudukan mereka dalam struktur masyarakat kita. Jom kita pelajari tentang mereka!

Realiti hidup orang asal

orang asli ukir patung

Tahukah anda, di negeri manakah populasi paling ramai orang asal ditemui?

Dua negeri yang mencatatkan populasi orang asal paling ramai adalah Pahang dan Perak, sementara dua yang paling sedikit adalah Perlis dan Pulau Pinang.

Setiap negeri  mencatatkan suku etnik orang asal berbeza-beza mengikut taburan geografi, berpunca daripada cara hidup setiap suku yang gemar memilih untuk kekal di kalangan kelompok serupa di antara mereka.

Ini membantu mewujudkan pola populasi yang sekata apabila dipetakan kedudukan setiap etnik.

Dalam laporan tahun 2010 didapati seramai 76.9% orang asal berada di bawah kadar kemiskinan, dengan 35.2% daripada jumlah keseluruhan dianggap miskin tegar. Kadar ini jauh mendahului kadar purata kemiskinan negara kita iaitu 1.4%.

Kadar kelahiran mereka juga rendah, disebabkan kes-kes kematian kelahiran yang tinggi pada kadar 51.7 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran, jauh lebih tinggi berbanding kadar kebangsaan iaitu 8.9 kematian untuk kadar kelahiran serupa.

Mereka tinggal didalam 869 kampung di seluruh negara dengan hanya 2% berada berdekatan pekan atau bandar. Selebihnya terletak di bahagian pinggir desa. 37% daripada semua jumlah kampung orang asal yang ditemui terletak di kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses.

Hubungan orang asal dengan orang Melayu zaman dahulu

anak orang asal asli

Di negara kita, kajian berkenaan keturunan dan susur galur orang asal hanya mula digiatkan sekitar tahun 1960-an. Daripada usaha itulah, kita sekarang ini boleh mempelajari kategori masyarakat orang asal yang ada di negara kita.

Secara amnya, wujud 3 kelompok besar orang asal di negara kita iaitu orang Senoi, orang Melayu asal dan orang Negrito atau Semang. Orang Senoi merupakan kumpulan terbesar dalam 3 kategori ini dengan orang Semang merupakan kumpulan paling kecil.

Setiap kumpulan ini boleh dipecahkan kepada beberapa sub-etnik yang lebih kecil, mengikut pecahan kumpulan atau corak hidup yang mereka amalkan. Corak kehidupan mereka dibezakan mengikut lokasi di mana mereka menetap sama ada di hutan, tepi sungai atau di kawasan pinggir pantai.

Sebenarnya tidak ramai sedar, penemuan-penemuan sejarah telah menunjukkan wujudnya hubungan erat di antara masyarakat Melayu zaman terdahulu dengan orang asal sejak tahun ke-5 selepas masihi.

Proses perdagangan dan pertukaran berlaku di kalangan kedua-dua kelompok masyarakat, dengan masyarakat Melayu menyediakan bahan seperti garam, pisau dan peralatan pertukangan besi seperti kapak untuk ditukarkan dengan barangan hutan yang dikutip atau diburu orang asal.

Bagaimanapun, ketiadaan proses asimilasi yang berlaku besar-besaran di antara dua kelompok masyarakat berbeza - orang asal terus mengekalkan kehidupan yang telah mereka jalani sekian lama, tanpa melalui perubahan besar dari segi corak hidup dan kepercayaan.

Tidak seperti masyarakat Melayu yang berubah dari segi corak hidup, agama, pegangan spiritualiti dan bermacam aspek lain.

Senoi - kelompok terbesar orang asal

suku kaum etnik terlama di malaysia mah meri senoi 923

Kredit foto sepenuhnya kepada LanizamPhoto

Orang Senoi adalah kumpulan orang asal terbesar di negara kita.

Istilah 'senoi' diambil daripada perkataan etnik Semai atau Temiar 'sen-oi' atau 'seng-oi' yang membawa makna 'orang.'

Mereka mendiami kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia, telah datang ke sini sekitar 8,000 tahun dahulu dari kawasan pergunungan Cambodia atau Vietnam kini.

Orang Senoi mempunyai ciri-ciri yang sama dengan orang Mongoloid serta dialek pertuturan yang mirip dengan bahasa Khmer, namun beberapa pendapat berbeza meletakkan asal-usul orang Senoi datang daripada benua Australia ketika ini atau selatan India.

Suku Senoi secara akademiknya dibahagikan kepada 6 kumpulan etnik iaitu Semai, Temiar, Che Wong, Jah Hut, Semoq Beri dan Mah Meri.

Dua suku terbesar orang Senoi iaitu Semai dan Temiar mendiami kawasan sekitar Perak serta sempadan negeri Selangor, dengan selebihnya menetap di negeri-negeri lain.

Dalam sejarah kesultanan Melayu zaman dahulu, orang Semai diberikan kedudukan yang tinggi di kalangan ahli masyarakat apabila Raja atau Sultan Melayu akan melantik ketua orang Semai sebagai penghulu, bagi mengawasi kawasan desa atau pedalaman.

Mereka ini akan diberikan gelaran tertentu untuk digunakan seperti 'Tok Singa Merban' atau 'Tok Maharaja', menandakan kedudukan mereka yang lebih tinggi di kalangan masyarakat.

Orang Semai juga terlibat dengan kebanyakan aktiviti istana, termasuklah bekerja sebagai pawang, pembantu, askar, pemburu mahupun pembekal barangan-barangan yang diperlukan golongan bangsawan terdahulu.

Orang Melayu asli atau Melayu Proto

melayu proto

Kumpulan Melayu Proto boleh dibahagikan kepada 6 etnik kecil iaitu Jakun, Temuan, Semelai, Kuala, Kanaq dan Seletar. Daripada 6 kumpulan ini, mereka boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan lebih kecil berdasarkan cara hidup mereka.

Kumpulan pertama mewakili kumpulan yang mengamalkan cara hidup sama seperti orang Melayu, berbahasa Melayu dan berpakaian Melayu seperti orang Temuan.

Kumpulan kedua mewakili etnik yang mengamalkan cara hidup gabungan orang Senoi dari segi bahasa dan budaya. Sementara yang terakhir pula mewakili kumpulan yang tinggal di kawasan pantai, beragama Islam serta berbahasa dialek Sumatera.

Melayu-Proto dikatakan datang dari kawasan pertengahan Asia dipercayai kawasan Yunnan di China sekarang, melalui Indo-China (Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Thailand) sebelum sampai ke Semenanjung Malaysia sekitar 2,500 tahun dahulu.

Perpindahan orang Melayu-Proto memakan masa yang panjang dan pelbagai perubahan kaedah.

Kumpulan pertama Melayu-Proto sampai ke sini melalui jalan darat dan kumpulan seterusnya mula hadir ke sini dengan melalui jalan laut 500 tahun kemudian dalam pelbagai fasa.

Orang Semang atau Negrito

orang semang

Kumpulan ini merupakan kumpulan terkecil orang asal yang masih ada di negara kita.

Tetapi mereka adalah kelompok yang dipercayai paling awal menetap di sini - bermula sekitar 25,000 tahun dahulu.

Kumpulan orang Semang merupakan kumpulan orang asal yang lebih gemar menetap di kawasan-kawasan terpencil di sekitar utara dan tengah Semenanjung Malaysia. Ciri-ciri tubuh mereka sangat mirip dengan orang dari Pulau Andaman, Pulau Aeta di Filipina, kepulauan Melanesia di Fiji dan kepulauan Tasmania di Australia.

Orang Semang diandaikan berasal daripada benua Afrika sebelum beranak-pinak di sini. Mendiami kawasan pergunungan di Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Pahang - orang Semang boleh dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil mengikut lokasi mereka.

Etnik Kensiu menetap di bahagian timur laut Kedah, Kintak di sempadan Kedah dan Perak, Jahai di bahagian timur laut Perak dan barat Kelantan, Lanoh di bahagian tengah Perak, Mendriq di tenggara Kelantan serta yang terakhir Bateq di Terengganu, Pahang dan selatan Kelantan.

Oleh kerana mempunyai kedudukan geografi yang berbeza-beza mengikut etnik, dialek mereka juga mempunyai campuran elemen yang berlainan dipercayai berasal daripada bahasa proto Mon-Khmer serta meminjam banyak elemen bahasa yang digunakan oleh orang Vietnam, Khmer dan bahasa Munda di India.

Majoriti mereka masih mengamalkan corak hidup nomad, berpindah dari satu tempat ke satu tempat apabila persekitaran dan iklim berubah.

Ada juga keluarga orang Semang telah berubah cara hidupnya selepas diberikan tempat tinggal tetap dan bantuan fasiliti oleh kerajaan seperti orang Kensiu, Kintak, Mendriq dan Lanoh.

Kajian pada tahun 2010 mendapati suku etnik Jahai merupakan kumpulan terbesar yang masih dapat mengamalkan kehidupan nomad berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan lain, berpandukan sumber air seperti sungai atau tasik.

Dalam zaman moden, orang Jahai tetap mengamalkan kehidupan yang sangat ringkas; tinggal di dalam pondok ringkas yang diperbuat daripada bulu, pohon bertam dan daun tepus serta terus mewarisi apa yang diwariskan nenek moyang mereka.

Rujukan

Orang Asli in Peninsular Malaysia : Population, Spatial Distribution and Socio-Economic Condition (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)