planet marikh 451

Jika anda berfikir tentang habitat masa depan penduduk Marikh, bagaimana rupa bentuknya?

Adakah ia seperti rumah di Bumi tetapi tidak mempunyai tingkap? Atau seperti yang kita dapat lihat dalam filem-filem masa depan atau makhluk asing?

Mungkin ya dan mungkin tidak.

Namun apa yang telah pasti, rumah untuk penduduk planet itu telah dicipta dan ia dikenali sebagai MARSHA.

Direka bentuk oleh AI SpaceFactory, ia mempunyai tingkap, beberapa tingkat, bilik peribadi malah jendela langit untuk melihat bintang.

Dan apa yang lebih menarik adalah NASA menyukai idea dan reka bentuk ini.

marsha mars rumah manusia di marikh

(MARSHA)

Apabila melibatkan pendaratan robot di Marikh, saintis dan jurutera roket NASA adalah juara dalam bidang ini.

Kini mereka sedang mencari cara untuk membawa manusia ke sana, namun bagaimana pula cara hidup di sana?

Untuk ini, mereka memutuskan untuk meminta bantuan orang awam di mana NASA melancarkan Carabaran Habitat Bercetak 3-D pada tahun 2010-an.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai peringkat fasa cabaran ini bermula dengan reka bentuk maya dan sejak itu telah berkembang menjadi model bercetak 3-D penuh.

Para pencabar bersaing bukan sahaja untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk, tetapi juga untuk wang tunai.

Dan pada tahun 2019, hadiah bagi cabaran ini mencecah USD500,000 atau RM2.17 juta.

Dalam cabaran ini, para pencabar dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuklah bahan yang mereka gunakan, ketahanan struktur, dan tahap kekedapan udara.

Selepas 4 hari membina, menguji, dan menilai, NASA mengumumkan pemenang cabaran ini, iaitu MARSHA.

Sebagai permulaan, bahan binaan MARSHA diperbuat daripada komposit basalt, bahan yang tidak digunakan oleh mana-mana pesaing serta boleh dihasilkan dengan mudah di Marikh kata pasukan tersebut.

Ini kerana permukaan Marikh dipenuhi dengan basalt hasil daripada letupan gunung berapa yang meletus beberapa ratus juta hingga bilion tahun yang lalu.

Sebaik sahaja kita mempunyai sumber basalt yang baik, ia dicampurkan dengan polimer berasaskan tumbuhan yang mana ini perlu ditanam terlebih dahulu di Marikh.

Kemudian, apa yang diperlukan adalah sebuah robot untuk mencetak rumah 3-D, barangan lain yang tidak boleh dicetak seperti tingkap dan juga masa.

Prototaip ini hanyalah bersaiz satu pertiga daripada apa yang pasukan tersebut bayangkan di Marikh dan ini sahaja mengambil masa 30 jam untuk dicetak dari mula sehingga siap.

Malah, pasukan itu terpaksa membantu mesin pencetak 3D itu beberapa kali.

penempatan di marikh

Namun di masa depan, mereka merancang untuk melakukan proses ini untuk berjalan secara automatik sepenuhnya.

Ini kerana dalam dunia nyata, tidak akan ada ramai orang untuk membantu di Marikh. Jadi mereka memerlukan reka bentuk sistem yang pada asasnya dapat membina dengan sendiri.

Selain itu, pasukan ini berkata bahawa komposit basalt adalah perisai yang berkesan terhadap radiasi bertenaga tinggi di permukaan Marikh.

Dan ini sangat penting kerana seorang manusia yang tinggal di Marikh tanpa perlindungan akan menerima sekitar 5,000 kali ganda radiasi sepanjang hidupnya berbanding jika tinggal di Bumi.

Ini lebih daripada cukup untuk menyebabkan kanser dan kemungkinan besar akan berhadapan dengan kematian pra-matang akibat keracunan radiasi.

projek hi seas 847

(Eksperimen HI-SEAS)

Namun, sesetengah pakar berpendapat bahawa mana-mana bangunan yang dalam keadaan berdiri bebas di Marikh adalah idea yang buruk, khususnya kerana masalah radiasi yang tinggi.

Untuk bertahun-tahun lamanya, NASA telah menguji bagaimana manusia bertahan menghadapi tempoh pengasingan yang lama.

Sebagai contoh, ia mengarahkan para angkasawan di angkasa lepas untuk melengkapkan ujian psikologi yang memantau mood mereka.

Mereka juga menjalankan eksperimen di Bumi seperti kajian HI-SEAS (Hawaii Space Exploration Analog and Simulation), di mana sekumpulan kecil kru hidup dalam rumah seperti di Marikh untuk tempoh 8 bulan pada satu-satu masa dan berhadapan dengan banyak cabaran fizikal dan psikologi yang sama seperti tinggal di Marikh.

Tetapi jika dibandingkan dengan kuarters HI-SEAS, MARSHA kelihatan sangat berbeza.

Pertamanya, ia mempunyai beberapa tingkat dan setiap tingkat mempunyai tujuan yang berbeza.

rekabentuk marsha rumah di marikh 625

Tingkat satu mempunyai sebuah makmal basah dan ruang untuk persediaan EVA (aktiviti yang dilakukan oleh angkasawan di luar kapal angkasa).

Tingkat dua pula merupakan dapur dan makmal kering.

Tingkat tiga menempatkan sebuah taman hidroponik, bilik air dan kuarters untuk tidur.

Di tingkat atas sekali, terdapat gimnasium dan pusat rekreasi.

Malah, terdapat beberapa tingkap di seluruh bahagian rumah.

Menurut Jeffrey Montes, arkitek angkasa lepas untuk AI SpaceFactory, tingkap adalah hubungan utama dengan alam sekitar, di mana landskap berubah-ubah setiap hari dan ia sangat membantu mengurangkan rutin yang sangat membosankan yang dikenali sebagai ancaman psikologi utama bagi manusia.

rumah di marikh marsha

Dan jika anda berminat untuk tinggal dalam rumah ini, anda mungkin berpeluang kerana AI SpaceFactory membina konsep ini di Bumi.

Menurut pengasas bersama dan pengarah urusan AI SpaceFactory, David Riedel, apa yang telah diusahakan setakat ini, mencetak pada skala dan membawa aplikasi itu ke utara new york, di mana orang boleh mencuba jenis habitat baru ini.

Ia dikenali sebagai TERA dan bukan sahaja kelihatan seperti MARSHA, tetapi juga akan diperbuat daripada MARSHA.

Selepas pertandaingan anjuran NASA ini, AI SpaceFactory merobohkan model mereka dan akan digunakan untuk membina TERA.

"Untuk sampai ke langkah seterusnya membina bangunan di bulan atau Marikh, kita memerlukan lebih banyak latihan. Jadi, ini merupakan peluang untuk kita memperhalusi teknologi sedia ada dan menyelesaikan masalah-masalah yang ditemui serta membawanya ke tahap yang lebih tinggi," kata David Riedel.

Tetapi penulis ada satu persoalan lebih penting, adakah manusia benar-benar akan berpindah ke Marikh?

Lagi gambar-gambar menarik dalam MARSHA:

taman di marikh 595

gambar dalam rumah di marikh marsha 5

gambar dalam rumah di marikh marsha 2

gambar dalam rumah di marikh marsha 4

gambar dalam rumah di marikh marsha 3

gambar dalam rumah di marikh marsha

Rujukan:

1. Autodesk

2. AI SpaceFactory

3. Rumah di Marikh - MARSHA



Hakcipta iluminasi.com (2017)